Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Pertemuan satu lawan satu

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh WAN ZULKIFLI, RADHUAN HUSSAIN, AZRAN FITRI dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

TENGKU Zaihan Che Ku Abdul Rahman (tengah) bersama barisan kepemimpinan Barisan Nasional (BN) diketuai Muhyiddin Yassin selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna, Kompleks Rakan Muda Daerah Besut, Terengganu, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

BESUT 12 Julai - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dengan saingan tradisinya, Pas di kawasan majoriti Melayu itu.

BN yang akan mempertahankan kerusi yang dimenangi buat penggal kedua berturut-turut, diwakili oleh Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman, 37, yang merupakan seorang jurutera awam manakala seorang kontraktor, Endot @ Azlan Yusof, 48, mewakili parti pembangkang itu.

Kedua-duanya merupakan muka baru dan buat pertama kalinya juga, Pas tidak mengetengahkan calon yang dikaitkan dengan gelaran ustaz atau kalangan alim manakala BN pula daripada kalangan profesional paling muda, di luar resam biasa.

Pengumuman rasmi pencalonan mereka dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, A. Rahim Jusoh di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kompleks Rakan Muda Kampung Raja dekat sini.

Proses itu berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini walaupun terjejas sedikit ekoran hujan renyai dan dapat diselesaikan lebih awal berbanding jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon Pas yang lebih dikenali sebagai Che Long menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.03 minit sejurus sahaja pusat itu dibuka manakala calon BN pada pukul 9.10 minit.

Ribuan penyokong kedua-dua belah pihak hadir sejak awal pagi dan perarakan mengiringi calon BN tiba diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Yang turut serta dalam perarakan itu ialah dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Publisiti UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Calon Pas pula diapit oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas negeri, Abdul Wahid Endut; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob dan Pengarah PRK DUN Kuala Besut, Datuk Husam Musa.

PRK di kawasan DUN yang majoriti pengundinya merupakan nelayan dan petani, diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu.

DUN Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi dan mengikut pecahan umur, sebanyak 27.94 peratus berusia 21 hingga 29 tahun, 27.36 peratus (30 hingga 39 tahun), 19.34 peratus (40 hingga 49 tahun), 12.86 peratus (50 hingga 59 tahun) dan 12.49 peratus berusia 60 tahun ke atas.

Sebanyak 93.33 peratus adalah pengundi biasa, 6.67 melibatkan pengundi tentera, polis dan pasangan masing-masing serta seorang pengundi luar negara manakala mengikut pecahan kaum pula, 98.71 peratus Melayu, Cina (0.80 peratus), India (0.08 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.41 peratus.

PRK kali ini bakal menentukan sama ada BN dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah dengan mengembalikan jumlah kerusi yang dimenangi kepada 17 dan membuka harapan Pas untuk meletakkan jumlah kerusi seimbang 16:16 yang boleh mencetus konflik perundangan berpanjangan.

BN menyasarkan kerusi itu dapat dipertahankan dengan majoriti undi melonjak daripada 2,434 kepada hampir 4,000 manakala pakatan pembangkang cuba meyakinkan tidak mustahil untuk Pas mengambil alih.

Dalam PRK kali ini, SPR telah meminda kaedah penggunaan dakwat kekal yang bukan lagi dicalit pada jari tetapi sebaliknya perlu terus mencelup jari ke dalam dakwat agar tidak lagi mudah dihilangkan kesannya.

Kemenangan BN dapat stabilkan politik negeri - TPM

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

CALON BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (kanan) bersama calon Pas, Endot @ Azlan Yusof mengangkat tangan selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna, Kompleks Rakan Muda Daerah Besut, Terengganu, semalam.

BESUT 12 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mampu membawa kemenangan kepada BN, sekali gus menstabilkan suasana politik di negeri ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keadaan itu menuntut kemenangan lebih besar dan melalui pilihan raya 24 Julai ini, calon muda tersebut juga berpeluang menyambung khidmat bakti sebagaimana pendekatan penyandang terdahulu, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar.

"Tengku Zaihan akan teruskan kecemerlangan Dr. A. Rahman, malah lebih daripada itu juga untuk generasi muda," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai perarakan mengiringi calon BN, Tengku Zaihan ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Daerah Besut di sini hari ini.

Yang turut serta, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau juga menggesa seluruh rakyat memberi sokongan padu kepada calon berkenaan agar BN terus berkuasa dan meneruskan pembangunan di kawasan itu.

Katanya, rakyat perlu menaruh keyakinan tinggi kepada calon bagi kerusi Kuala Besut itu berdasarkan ketokohan, kredibiliti dan latar belakang keluarga yang dimiliki bekas jurutera awam itu.

"Kita harap keputusan PRK Kuala Besut yang bakal diketahui pada 24 Julai ini nanti bukan saja di sebelah BN, malah BN akan mendapat undi lebih besar.

"BN telah menggerakkan jenteranya yang diketuai Idris dan dibantu Menteri Besar serta semua pemimpin peringkat negeri yang telah menghantar pasukan masing-masing,'' katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, gerak kerja jentera BN bagi menghadapi PRK Kuala Besut kali ini akan mengambil kira kesesuaian bulan Ramadan yang mulia, menerusi pendekatan lebih berhemah dan tertib.

0 ulasan:

Catat Ulasan