Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


RM830,000 naik taraf jalan

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
pengarang@utusan.com.my

JEMPOL 3 Julai - Sebanyak RM830,000 telah diperuntukkan oleh Kementerian Kerja Raya bagi menaik taraf pembentung dan jalan raya di dua kawasan di daerah ini.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jempol, Izmal Ibrahim (gambar) berkata, kos tersebut meliputi menukar pembentung baru di laluan utama di Seksyen 45, Jalan Air Hitam-Lui Barat dan menurap jalan di Mahsan.

"Bagi projek di Air Hitam, ia telah dimulakan pada 15 April lalu dan dijangka siap pada 12 Julai ini. Pembentung lama sudah tidak mampu menampung aliran air menyebabkan ia sering melimpah ke jalan raya.

"Jadi kita tukar pembentung bulat itu kepada pembentung yang lebih besar iaitu jenis petak bersaiz 2.4 meter x 1.2 meter," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapat maklumat berlaku banjir yang agak teruk di situ tahun lalu yang turut menyebabkan beberapa rumah berhampiran terjejas.

"Kita yakin masalah banjir dapat diatasi apabila projek ini siap sepenuhnya. Ia merupakan peruntukan khas daripada kementerian iaitu bagi mengatasi masalah banjir.

"Baki daripada peruntukan tersebut sebanyak RM450,000 telah digunakan untuk projek di Mahsan. Selain menurap jalan sepanjang 500 meter, kita juga memasang paku jalan yang dapat membantu menambah pencahayaan di laluan tersebut," ujarnya.

Izmal memberitahu, laluan tersebut juga kerap berlaku kemalangan.

Tambahnya, laluan itu turut diletakkan garisan kuning bagi memastikan pengguna memperlahankan kenderaan ketika menggunakan jalan tersebut.

"Projek yang dimulakan pada 26 Mac lalu dijangka siap hujung Julai ini," katanya.

Serah penjenayah kepada polis

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

Hamzah Alias (menaiki motosikal) manakala L. Manickam (kiri) menaiki basikal bersama penduduk dalam Majlis Pelancaran Ronda Berbasikal di Kampung Taman Jaya, Jeram Padang, Jempol, kelmarin. - UTUSAN/ SAJIDA ASARULAH KHAN

JEMPOL 3 Julai - Orang awam diingatkan agar tidak mudah menjatuhkan hukuman kepada pesalah yang mereka tahan sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk tindakan mengikut undang-undang.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Hamzah Alias berkata, polis sangat memerlukan kerjasama daripada orang awam bagi membanteras jenayah.

"Kita akui agak sukar untuk melakukan kerja pencegahan jenayah tanpa bantuan orang awam. Kita memerlukan kerjasama orang awam untuk menjadi mata dan telinga bagi menyampaikan maklumat kepada pihak polis.

"Namun orang awam tidak boleh membuat undang-undang sendiri. Jika mereka tahu mengenai sebarang kegiatan jenayah mereka perlu melaporkan kepada pihak berkuasa dan jangan cuba menangkap penjenayah tersebut kerana keadaan berbahaya," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ronda Berbasikal di Kampung Taman Jaya, Jeram Padang di sini semalam.

Katanya, situasi itu amat berbeza jika orang awam menjadi saksi ketika jenayah berlaku dan dapat menahan penjenayah pada masa itu.

"Contohnya kes ragut. Jika berjaya tahan peragut, jangan pula ikat dan pukul peragut tersebut. Memang peragut itu bersalah tetapi hubungi pihak polis dan biar kami ambil tindakan mengikut undang-undang," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, persatuan penduduk kampung berkenaan menerima 10 buah basikal yang dilengkapi topi keselamatan dan jaket sumbangan Kementerian Dalam Negeri.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, L. Manickam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Taman Jaya, K. Murty berkata, pihaknya telah memilih beberapa orang penduduk untuk membuat rondaan berbasikal di kawasan tersebut.

"Kita akan membuat rondaan selama tiga hari setiap minggu. Rondaan pada waktu malam ini diadakan bagi membantu mengatasi masalah jenayah di sini.

"Saya juga berharap penduduk yang dipilih untuk membuat rondaan dapat menjalankan tugas dengan amanah dan tidak melanggar hak-hak yang sepatutnya," katanya.

NS catat RM7.051b pelaburan

Posted: 03 Jul 2013 11:41 AM PDT

SEREMBAN 3 Julai - Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan sekali ganda dalam jumlah pelaburan keseluruhan pada kadar RM7.051 bilion sepanjang tahun lalu berbanding 2011.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu sekali gus meletakkan Negeri Sembilan di tempat keenam dari segi jumlah pelaburan tertinggi di negara ini selepas Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak dan Johor.

''Lebih membanggakan, kita juga telah berjaya memperbaiki kedudukan bagi kategori pelaburan untuk sektor perkilangan di tempat kelima dengan jumlah pelaburan sebanyak RM2.73 bilion bagi 2012," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Jelasnya, pada 2011 Negeri Sembilan mencatatkan kira-kira RM3 bilion jumlah pelaburan keseluruhan.

Menurutnya, jumlah pelaburan bagi sektor perkilangan pada 2011 ialah RM1 bilion dan kerajaan negeri yakin prestasi itu dapat dikekalkan atau mungkin lebih baik menerusi perkembangan pelaburan semasa di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan