Ahad, 14 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Pas mulai serang calon BN

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman beramah-mesra dengan peniaga kuih, Norita Mokhtar (kanan) dan ibunnya, Noriah Ismail semasa berkempen Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut di Pasar Borong Tok Saboh, Kuala Besut, semalam.

BESUT 14 Julai - Pas terbukti tidak mempunyai modal bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut apabila mula menimbulkan isu remeh-temeh termasuk soal latar belakang calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, dalam usaha meraih undi.

Dalam sidang akhbar di sini hari ini, Pas melalui Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali mengedarkan kenyataan yang memperkecilkan Tengku Zaihan walaupun mengakui kehebatan latar belakangnya.

Namun, kenyataan itu tidak pula banyak mengangkat kelebihan calon Pas, Endot@Azlan Yusof selain kontraktor yang dicanang sebagai seorang yang mesra dan mudah dibuat 'kira bicara.'

Mustapa yang pernah dikaitkan dengan rakaman video seks mirip wajah beliau mendakwa, Pas mendapat respons yang amat buruk mengenai calon BN daripada penduduk setempat dan pemilihan Tengku Zaihan dibuat oleh 'orang' dari Putrajaya dan bukan UMNO negeri atau bahagian.

"Ada macam-macam versi tentang calon BN ini, ada yang kata dia lahir di sini dan mempunyai ahli keluarga di Kuala Besut ini, ada yang kata pula, dia tidak lahir di sini dan tidak dibesarkan di sini, cuma keluarganya ada di sini.

"Banyak persoalan tentang calon BN ini yang kita terima maklum balas orang ramai. Kita tidak nafikan latar belakangnya yang hebat tetapi BN Terengganu tidak dapat menyelami isi hati rakyat yang mahukan seorang wakil rakyat yang benar-benar menjiwai rakyat," dakwanya.

Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.

Tindakan Mustafa itu bertentangan dengan kenyataan Endot yang menegaskan parti itu tidak akan menyerang peribadi lawan dan menjalankan kempen secara berhemah bagi menghormati Ramadan.

Endot juga dilaporkan berkata, kempen harus dijalankan secara gentleman kerana beliau mengenali rapat Tengku Zaihan dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Idris Jusoh.

Kecewa tolak siaran langsung

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh Iswan shafiq mat isa
pengarang@utusan.com.my

Ahmad Shabery Cheek memberi penerangan kepada petugas media semasa melawat Pusat Media Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut di Besut, Terengganu, semalam. - Utusan/Shaifudin Mohd. Nor

BESUT 14 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak cadangan untuk menyiarkan proses pengiraan undi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut secara langsung menerusi stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sehubungan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, beliau agak kecewa dengan pendirian SPR yang menolak cadangannya itu.

Bagaimanapun, beliau menghormati keputusan SPR selaku badan bebas yang mungkin mempunyai pertimbangan sendiri ketika menolak cadangan tersebut termasuk setiap parti sudah ada ejen calon semasa pengiraan undi dijalankan.

"Ya... saya sedih tapi menghormati (keputusan SPR). Saya juga telah berbincang dengan SPR dan menyatakan pendirian tentang rakyat perlu diberi kesempatan untuk melihat proses pengundian secara langsung kerana ramai tidak faham.

"Oleh kerana SPR adalah sebuah badan bebas, maka saya tidak boleh mengarahkan itu, ini. SPR mungkin ada pertimbangan sendiri dan saya hormati. Walaupun begitu, kita tetap akan membuat liputan lain di pusat penjumlahan undi untuk rakyat mendapat maklumat terkini yang sah dan tepat," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat khas bersama petugas SPR di Hotel Pointray, Kuala Besut, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery memberitahu, beliau tidak mempunyai sebarang masalah jika pembangkang mahu liputan yang sama diberikan kepada mereka semasa kempen berlangsung.

"Tak ada masalah. Saya serah kepada RTM (untuk menguruskan perkara tersebut). Akhbar lain saya beri arahan supaya buat liputan yang mana difikirkan mempunyai nilai berita yang wajar.

"Pertimbangan (untuk menyiarkan kempen pembangkang) itu mesti dibuat secara profesional berdasarkan nilai cerita.

"Sekarang ini pun, RTM sudah menyiarkan perbahasan di Parlimen secara live. Jadi, ini menunjukkan kalau sesuatu itu mempunyai nilai berita, perlu ditunjukkan dan dikemas kini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan