Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Desak batal Datum Jelatek

Posted: 02 Jul 2013 11:26 AM PDT

Oleh HELMI MOHD. FOAD
kota@utusan.com.my

BEBERapa siri bantahan diadakan sebelum ini oleh Badan Bertindak Datum Jelatek dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun tidak ada sebarang tindakan diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor.

SHAH ALAM 2 Julai - Badan Bertindak Datum Jelatek tetap bertegas mendesak kerajaan negeri membatalkan projek pembangunan program Datum Jelatek di Taman Keramat, dekat Hulu Klang yang dilihat akan menyebabkan dominasi orang asing di kawasan tersebut.

Pengerusinya, Salleh Samad berkata, pihaknya memberikan tempoh masa selama dua minggu untuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuat keputusan berhubung perkara itu.

Tegas beliau, sekiranya masih tiada sebarang tindakan, pihaknya merancang membawa isu pembangunan mewah di kawasan didiami majoriti orang Melayu itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

''Ini kerana kami sudah menghantar memorandum sebelum ini tetapi tiada tindakan daripada kerajaan negeri dan kami hari ini menghantar memorandum kedua pula.

''Perkara ini telah menjadi perbahasan di Parlimen dan Ketua Pembangkang negeri, Datuk Mohd. Shamsudin Lias juga membawa isu ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor," katanya kepada pemberita selepas menghantar memorandum bantahan Datum Jelatik di pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri di sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Yasid Bidin.

Yang turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Terdahulu, sekumpulan 20 orang anak muda berkumpul di hadapan pintu pagar bangunan SUK sambil menaikkan kain rentang bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap projek Datum Jelatek. Antara slogan yang tertera pada kain rentang tersebut ialah; 'Kami tidak mahu kawasan orang Melayu Taman Keramat dibina Datuk Jelatek untuk orang asing' dan 'Mana rumah mampu milik'.

Salleh berkata, projek berkeluasan 2.2 hektar tersebut yang dimajukan oleh anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKN) difahamkan telah dijual kepada pihak asing manakala dua blok lagi masih dalam proses jualan.

Katanya, harga dan keluasan yang diberikan adalah RM700,000 seunit dengan diskaun tujuh peratus untuk bumiputera manakala harga tertinggi adalah RM11.5 juta.

''Dengan perkiraan kasar, hartanah ini adalah antara RM1,300 sehingga RM1,599 sekaki persegi yang rata-rata menumpukan pembeli warga asing atau syarikat korporat.

''Bagi kes Datum Jelatek, sesiapa yang berminat untuk membeli unit pangsapuri tersebut secara kasar pembayaran bulanannya adalah di antara RM4,000 hingga RM5,000 dan ini bermakna seseorang itu mesti mempunyai pendapatan RM20,000 sebulan dan mempunyai tunai RM100,000 bagi bayaran muka, kos guaman dan duti setem," katanya.

Malah katanya, harga paling murah hartanah tersebut bernilai RM700,000 membabitkan unit studio sekali gus tidak menepati ciri-ciri Islamik bagi keluarga Melayu yang sepatutnya mempunyai tiga bilik.

''Tanah berkeluasan 2.2 hektar sepatutnya dibangunkan dengan cara mengekalkan penduduk majoriti Melayu di situ seperti Kampung Baru. Kalau buat di Kepong atau Jinjang kami tidak kisah, kita tidak persoalkan kerana itu memang bukan kawasan majoriti masyarakat Melayu.

''Dulu semasa zaman Allahyarham Datuk Harun Idris, beliau menggalakkan orang Melayu masuk bandar untuk mengimbangi penduduk di bandar tetapi hari ini seolah-olah hendak menghalau orang Melayu masuk hutan," katanya kesal.

Salleh berkata, pihaknya akan tetap mempertahankan setiap inci tanah di Kampung Keramat kerana semasa kempen pilihan raya umum lalu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali ada menyatakan projek tersebut akan tetap diteruskan sekiranya beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Khalid enggan dedah pendirian Langat 2

Posted: 02 Jul 2013 11:26 AM PDT

SHAH ALAM 2 Julai - Kerajaan negeri enggan mendedahkan pendiriannya berhubung projek Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang masih tertangguh pembinaannya dengan alasan proses rundingan untuk mengambil alih syarikat-syarikat konsesi perkhidmatan bekalan air dengan Kerajaan Pusat masih berjalan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri mahu rundingan pengambilalihan industri air itu dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira soal pembinaan Langat 2 dan bukannya secara berperingkat.

''Ini kerana kita mahukan penyusunan semula industri dibuat keseluruhan bukan secara berperingkat, penerimaan terbuka (terhadap Langat 2) tetapi tidak akan menyatakan keputusan akhir kerana masih dalam perundingan," katanya

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) yang bertanya adakah kerajaan negeri akan menerima cadangan pembinaan Langat 2 dan langkah-langkah yang diambil bagi menghadapi krisis air di Lembah Klang semasa sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, pada masa ini sebuah jawatankuasa pemantau yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan pegawai-pegawai dari agensi berkaitan seperti Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memantau penawaran bekalan dan permintaan air di Selangor.

Beliau memberitahu, dengan pemantauan tersebut, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat mengenai keadaan bekalan dan pengurusan air semasa di Selangor.

Kepada soalan asal Dr. Abdul Rani Osman (Pas-Meru) mengenai perkembangan perundingan pengurusan air Selangor di antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, beliau berkata, buat masa ini kedua-dua pihak sedang menyediakan surat perjanjian bagi rundingan itu selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006.

''Dalam masa dua bulan kita berharap perkara ini diselesaikan dan hasilnya akan memberikan manfaat pada rakyat Selangor," katanya.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga menyediakan satu pasukan pengurusan yang telah dilatih untuk mengambilalih pengurusan syarikat-syarikat konsesi air di negeri ini.

''Pasukan pengurusan itu pada masa ini terdiri daripada beberapa eksekutif yang telah kita ambil dari luar negara untuk melaksanakannya," katanya.

Talian khas bakal diwujudkan

Posted: 02 Jul 2013 11:26 AM PDT

Oleh Muhamad Aimy Ahmad
kota@utusan.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (lima dari kiri) bersalaman dengan Zulkiflee Mazlan dalam Majlis Sepetang Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. - uTUSAN/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 2 Julai - Kementerian Wilayah Persekutuan mencadangkan agar satu talian khas diwujudkan bagi membolehkan orang ramai berkomunikasi secara terus dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah yang telah lama dipraktikkan di kota New York itu juga sebagai platform kepada warga kota membuat aduan berkaitan fasiliti di tempat masing-masing.

"Saya sudah berbincang dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib mengenai perkara ini dan mengarahkan bahagian Teknologi Maklumat mengkaji kaedah yang boleh diguna pakai.

"Talian itu seperti pusat sehenti (OSC) kerana kerajaan kini mesti mendengar apa yang rakyat mahukan," katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Sepetang Bersama Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan.

Tambah Tengku Adnan, Datuk Bandar tidak perlu gusar untuk berkomunikasi secara terus dengan orang ramai kerana langkah itu dapat memperkasakan lagi pengurusan DBKL.

"Saya sendiri telah lama melakukan langkah sama dengan memberikan nombor telefon bimbit kepada pengundi-pengundi saya di Putrajaya untuk memudahkan mereka menyalurkan maklumat, aduan atau cadangan," ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut berjanji untuk membantu bekas tentera menyewa perumahan awam kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan mudah.

"Bagi urusan sewa beli kita akan membantu mereka mendapatkan pinjaman, sekiranya umur sudah lanjut kita akan bantu untuk waris-waris mereka mendapatkan pinjaman perumahan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Pingat Jasa Malaysia kepada 162 bekas pegawai dan anggota tentera yang berjasa terhadap negara.

Manakala, 53 persatuan bekas tentera sekitar Kuala Lumpur dan Selangor turut menerima bantuan kewangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan