Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


'Tidak ikut peraturan dewan'

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

PULAU PINANG 5 Julai - Tindakan memansuhkan sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini berkemungkinan tidak sah kerana tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, sebelum ini mana-mana keputusan yang hendak dibuat perlu mendapat persetujuan dewan terlebih dahulu dan bukan dilaksanakan tanpa dibincangkan ahli-ahlinya.

Menurutnya, berdasarkan peraturan dewan, perlu ada pihak yang membuat usul cadangan diikuti usul menyokong seterusnya dibuka kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya.

"Kalau nak sambung masa pun kena dapat usul dahulu, kemudian dibuat keputusan oleh dewan.

"Apa yang Speaker baharu itu buat tidak betul. Perjalanan, peraturan sudah tidak diikuti. Sama ada sidang sah atau tidak, itu tidak pasti tetapi sejak hari pertama lagi sudah tidak ikut peraturan," katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis penyampaian sumbangan amal jariah dan pengimarahan masjid sempena Ramadan di sini hari ini.

Kelmarin Speaker DUN, Law Choo Kiang mengumumkan tiada sesi soal jawab dalam sidang kali ini sebaliknya hanya meneruskan persidangan dengan sesi membahas ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Keputusan itu mencetuskan kekecohan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid menyifatkan demokrasi telah 'dibunuh' dalam DUN berikutan Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai kuasa mutlak.

Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan memberitahu, sepanjang empat penggal beliau menjadi wakil rakyat, tidak pernah perkara sedemikian berlaku.

Sementara itu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng memohon maaf terhadap 'kesilapan' memansuhkan sesi soal jawab dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini yang mencetuskan kekecohan Selasa lalu.

Isu air: Jahara tempelak Guan Eng

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

PULAU PINANG 5 Julai - Sesi penggulungan ucapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) menempelak kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung isu air.

Jahara berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya mengenakan caj air mentah terhadap Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

"Tindakan mengenakan caj berkenaan hanya akan menyebabkan kos operasi air meningkat.

"Ini kemudiannya akan dipindahkan kepada rakyat dan mereka yang akan menanggung kesannya," katanya ketika mencelah ucapan penggulungan Guan Eng (DAP-Air Putih).

Beliau menjelaskan, sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah mengenakan caj berkenaan kepada PBAPP kerana sedar isu berkenaan membabitkan kepentingan rakyat.

Guan Eng yang nampak 'tersentak' dengan asakan Jahara kemudian memohon kerjasama 10 ADUN pembangkang supaya 'senada' dengan kerajaan negeri bagi menolak permintaan Kedah yang mahukan Pulau Pinang membayar harga air.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Guan Eng berkata, beliau tidak faham mengapa Pulau Pinang harus membayar kepada Kedah bagi sumber air yang diambil dari sungai yang terletak di negeri sendiri.

"Kalau Kedah mahu tuntut, mereka harus berbuat demikian kepada kerajaan Pusat. Mengikut undang-undang antarabangsa, kita tidak perlu bayar kerana kita ambil air di sungai yang terletak dalam kawasan kita sungguhpun punca air dari Kedah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan