Khamis, 18 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Kek, roti jana pendapatan

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusanutara@utusan.com.my

VARIASI kek, pastri dan mufin yang dihasilkan oleh Shahni Farhana Mat Sahir bagi memenuhi cita rasa pelanggan di Alor Setar, Kedah.

ALOR SETAR 17 Julai - Tak kenal maka tak cinta. Istilah ini amat sesuai menggambarkan kisah seorang wanita berkelulusan Diploma Kewartawanan dari Malaysian Institut Integratif Media (MIIM) yang menjadikan bidang pembuatan kek, roti dan pastri bagi menjana pendapatan sampingan.

Bermula dengan paksaan ayah untuk mengikuti kursus dalam bidang pembuatan kek, roti dan pastri di pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah pada 2008, Shahni Farhana Mat Sahir, 27, mula mengorak langkah menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kek, roti dan pelbagai jenis pastri yang dibuat sendiri.

Shahni Farhana berkata, beliau juga tidak menyangka bidang yang kurang digemarinya dahulu kini memberi hasil yang agak lumayan untuk dirinya dan keluarga.

Anak bongsu daripada enam beradik itu memberitahu, selepas tamat pengajian di MIIM, beliau masih belum mendapat sebarang pekerjaan dan untuk mengelak daripada penganggur, bapanya, Mat Sahir Selamat, 64, menyuruhnya mengikuti kursus membuat kek, roti dan pastri itu.

"Pada mulanya saya memang enggan ikut kursus tersebut kerana tidak minat dalam bidang masakan, namun atas paksaan ayah saya pergi juga. Lama kelamaan saya mula jatuh cinta dalam bidang pembuatan kek, roti dan pastri kerana saya dapati ramai peminatnya.

"Saya mula buat kek, roti dan pelbagai jenis pastri secara kecil-kecilan di rumah selepas tamat kursus dan sehingga kini perniagaan tersebut semakin berkembang," katanya ketika ditemui di Jalan Seberang Perak di sini hari ini.

Menurutnya, beliau bersyukur kerana dipaksa oleh ayahnya untuk mengikuti kursus tersebut tetapi jika tidak dipaksa mungkin dia masih terkial-kial mencari arah untuk memulakan perniagaan.

"Saya memang meminati dunia perniagaan, namun selepas tamat belajar saya masih belum terokai bakat yang ada dalam diri. Selepas kursus tersebut saya mula yakin dengan bakat dalam bidang masakan dan menambah ilmu dengan mengikuti kelas masakan persendirian serta mempelajari menerusi blog masakan.

"Saya bercadang membuka sebuah kafe yang menjual kek, roti dan pastri satu hari nanti," ujarnya.

Shahni Farhana berkata, beliau perlu bijak membahagikan masa untuk memasak pelbagai jenis kek, roti dan pastri yang ditempah pelanggan kerana dia juga bekerja di sebuah syarikat swasta pada sebelah pagi sehingga petang.

"Selalunya saya memperuntukkan waktu malam untuk menyiapkan tempahan pelanggan dan ada kalanya jika tempahan banyak saya hanya sempat tidur sejam sahaja atau kadang kala saya tidak tidur seharian kerana saya selesa bekerja seorang.

"Walaupun letih saya gembira apabila pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang mereka terima daripada saya. Kedatangan Ramadan ini juga digunakan sebaik-baiknya untuk menjalankan perniagaan memandangkan banyak tempahan yang diterima," jelasnya.

Isteri kepada Saifullah Muhammad, 27, itu berkata, buat masa ini beliau memilih untuk membuat kek di rumah untuk menjimatkan kos memandangkan kos untuk membuka sebuah kedai kek agak mahal dan memerlukan komitmen yang tinggi.

Katanya, memang menjadi impiannya untuk membuka sebuah kafe sendiri jika mempunyai modal yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Bagi mereka yang ingin menempah pelbagai jenis kek seperti red velvet, kek chiffon, durian crepe dan lain-lain lagi boleh melawat laman Facebook Shahni Farhana Mat Sahir atau menelefon 017-5171610 untuk menempah.

Penjual mercun diburu

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

Oleh AZHARI ZAINOODDIN dan OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

RAHIM Hanafi memerhatikan mercun seakan-akan tempurung kelapa yang dirampas oleh polis di sebuah rumah di Bayan Lepas di Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 17 Julai - Polis akan meningkatkan pemantauan bagi menghalang penjualan mercun di negeri ini untuk mengelak kejadian tidak diingini sempena sambutan perayaan tidak lama lagi.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, beliau telah mengarahkan semua ketua polis daerah dan ketua balai supaya turun padang dan memantau kegiatan penjualan barang larangan berkenaan di kawasan masing-masing.

"Kita akan jalankan pemantauan berterusan bagi membanteras habis-habisan penjualan mercun ini terutama di kawasan terbuka seperti di pasar-pasar malam dan bazar Ramadan di seluruh Pulau Pinang.

"Jangan cuba ambil kesempatan sempena Hari Raya Aidilfitri ini dengan menjual barang yang menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Lokap Berpusat Bayan Baru di sini semalam.

Sementara itu di KEPALA BATAS, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan sempena musim perayaan ini dengan menjual mercun dan bunga api secara haram.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar dengan menjual bahan letupan itu tanpa permit melalui penguatkuasaan undang-undang.

"Kita tidak mahu tragedi melibatkan kecederaan dan kematian berlaku kepada kanak-kanak kerana sehingga kini pihaknya tidak pernah mengeluarkan permit untuk perniagaan itu.

"Perniagaan seperti ini tidak digalakkan terutamanya yang membabitkan kemasukan bahan tersebut secara haram dan kita sentiasa mengambil langkah membanterasnya," katanya ketika dihubungi.

Menurut Abdul Rahman, pesalah yang ditangkap menjual barangan itu boleh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1991 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan didenda.

Katanya, ibu bapa turut memainkan peranan mengawasi anak-anak mereka daripada terlibat membeli bahan itu termasuk melaporkan kepada pihaknya jika mendapati wujudnya kegiatan penjualan bahan berbahaya secara haram di kawasan mereka.

Kerajaan negeri bantu perkasa masyarakat India

Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT

C. Sivarraajh (kanan) memperkatakan sesuatu kepada pelajar lepasan STPM di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, semalam.

IPOH 17 Julai - Kerajaan negeri akan terus membela nasib masyarakat India di sini demi memastikan golongan itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Pegawai Khas kepada Menteri Besar, C. Sivarraajh berkata, untuk itu, pihaknya akan menumpukan usaha untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah asas kaum berkenaan terutama dalam isu pendidikan, sosioekonomi dan peluang pekerjaan.

Kata Sivarraajh, tindakan itu perlu bagi memperkasakan lagi kehidupan mereka, selain mengembalikan semula kepercayaan kaum tersebut kepada kerajaan.

"Atas sebab itu, hari ini saya mengadakan perjumpaan dengan mereka secara peribadi iaitu melibatkan pemandu teksi dan kumpulan pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi yang tidak berjaya memasuki universiti.

"Selain mengetahui tentang masalah sebenar yang mereka hadapi, kita juga akan menawarkan beberapa bantuan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Perkara ini secara tidak langsung mampu meningkatkan tahap ekonomi dan memberikan pendidikan berkualiti kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan dua kumpulan sasar tersebut di Dewan Serbaguna, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Seramai 45 pemandu teksi dan kira-kira 60 pelajar lepasan matrikulasi dan STPM menghadiri perjumpaan tersebut yang diadakan selama tiga jam bermula pukul 9.30 pagi.

Menurut Sivarraajh, pendekatan tersebut akan diteruskan kepada kumpulan sasar yang lain termasuk peniaga kecil dan persatuan yang memfokuskan kepada aktiviti pembangunan ekonomi.

"Hari ini kita berjanji untuk membantu pemandu teksi berkenaan untuk mendapatkan permit teksi, selain lesen untuk mereka memandu teksi tersebut.

"Begitu juga masalah pelajar. Data mereka telah kita kumpulkan dan saya sendiri akan menghantar memorandum tentang perkara itu kepada Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan. Pendekatan seperti ini akan kita lakukan secara berterusan," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan