Selasa, 16 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Jangan buat kerja sambilan

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Mohamad Hasan

SEREMBAN 15 Julai - Pelajar negeri ini yang melanjutkan pengajian di luar negara dinasihatkan supaya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan bukannya sibuk mencari kerja sambilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, golongan tersebut seharusnya sedar bahawa mereka sebenarnya mempunyai tanggungjawab lebih besar iaitu menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

"Jangan campur sebarang urusan, mahupun krisis yang melanda negara tempat kita belajar. Tugas kita adalah memastikan apa yang diimpikan seperti muncul sebagai pelajar cemerlang, berjaya membawa balik ijazah kelas pertama dan sebagainya dapat dicapai," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad, pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian di negara Asia Barat perlu meletakkan kepentingan pelajaran kerana mereka telah ditaja oleh institusi tertentu termasuk Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Kenapa perlu mencari kerja sambilan sedangkan mereka belajar di luar negara itu telah ditaja.

"Janganlah dipersiakan peluang yang diberikan ini sehingga ada yang terpaksa duduk lama di negara terbabit kerana seronok dengan pekerjaan dilakukan sehingga mengabaikan pelajaran," tegasnya.

Kata Mohamad, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pelajar meneruskan pengajian, bukan sahaja di peringkat ijazah sarjana muda, tetapi sehingga sarjana dan doktor falsafah.

"Hasrat kerajaan negeri adalah untuk menyaksikan lebih ramai golongan pendeta dapat dilahirkan bukan sahaja dalam bidang profesional tertentu, tetapi meliputi bidang agama Islam.

"Kita mahu melahirkan ramai pakar rujuk dalam bidang agama ini dan sebab itulah penting bagi pelajar, khususnya yang menuntut di negara Asia Barat, balik dengan pengetahuan mendalam dalam bidang agama ini," katanya.

Mohamad memberitahu, sebanyak 12 pelajar tajaan MAINS yang mengikuti bidang perubatan di Asia Barat telah kembali ke tanah air dan sedang mengikuti latihan kerja di pelbagai hospital di negeri ini.

"Mereka akan berbakti di Klinik Wakaf MAINS yang akan diwujudkan di seluruh daerah dalam negeri ini sebagai usaha memberikan perkhidmatan perubatan kepada yang memerlukan," tegasnya.

Kutipan zakat Melaka kini hampir RM22 juta

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

MELAKA 15 Julai - Jumlah kutipan zakat di Melaka bagi Januari hingga awal Julai lalu meningkat sebanyak RM3.65 juta atau 19.97 peratus kepada RM21.96 juta berbanding jumlah yang dikutip bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Pusat Zakat Melaka (PZM), Datuk Yaakub Md. Amin berkata, jumlah tersebut berdasarkan peningkatan pembayar zakat iaitu sebanyak 2,624 orang kepada 24,664 orang tahun ini berbanding 22,040 orang tahun lalu.

"Daripada jumlah tersebut, zakat pendapatan mencatat kutipan tertinggi iaitu RM10.97 juta diikuti zakat wang simpanan iaitu RM5.12 juta manakala yang terendah adalah zakat ternakan berjumlah RM26,275," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menerima penyerahan zakat perniagaan daripada tiga syarikat korporat berjumlah RM205,251.35 di pejabat PZM, Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar PZM, Ismail Hasim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Mohd. Zin Mansor.

Tiga syarikat korporat yang menyerahkan zakat perniagaan masing-masing adalah QSR Brands (M) Holding Sdn. Bhd. (RM125,943), Bank Simpanan Nasional (RM49,630) dan Etiqa Takaful Berhad (RM29,678.35).

Dalam pada itu, Yaakub menggalakkan lebih ramai penjawat awam di negeri ini untuk membuat bayaran zakat melalui pemotongan gaji bulanan.

Katanya, walaupun dilihat terdapat pertambahan jumlah pembayar zakat melalui pemotongan gaji terutamanya golongan guru, namun jumlah tersebut tidak sampai 30 peratus.

"Jadi kita nak galakkan lagi 70 peratus penjawat awam di negeri ini untuk membuat bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan kerana apa yang kita lihat antara faktor pertambahan kutipan zakat Melaka setakat 12 Julai lalu adalah pertambahan pembayar zakat melalui potongan gaji," katanya.

Bistari komited bantu golongan kurang berkemampuan

Posted: 15 Jul 2013 12:16 PM PDT

FADILAH Abdullah menyampaikan sumbangan kepada Zainuddin Mohammad (berkerusi roda) pada majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Parlimen Jasin di Japerun Bemban, Melaka, semalam.

JASIN 15 Julai - Kesempitan hidup golongan miskin di negeri ini menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi tidak pernah diabaikan.

Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) tidak terkecuali menghulurkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Seramai 100 penerima terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang berkemampuan menerima sumbangan duit raya dan barangan keperluan sumbangan Bistari.

Pengerusinya, Datin Fadilah Abdullah berkata, penyampaian sumbangan itu merupakan program tahunan sempena kedatangan Ramadan bagi membantu dan meringankan bebanan golongan yang memerlukan.

"Program ini hasil usahasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan kita berharap dapat mengurangkan beban belanja mereka untuk melakukan persiapan menyambut Aidilfitri nanti.

"Program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi membela nasib golongan ini malah bukan sahaja pada sambutan Aidilfitri namun perayaan kaum lain," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri Parlimen Jasin di Japerun Bemban di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon dan isteri Ahli Parlimen Jasin, Datin Zainon Ghafar.

Dalam pada itu, Fadilah berharap syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dapat mengambil inisiatif yang sama bagi memastikan golongan kurang mampu terus mendapat perhatian sewajarnya.

"Kita berharap kepada semua pihak termasuk sektor swasta yang lain turut tampil menghulurkan bantuan sekali gus memberi mereka kegembiraan dalam meraikan Aidilfitri malah pada musim perayaan kaum lain.

"Terima kasih juga juga dengan semua pihak yang bersama Bistari dalam menjayakan program ini yang secara tidak langsung mengeratkan lagi perpaduan dan persaudaraan di kalangan masyarakat di negara ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan