Isnin, 1 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Kendali mahu bina stesen minyak

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Mustapa Long (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ahli persatuan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kendali Kali Ke-27 di Kulal Lipis, Pahang, baru-baru ini. Turut serta Abdul Fattah Abdullah (dua, kanan).

KUALA LIPIS 1 Julai - Koperasi Pekebun Kecil Daerah Lipis Berhad (Kendali) merancang membina sebuah stesen minyak di pinggir bandar ini sebagai usaha menambah dana ahli menerusi pelbagai kegiatan ekonomi pertubuhan itu.

Pengerusi Kendali, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasti lokasi projek berkenaan di Kampung Mela, Mukim Cheka Satu yang dianggap strategik kerana berdekatan dengan Jalan Persekutuan Lama Kuala Lipis ke Jerantut.

''Kendali akan menyuntik peruntukan RM400,000 bagi tujuan itu dan kelulusan tanah daripada Pejabat Tanah dan Daerah di sini juga telah diperoleh.

''Hasil keuntungan operasi stesen minyak ini akan dikongsi bersama ahli. Selain itu, Kendali juga akan mengeluarkan dana bantuan kepada pelajar miskin yang cemerlang dalam akademik dan khairat kematian dalam kalangan ahli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kendali Kali ke-27 yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, di sini kelmarin.

Yang hadir sama, Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri, Wan Ahmad Sabri Zainuddin Wan Mohamad dan Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Raub/Lipis, Saffuan Fathi Md. Shuhaimi.

Menurut beliau, usaha Kendali mempelbagai kegiatan sektor ekonomi menerusi industri kecil dan perladangan bermatlamat untuk mengumpul dana koperasi di samping menambah pendapatan pekebun kecil di sini menerusi dividen dan peluang dalam kegiatan borong.

"Koperasi ini akan melangkah ke depan lagi menerusi sektor industri dan usahawan dengan membabitkan penyertaan ahli iaitu pekebun kecil di daerah Lipis," katanya.

Abdul Fattah yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), meminta kesemua koperasi di daerah Lipis bersikap proaktif dan menghayati peranan masing-masing dan integriti dalam pengurusan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Usaha pembangunan koperasi menjadi entiti utama yang berdaya saing akan menjadi lebih mudah sekiranya setiap koperasi yang ditubuhkan menyedari peranan masing-masing," katanya.

Tambahnya, kerajaan tetap membantu semua koperasi di negara ini sebagai pemain dalam semua bidang perniagaan sekali gus bergerak di landasan transformasi pembangunan ekonomi negara pada alaf ini.

Penduduk rayu naik taraf saluran bekalan air

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

JERANTUT 1 Julai - Penduduk di Kampung Bharu, di sini merayu pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) menaik taraf saluran bekalan air ke rumah mereka berikutan saluran paip di puncak Sungai Ulu Jawa yang membekalkan air ke kampung mereka sering mengalami kerosakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Bahru, Mohamed Said berkata, penduduk terpaksa naik ke puncak bukit menggunakan motosikal sejauh tiga kilometer dan kemudian berjalan kaki satu kilometer lagi untuk membaiki saluran air ke rumah mereka terutama ketika hujan lebat.

"Paip ada bekalkan air kepada kami namun tekanannya sangat rendah sehingga air tidak sampai ke rumah dan berikutan itu, penduduk terpaksa mengambil air daripada bukit berhampiran untuk kegunaan harian.

"Kampung ini mempunyai 102 buah rumah dan 97 peratus daripadanya masih menggunakan air bukit malah kami terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi iaitu sebanyak RM7,000 bagi membina saluran air di puncak bukit di sini," katanya di sini baru-baru ini.

Mohamed berkata, penduduk turut dibelenggu kerisauan terhadap tahap kesihatan mereka yang terjejas kerana menggunakan air sungai yang tidak dirawat.

Menurutnya, lebih membimbangkan sekiranya kawasan bukit berhampiran ditarah untuk aktiviti pembalakan yang akan menyebabkan mereka hilang punca air.

"Penduduk di sini dan kampung sekitar menggunakan punca daripada air Sungai Latar Besen, Sungai Ulu Jawa, Sungai Pandan, Sungai Jering dan ada beberapa anak sungai lagi. Air itu juga disalurkan ke masjid, sekolah, klinik dan dewan," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha JKKK kampung berkenaan, Mohamad Razali Mat Ali berkata, penduduk juga bergantung kepada air bukit untuk mengusahakan ternakan ikan air tawar.

Beliau memberitahu, kawasan tadahan air yang mereka bina tidak akan kekal lama dan aktiviti pembalakan pasti akan mencemarkan alam sekitar serta memusnahkan industri ternakan mereka.

"Kami harap pihak Paip dapat membantu untuk menyelesaikan masalah ini supaya kami dapat menggunakan air yang bersih dan tidak ada sebarang gangguan lagi," jelasnya.

JAIP tubuh skuad khas Ramadan

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

KUANTAN 1 Julai - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menubuhkan skuad khas untuk mengesan mana-mana umat Islam di negeri ini yang didapati makan dan minum secara terbuka pada bulan Ramadan nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, skuad itu akan menjalankan rondaan di lokasi-lokasi tertentu termasuk premis makanan yang melakukan perbuatan tersebut.

"Mereka yang didapati bersalah kerana gagal menjalankan ibadah itu akan dikenakan tindakan tegas seperti termaktub di bawah undang-undang syariah JAIP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tegasnya, tindakan serupa akan diambil terhadap mana-mana premis makanan yang didapati menjual makanan serta minuman kepada umat Islam kerana mereka turut bersuhabat melakukannya.

Sementara itu, tentang penggunaan shisha di negeri ini, Syed Ibrahim berkata, perkara tersebut tidak perlu menunggu fatwa sekiranya membawa keburukan terhadap pengguna.

"Kita bersetuju dengan tindakan kerajaan Perlis membendung perkara itu. Pada pandangan saya, pendidikan awal terhadap pengguna perlu diberikan supaya mereka mengetahui kesannya sebelum penguatkuasaan dilakukan," ujarnya.

Menurutnya, masalah yang berlaku terhadap penggunaan itu mungkin disebabkan terdapat segelintir pihak membuat pengubahsuaian peralatan shisha dengan menggunakan dadah, sekali gus memberikan kemudaratan kepada pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan