Khamis, 11 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Baiah undang pelbagai persepsi

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

HASAN ALI

KUALA LUMPUR 11 Julai - Tindakan calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azlan @ Endot Yusof berbaiah (bersumpah) di hadapan umum dalam majlis pengumuman oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikhuatiri mengundang pelbagai persepsi masyarakat.

Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ini kerana baiah perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran di antara individu yang melafazkan sumpah berkenaan dengan Allah.

"Saya tiada masalah Azlan berbaiah di hadapan hadirin yang merupakan makhluk Allah juga. Tetapi ia dikhuatiri mengundang pelbagai persepsi kerana dalam baiah, perkara yang paling utama ialah di antara orang bersumpah dengan Allah sementara makhluk lain sekadar saksi.

"Bagi saya kalau sumpah begitu dibuat di hadapan umum dan di gelanggang politik, ia ditakuti dipengaruhi oleh politik dan bukan syariat.

"Oleh itu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mesti sanggup menerima bacaan orang ramai yang sesetengahnya bersetuju sementara ada juga ada pihak yang akan mempertikai dan memperlekeh baiah tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan yang juga bekas Naib Presiden Pas diminta mengulas tindakan Pas yang bertindak di luar kelaziman apabila meminta calonnya melakukan baiah secara terbuka dalam majlis ceramah dan pengumuman calon Kuala Besut malam tadi sempena PRK 24 Julai ini.

Malah, Abdul Hadi sendiri yang memimpin baiah Azlan malam tadi turut mengakui sebelum ini calon Pas hanya berbaiah dengan membaca ikrar di hadapan wakil Majlis Syura Ulama.

Hasan menambah, hanya Allah yang berhak melaknat Azlan sekiranya mengingkari sumpah berkenaan sementara kesemua hadirin lain yang menyaksikan sumpah berkenaan tidak boleh melaknatnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mendedahkan ada dalam kalangan pemimpin dan ahli Pas melakukan baiah sehingga sanggup menceraikan isteri dengan talak tiga jika meninggalkan parti itu dan mendakwa baiah itu turut menjadi kekangan dalam kalangan pemimpin bawahan Pas untuk menyertai UMNO meskipun mereka berminat berbuat demikian.

10,000 penyokong dijangka iringi Zaihan

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

KUALA BESUT 11 Julai - Kira-kira 10,000 penyokong dari seluruh negara dijangka menyertai perarakan mengiringi calon Barisan Nasional (BN),Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Besut, di Kampung Raja dekat sini, esok.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, perarakan itu diketuai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengarah PRK bersama pemimpin tertinggi BN lain.

Idris yang juga Menteri Pendidikan II berharap penyokong BN hadir beramai-ramai kerana PRK itu begitu penting bagi UMNO dan BN terutama di negeri ini.

Beliau juga meminta semua penyokong BN memakai baju berwarna biru sebagai simbolik kepada PRK Kuala Besut yang bertemakan Kuala Besut Bertambah Biru.

"Walaupun penamaan calon dan pilihan raya diadakan pada bulan puasa, diharap penyokong parti tetap keluar beramai-ramai untuk memberi sokongan kepada calon dan membangkitkan semangat perjuangan BN.

"Semua pemimpin tertinggi BN termasuk menteri, timbalan menteri dan pemimpin sayap kanan parti komponen BN dijangka hadir untuk memberi sokongan kepada calon terbabit," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jentera parti di sini malam tadi.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, Kuala Besut berkembang seiring dengan kawasan-kawasan lain dengan perhatian yang diberikan oleh pemimpin setempat dan kerajaan negeri.

Katanya, ini termasuklah yang terbaru melibatkan peruntukan RM1 juta untuk membaik pulih jalan yang sudah dirancang oleh Allahyarham Dr. A Rahman Mokhtar ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu.

"Antara projek lain untuk penduduk DUN itu ialah pembinaan 80 unit rumah mampu milik untuk nelayan di Kampung Kandang Lembu yang akan dirasmikan majlis pecah tanah oleh Timbalan Perdana Menteri pada 13 Julai.

"Selain itu, sebanyak 150 unit rumah pangsa di Kuala Besut sudah siap pembinaannya dan akan diagihkan kepada pemohon yang berjaya selepas PRK DUN berkenaan," katanya pada majlis berbuka puasa di sini petang semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan