Sabtu, 27 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


180 pegawai dikerah pantau harga

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
utusanpenang@utusan.com.my

Dr. Hilmi Yahya bersama Mohd. Salleh Ma'mor (kanan) meletakkan harga bawang sebagai simbolik selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 di Pasar Awam Bayan Baru, Pulau Pinang, semalam. - UTUSAN/Ismail Kamadin

PULAU PINANG 26 Julai - Seramai 180 pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) akan memantau pasar awam, pasar pagi dan pasar raya besar di negeri ini sepanjang 17 hari tempoh pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Pengarah PPDNKK negeri, Mohd. Salleh Ma'mor berkata, kesemua mereka akan memastikan skim kawalan berkenaan yang dikuatkuasa mengikut Akta kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 mencapai matlamat.

"Pemantauan ini bagi memastikan harga barangan kawalan tidak dijual melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.

"Para peniaga juga diwajibkan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan kawalan supaya dapat dibezakan dengan barangan lain," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2013 peringkat negeri di Pasar Bayan Baru di sini hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Mohd. Salleh berharap para peniaga akan mematuhi peraturan berkenaan kerana mereka boleh didenda sekiranya ingkar.

"Bagi kesalahan tidak mematuhi harga mengikut skim kawalan itu, peniaga boleh dikenakan hukuman RM100,000 dan bagi syarikat, denda sehingga RM500,000.

"Bagi kesalahan tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pula, peniaga individu boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 dan syarikat RM20,000," katanya.

Sebanyak 20 barangan disenaraikan di bawah skim itu t dan pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menelefon talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov. my.

Vale pelanggan terbesar TNB Perak tahun depan

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

IPOH 26 Julai - Vale Malaysia Minerals Sdn. Bhd. (Vale), bakal menjadi pelanggan terbesar Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Perak apabila akan memperoleh bekalan elektrik sehingga 40 Megawatt bermula Februari tahun depan.

Pengurus Besar TNB negeri, Wan Kamizi Wan Ishak berkata, bekalan elektrik yang diperoleh dari Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah Manjung itu akan digunakan untuk operasi pusat pengedaran bijih besi tersebut di Teluk Rubiah.

"Pada penghujung bulan ini, TNB akan membekalkan tenaga elektrik sebanyak 14 Megawatt kepada Vale dan jumlah itu akan meningkat sehingga 40 Megawatt menjelang Februari 2014.

"Oleh itu, Vale bukan sahaja akan menjadi pelanggan utama kita, malah antara salah satu pelabur asing yang terbesar di Perak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama ketua-ketua jabatan TNB di seluruh negeri Perak di sini semalam.

Dalam pada itu, Wan Kamizi berkata, penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah Manjung sebanyak 1,000 Megawatt dijangka siap sepenuhnya tahun hadapan.

Beliau berkata, tambahan janaan elektrik bagi membantu projek-projek perkembangan ekonomi negara itu akan disalurkan ke grid nasional untuk bekalan tenaga di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu katanya, TNB Negeri Perak juga akan meneruskan program tanggungjawab sosial korporat dengan membelanjakan sebanyak RM300,000 pada tahun ini bagi menjayakan lima program telah dirancang.

Menurut beliau, lima program berkenaan termasuklah Baiti Jannati, Program Mesra Rakyat, Program Sekolah Pintar, Kempen Keselamatan dan TNB Bersama Komuniti.

"Pada tahun ini, kita akan baik pulih rumah di Kuala Kangsar dan Teluk Intan, masing-masing sebanyak RM30,000 untuk golongan miskin beragama Islam.

"Bagi yang bukan beragama Islam pula, dua projek baik pulih rumah di Pulau Pangkor dan dua lagi di Beruas di bawah Program Mesra Rakyat," katanya.

OKU perlu majukan diri ceburi perniagaan

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

MAZNAH Hamid menyerahkan zakat harta kepada orang kurang upaya, Suria Murad sambil diperhatikan Mohd. Shauqi Mohd. Fesol (kiri) dalam majlis serahan zakat harta di Masjid Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, semalam.

JERLUN 26 Julai - Umat Islam terutama golongan kurang berkemampuan dan orang kurang upaya (OKU) perlu sentiasa berusaha memajukan diri bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Dr. Maznah Hamid berkata, golongan itu perlu mencari peluang ekonomi baharu khususnya dalam bidang perniagaan dengan tidak hanya bergantung kepada satu sumber ekonomi atau selesa bekerja makan gaji.

Katanya, terdapat pelbagai peluang perniagaan yang boleh diceburi dan golongan itu mesti tampil merebutnya menerusi bimbingan yang betul.

"Semua orang berupaya mendapat rezeki lebih jika berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah tahap ekonomi," katanya kepada pemberita dalam majlis pemberian zakat kepada 750 fakir miskin, anak yatim, OKU, mualaf dan ibu tunggal di Masjid Ayer Hitam di sini hari ini.

Selain majlis hari ini, beliau dan ahli keluarga serta beberapa rakan perniagaan juga akan menyerahkan zakat kepada 750 orang lagi daripada golongan tersebut di Masjid Kampung Tok Kepak di sini esok.

Menurut Maznah yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO negeri, pihaknya sentiasa bersedia memberikan motivasi dan bimbingan kepada golongan tersebut kerana menjadi harapannya untuk melihat mereka tidak selamanya miskin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan