Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Sentiasa jaga keutuhan parti

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

SEMPORNA 13 Julai - Setiap ahli UMNO termasuk Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri diingatkan supaya sentiasa bersatu dan menjaga kekuatan parti terutama menjelang pemilihan parti bermula 15 Julai ini bagi peringkat cawangan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ingatan itu amat penting bagi mengelak berlakunya perpecahan, seterusnya merosakkan kestabilan parti dalam jangka masa pendek dan panjang.

"Walau dalam apa situasi sekalipun, keutamaan dan kepentingan parti perlu terus terpelihara. Seruan bersatu dalam kalangan ahli parti perlu sentiasa ditekankan kerana perpaduan merupakan sebahagian daripada teras perjuangan UMNO.

"Eratkan lagi hubungan yang sedia kuat terjalin, perkasakan parti dan hapuskan segala unsur yang boleh memecahbelahkan parti," katanya selepas mengadakan perjumpaan khas dengan pimpinan masyarakat, ketua-ketua cawangan UMNO dan ketiga-tiga sayap parti di sini hari ini.

Tolak kempen 16-16 Pas

Posted: 13 Jul 2013 09:51 AM PDT

BESUT 13 Julai - Rakyat perlu menolak kempen 16-16 yang dimainkan oleh Pas dalam usaha parti itu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, keadaan itu jika berlaku hanya akan meletakkan situasi politik tidak stabil di negeri ini kerana perbalahan yang berpanjangan.

Katanya, pembangkang sedar jika BN tewas sekalipun dalam pilihan raya kecil itu dan jumlah kerusi seimbang antara Barisan Nasional (BN) dan Pas, tetapi kelebihan tetap berpihak kepada parti pemerintah melalui kedudukan Speaker Dewan Undangan Negeri.

"Dalam hampir kesemua siri ceramahnya, Pas memberitahu mereka akan berpeluang memerintah negeri ini sekiranya kedudukan 'seri 16-16' dalam DUN.

"Rakyat harus sedar dan tidak terpedaya dengan dakyah tersebut yang cuba memujuk sokongan kepada Pas, kerana BN akan terus kekal memerintah negeri sekiranya keadaan tersebut berlaku," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan jentera BN di Kampung Gong Manok di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, demi kestabilan politik di Terengganu, rakyat harus memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Kalau berlaku 16-16 sebagaimana yang dihajati pembangkang, kerajaan dan negeri ini dalam bahaya, tidak stabil, akan berlaku perbalahan yang akhirnya akan merugikan rakyat.

"Wakil Rakyat tidak akan rugi tetapi rakyat yang akan rugi, Terengganu tidak stabil disebabkan rakyat rugi, contohnya, dana melalui wang ihsan tidak boleh disalurkan kerana pembangkang tidak suka dana ini, dia mahu dana lain," katanya.

Justeru itu, katanya, kempen '16-16' yang dibawa oleh pembangkang amat berbahaya kepada seluruh negeri ini.

PRK DUN Kuala Besut menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara BN dengan saingan tradisinya, Pas.

BN diwakili oleh jurutera, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, 37, manakala Pas diwakili oleh kontraktor, Endot @ Azlan Yusof, 48.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan