Rabu, 3 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


11 projek jayakan Perlis Maju 2015

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

AZLAN Man (kanan) menjawab soalan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-13 yang berlangsung di Kompleks DUN, Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 2 Julai - Kerajaan negeri telah mengambil tindakan drastik dengan melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan Perlis mencapai status negeri maju menjelang 2015.

Menteri Besar, Azlan Man memberitahu, antaranya kerajaan telah dan akan melaksanakan 11 projek yang dikenalpasti sehingga Jun tahun ini iaitu:

* Penubuhan Perlis Invest sebagai pusat sehenti pelaburan yang akan berfungsi untuk mempromosi sektor pelaburan di negeri ini.

* Pembangunan Taman Teknologi Tinggi Pauh Putra.

* Pembangunan Kangar Sentral, Seriab.

* Projek Ternakan Ayam Secara Bersepadu, Mukim Titi Tinggi.

* Halal Park, Padang Besar.

* Depot pelepasan Darat (ICD), Padang Besar.

* Bandar Baharu Chuping.

* Menaik taraf jeti Kuala Perlis kepada Pelabuhan Perikanan Antarabangsa.

* Pengkomersialan sektor pertanian berasaskan nilai tambah.

* Pembangunan program di bawah inisiatif Koridor Utara.

* Pengembangan sektor pelancongan berasaskan agro dan ekopelancongan.

Menjawab soalan daripada Nurulhisham Yaakob (BN-Simpang Empat) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-13 yang berlangsung di Kompleks DUN di sini hari ini, beliau berkata, usaha promosi menarik pelabur terus dipergiatkan bagi menarik lebih banyak pelaburan sama ada dari dalam dan luar negara ke Perlis.

"Syarikat-syarikat multinasional juga akan dijemput dan diberi insentif pelaburan seperti pengurangan cukai dan cukai pintu mengikut jenis industri dalam tempoh tertentu.

"Usaha-usaha akan diambil untuk mengadakan jaringan dengan semua pihak termasuk pelabur asing dan agensi Kerajaan Pusat bagi memudahkan proses berkaitan kemasukan pelaburan ke negeri ini.

Shisha turut jadi tumpuan sidang DUN Perlis

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

KANGAR 2 Julai - Pengharaman menghisap dan menjual shisha turut menarik tumpuan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis apabila dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd. Shukri Ramli ketika mengambil bahagian dalam perbahasan usul terima kasih ke atas titah ucapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini.

Sambil memuji tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan shisha di negeri ini, ADUN daripada parti Pas itu berkata, pengharaman tersebut memang wajar kerana boleh memudaratkan masyarakat khususnya generasi muda.

"Langkah diambil Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengharamkan shisha cukup baik, kerana apa sahaja yang memudaratkan rakyat perlu dihalang kerana boleh merosakkan generasi yang menjadi pewaris pemimpin masa depan," kata beliau.

Selain itu, kata Mohd. Shukri, jawatankuasa berkenaan dan pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan seumpama itu ke atas aktiviti meminum air daun ketum sehingga menimbulkan masalah sosial yang serius.

Menurut beliau, ini kerana meminum air daun ketum membawa kesan memudaratkan dari aspek kesihatan dan melalaikan peminumnya sehingga menjejaskan aktiviti seharian.

Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) yang bangun mencelah pula berkata, ada dalam kalangan peminumnya yang mencampurkan air daun ketum dengan bahan lain termasuk minuman bikarbonat.

Mohd. Shukri berkata, beliau bersetuju dengan Ismail dan berharap pihak berkenaan dan kesemua pihak bekerjasama memastikan supaya gejala tersebut dapat diatasi.

"Dalam kalangan peminum air daun ketum, air tersebut yang dicampur bikarbonat diuji terlebih dahulu ke atas ikan dalam akuarium, jika ikan tersebut berenang dengan laju, maka kesannya dikatakan baik dan barulah mereka meminumnya.

"Diharap pihak kerajaan negeri mengambil perhatian ke atas aktiviti meminum air daun ketum ini yang semakin menular di negeri ini sehingga boleh memberi kesan buruk kepada generasi muda," katanya.

Empat syarikat PKENPs alami kerugian tahun lalu

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

KANGAR 2 Julai - Hanya empat daripada 11 buah syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang mengalami kerugian sehingga 31 Disember tahun lalu.

Menteri Besar, Azlan Man berkata, syarikat-syarikat tersebut ialah Perlis Property Sdn. Bhd. (RM21,205); Putra Palace Sdn. Bhd. (RM1,157,855); Perlis NCER Trading Sdn. Bhd. (RM48,192) dan Perlis Marine Engineering (PME) Sdn. Bhd. (RM1,799,642).

"Punca utama syarikat-syarikat tersebut mengalami kerugian ialah kekurangan projek pada masa kini berdasarkan kekurangan peruntukan kerajaan dan pelaburan swasta di Perlis.

"Pelaksanaan dasar gaji minimum dan peningkatan caruman wajib kepada kakitangan menyebabkan peningkatan kos operasi syarikat," kata beliau ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Kompleks DUN di sini hari ini.

Menurut beliau, lain-lain yang menyumbang kepada kerugian tersebut ialah persaingan sengit dalam industri berkaitan.

Bagaimanapun, kata Azlan, pihaknya telah mengambil tindakan untuk menangani masalah tersebut.

Kata beliau, PKENPs bersama pihak pengurusan syarikat telah bertindak agresif bagi mendapatkan projek seperti Pens Holding Sdn. Bhd. yang berjaya memperoleh Projek Penempatan Banjir Timah Tasoh bernilai RM41 juta pada tahun ini.

"PME pula dalam proses akhir memuktamadkan perjanjian projek membekalkan 'tug boat' kepada Kementerian Pengangkutan dan Logistik Republik Benin, Afrika selain membida projek di Abu Dhabi," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan