Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Nik Abduh pula tempelak Pengerusi DAP

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Julai - Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul Aziz menempelak Pengerusi DAP, Karpal Singh kerana disifatkan membuat kenyataan berbaur ugutan terhadap parti itu berhubung hasrat meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pertikaian berkenaan isu tersebut seharusnya diselesai menerusi perbincangan.

Katanya, masyarakat bukan Islam perlu menghormati kedudukan Islam dalam Perlembagaan yang meletakkan hak orang Islam sebagai kepentingan teratas dan membenarkan mereka melaksana setiap tuntutan agama.

Tambah beliau, dalam isu menentukan agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun ke bawah, ibu atau bapa yang telah memeluk Islam berhak membawa bersama anaknya memeluk Islam.

Sehubungan itu, katanya, Perlembagaan atau undang-undang yang mahu digubal perlu selari dengan hukum Islam tersebut.

"Mengikut hukum Islam apabila ibu atau bapa masuk Islam, maka anaknya di bawah umur berhak beragama Islam kerana anak itu berhak mengenali agama.

"Semua umat Islam mesti berusaha mendapatkan hak agama anak kerana itu hak mereka dengan Allah," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan Karpal supaya Ahli Parlimen Pas dan PKR menyokong cadangannya meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Meskipun pembentangan Rang Undang- Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 ditarik balik, namun Karpal dilihat masih tidak berpuas hati selepas menyifatkannya sebagai tidak memadai.

Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 bertujuan mengelak 'salah tafsir' berhubung kebenaran menukar agama kanak-kanak berumur di bawah 18 tahun.

Semalam, Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyifatkan tindakan Karpal memberi kata dua itu bertentangan dengan konsep perkongsian antara ketiga-tiga parti tersebut dalam pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, Nik Mohd. Abduh mahu semua pihak menghormati pendirian kerajaan yang menarik balik rang undang-undang tersebut.

"Kita negara majoriti Islam, apa-apa pertelingkahan cuba selesaikan dengan cara harmoni melalui perbincangan.

"Undang-undang tidak bergerak dengan ugutan tetapi melalui pemahaman," katanya.

Karpal Singh 'bahaya', Pas perlu istiqamah

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

PULAU PINANG 8 Julai - Ahli Pas yang juga Penyelaras Jaringan Muslimin Pulau Pinang (JMPP), Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, Pas perlu komited dan istiqamah dalam mempertahankan teguran yang disuarakan Penolong Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Menurutnya, tiada siapa boleh menafikan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang telah tercatat dalam Perlembagaan dan semua pihak harus menghormati peruntukan berkenaan termasuk tidak mempertikaikannya.

"Apa yang ditegaskan Takiyuddin itu benar, jadi Pas perlu mempertahankannya dan saya harap semua ahli serta pemimpin Pas beristiqamah terhadap perkara ini.

"Jangan menukar pendirian ini sama seperti yang dilakukan pemimpin-pemimpin parti sebelum ini berhubung beberapa isu lain pernah yang dibangkitkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Takiyuddin meminta Karpal supaya tidak memberi kata dua kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar menyokong hasratnya untuk meminda Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan berhubung status agama kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

Mohamed Hafiz yang juga bekas Ketua Pemuda Pas negeri dalam pada itu turut menyuarakan rasa pelik beliau terhadap hilangnya suara-suara para pemimpin Pas berhubung isu tersebut.

"Mana pergi pemimpin atasan Pas? Kenapa hanya Penolong Setiausaha Agung sahaja yang mengeluarkan kenyataan, mana hilangnya Setiausaha Agung dan pemimpin tertinggi parti yang lain?" soalnya.

Selain itu tegas beliau, tindakan Karpal yang mahu mengusulkan pindaan terhadap Perkara 12 (4) berkenaan seolah-olah menunjukkan sikap Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu yang tidak menghormati Perlembagaan.

"Pembentangan rang Undang- Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 sudah ditarik balik, jadi apa lagi yang mahu diusulkan?

"Apakah Karpal cuba mengambil kesempatan di atas kegagalan Barisan Nasional (BN) mendapatkan dua per tiga kerusi di Parlimen dengan membangkitkan isu sensitif seperti ini?

"Kalau inilah sikap sebenar beliau, saya melihat Karpal ini seorang yang 'bahaya' untuk keharmonian negara berbilang bangsa seperti Malaysia," katanya.

(MUGSHOT HAFIZ)

AZHARI ZAINOODDIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan