Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


3 kumpulan curi motosikal tumpas

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

AZID Ismail (kanan) bersama pegawai polis melihat rangka motosikal yang dicampakkan ke dalam sungai dan kolam dikumpul sebagai barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut, Pahang, kelmarin.

JERANTUT 14 Julai - Polis menumpaskan tiga kumpulan curi motosikal selepas menahan enam suspek serta menemui tujuh rangka motosikal di dalam sungai dan kolam di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail berkata, tiga daripada mereka berusia 21, 27 dan 30 tahun ditahan pada 26 Jun lalu di Felda Sungai Retang, dekat sini.

Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan tersebut telah mencuri tujuh buah motosikal dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

"Tiga lagi ahli kumpulan curi motosikal ditahan pada 2 Julai lalu di Kampung Sungai Balang, Damak melibatkan dua pelajar sekolah tingkatan tiga dan tingkatan lima.

"Kedua-dua suspek mengaku mencuri dua motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Berau serta Kampung Bau. Rangka motosikal itu dibuang ke dalam Sungai Berau manakala komponen motosikal itu dijual," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini semalam.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang remaja berumur 20 tahun kerana memiliki komponen curi tersebut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Azid memberitahu, seorang lelaki berusia 25 tahun dicekup penduduk kampung ketika cuba mencuri motosikal Yamaha RXZ di Batu Leja, semalam.

"Lelaki itu merupakan suspek yang dikehendaki polis di Maran, Lipis dan Jerantut kerana terlibat dalam kes pecah rumah.

"Siasatan mendapati sebanyak 10 buah motosikal dicuri oleh ketiga-tiga kumpulan ini dan polis akan mencari tiga lagi motosikal yang masih hilang," ujarnya.

Pertahankan Islam daripada terus diprovokasi

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

ISMAIL Mohamed Said (kiri) menyampaikan sumbangan kewangan kepada wakil masjid dan surau kawasan Parlimen Kuala Krau di Masjid Baharu Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/salehudin mat rasad

KUALA KRAU 14 Julai - Penyatuan umat Islam perlu dilakukan lebih responsif bagi menjamin kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan yang kekal terpelihara di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, dengan mengukuhkan perpaduan umat Islam maka kedudukan agama itu akan dihormati oleh masyarakat lain yang bukan beragama Islam.

"Sudah sampai masanya orang Islam tanpa fahaman politik berpakat, bersatu dan berjuang mempertahankan agama itu daripada perbuatan provokasi serta kata cacian oleh musuh Islam.

"Keberanian segelintir pihak sejak kebelakangan ini semakin ketara seperti isu kalimah Allah, akidah, mempersenda atau mempersoalkan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan sebagainya yang dinyatakan melalui media baharu," katanya yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat di sini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan kewangan terhadap masjid dan surau kawasan Parlimen Kuala Krau di Masjid Baharu Kampung Gunung Senyum, di sini semalam.

Sebanyak 46 masjid dan 71 surau dalam kawasan Parlimen Kuala Krau menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM90,000.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Ismail berkata, golongan muda perlu bersama dengan masyarakat Islam lain untuk bersama mempertahankan kesucian agama tersebut daripada diganggu-gugat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Perpaduan ukhuwah umat Islam di negara ini menjadi pemangkin terhadap kemajuan ekonomi, politik dan sosial yang lebih kukuh.

"Rakyat yang bersatu padu akan merangsang produktiviti sekali gus mempengaruhi kestabilan ekonomi negara lebih baik," katanya.

Jangan lepas sisa kimia ke dalam sungai

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

BERA 14 Julai - Kilang kelapa sawit yang beroperasi di daerah Bera dinasihat tidak melepaskan sisa buangan kimia ke dalam sungai bagi mengelak hidupan air seperti ikan mati yang secara tidak langsung boleh menjejaskan mata pencarian nelayan sungai dan penternak ikan sangkar mengalami kerugian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Mohd. Fadil Osman berkata, pengurusan kilang sawit perlu peka dan tidak menyalurkan sisa buangan kotor ke dalam sungai walaupun setakat ini belum ada laporan rasmi kilang berkenaan dikatakan menjadi punca ribuan ekor ikan mati di Sungai Serting dan beberapa anak sungai lain di daerah ini bulan lalu.

Katanya, orang ramai dan pengurusan kilang perlu menjaga kebersihan air sungai kerana sungai turut digunakan oleh penduduk terutamanya masyarakat Orang Asli yang tinggal di tepi sungai sebagai punca bekalan air.

"Saya minta pihak penguat kuasa Jabatan Perikanan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menangkap ikan secara haram dengan menggunakan pelbagai jenis peralatan bahaya termasuk racun dan tuba di daerah ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Beliau berharap pengurusan kilang dapat membina takungan sisa buangan di kilang masing-masing mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar bagi mengelakkan sisa buangan tersebut di buang ke dalam sungai.

Menurut beliau, bulan lepas beribu-ribu ekor ikan ditemui mati dalam sungai Serting dipercayai terkena racun atau tuba yang dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Tambahnya, kejadian itu hanya disedari seorang penduduk Orang Asli semasa turun ke sungai itu untuk memancing dan mendapati banyak ikan sungai jenis lampam, kerai, batu ulu, baung dan lain lain mati di dalam sungai dengan keadaan perutnya kembung dan mata merah.

Mohd. Fadil memberitahu, menjadi kebiasaan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menangkap ikan mengunakan racun atau tuba minyak pada musim kemarau ketika ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan