Sabtu, 13 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Operasi khas tangkap ponteng puasa

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my

IPOH 12 Julai - Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) memberi amaran akan bertindak tegas termasuk mengenakan kompaun sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan terhadap umat Islam yang makan, minum atau menghisap rokok di khalayak ramai sepanjang Ramadan ini.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, tindakan ke atas mereka yang ditahan itu dibuat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.

Mohd. Yusop berkata, pihak penguat kuasa JAIPk juga akan menjalankan operasi khas menangkap mereka yang melakukan kesalahan tersebut selain melakukan rondaan di kawasan yang sering menjadi tumpuan kaki ponteng puasa sepanjang Ramadan ini.

"Berwaspadalah kerana petugas akan melakukan tinjauan tanpa memakai uniform lengkap JAIPk.

"Hanya kerana menghisap sebatang rokok atau menghirup segelas teh tarik, mereka yang bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan. Tiada kompromi dalam soal ini," kata Mohd. Yusop.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan ke Sekolah Raja Perempuan Taayah, di sini semalam.

Mohd. Yusop berkata, tiada tangkapan dibuat sehingga kini namun semua pegawai penguat kuasa JAIPk diarahkan membuat pemantauan di semua premis makanan bagi menahan mana-mana umat Islam yang makan dan minum di khalayak ramai sepanjang Ramadan.

Katanya, JAIPk juga telah mengedar surat pekeliling melarang pengusaha makanan termasuk restoran menjual makanan kepada umat Islam pada waktu yang tidak dibenarkan mereka berbuat demikian.

"Umat Islam seharusnya sentiasa menghormati bulan yang penuh berkat ini dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan mereka," katanya.

15 SAR diminta daftar sebagai SABK

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

IPOH 12 Julai - Sebanyak 15 daripada 37 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri ini yang belum mendaftar sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) diminta segera berbuat demikian bagi membolehkan pelbagai bantuan disalurkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, walaupun kerajaan tidak memaksa sekolah berkenaan mendaftar sebagai SABK, mereka perlu mengutamakan pelajaran dan masa hadapan pelajar.

"Setakat ini, sebanyak 22 buah SAR sudah mendaftar sebagai SABK dan kita mengharapkan 15 buah SAR lagi dapat berbuat demikian segera demi pelajaran dan masa hadapan pelajar.

"Hanya dengan mendaftar sebagai SABK, segala bantuan persekolahan termasuk infrastruktur dapat disalurkan kepada sekolah berkenaan supaya pelajar boleh menikmati kemudahan pembelajaran yang lebih baik dan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kumpulan Saintis Muda dari Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah Ipoh, di sini hari ini.

Dalam Ekspo Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa 2013 di Macau baru-baru ini, kumpulan Saintis Muda yang diwakili Aida Adriana, Nurul Firzanah dan Amira Syuhada berjaya meraih pingat emas dan anugerah khas untuk projek Green Matbakh dan pingat perak bagi projek penapis minyak Z-Filter.

April lalu, dua projek tersebut memenangi dua pingat emas dalam Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan Antarabangsa 2013 di Universiti Malaysia Perlis.

Mohd. Nizar berkata, kejayaan kumpulan Saintis Muda mendapat pengiktirafan antarabangsa menunjukkan pelajar sekolah agama mampu menyaingi pelajar sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan.

"Sekolah ini bukan setakat melahirkan pelajar cemerlang, malah kumpulan saintis muda yang mencipta nama di peringkat antarabangsa," katanya.

Jual ayam murah tetapi masih mampu raih keuntungan

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

ANAK Mohd. Zahir, Mohd. Zahiri (kanan) sedang melayan pelanggannya di Pasar Besar, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 12 Julai - Meskipun menjual ayam pada harga lebih murah berbanding peniaga-peniaga lain, Mohd. Zahir Zainal Abidin, 59, masih berupaya mengembangkan perniagaannya sehingga mempunyai kira-kira 20 pekerja pada masa ini.

Malah, jualan ayam di gerai E.D Ayam miliknya di Pasar Besar Alor Setar di sini, melebihi purata 1,500 ekor sehari berikutan gerainya sentiasa menjadi tumpuan ramai untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut yang berharga lebih rendah.

Mohd. Zahir berkata, antara formula digunakannya sehingga mampu menawarkan harga ayam berpatutan ialah mendapat bekalan daripada satu pembekal sahaja berbanding para peniaga lain yang mendapat bekalan daripada beberapa peringkat pembekal.

Dia yang mula berkecimpung dalam perniagaan ayam sejak 43 tahun lalu berkata, walaupun margin keuntungan bagi setiap kilogram ayam lebih rendah berbanding peniaga lain, dia masih mampu menjana keuntungan apabila dapat menjual ayam dalam kuantiti banyak.

"Selain itu, sikap peniaga itu sendiri turut memainkan peranan dalam meletakkan harga ayam. Bagi saya sikap bertimbang rasa lebih penting daripada menyasarkan keuntungan besar untuk setiap kilogram ayam yang dijual kerana tidak semua pengguna mampu membeli ayam jika dijual terlalu mahal.

"Pada masa sama, saya secara tidak langsung membantu mewujudkan peluang pekerjaan dengan menggaji kira-kira 20 pekerja ketika ini," katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan di sebalik kenaikan harga ayam yang mendadak sehingga RM9 sekilogram sejak kebelakangan ini, Mohd. Zahir tetap menjual pada harga RM7.20 sekilogram.

Sementara itu, pengguna, Mohd. Khir Hamid, 49, berkata, walaupun ayam yang dijual oleh Mohd. Zahir lebih murah namun kualitinya setanding dengan ayam di gerai-gerai lain dan mempunyai pilihan saiz.

Katanya, dia menjadi pelanggan tetap E.D Ayam sejak 20 tahun lalu kerana berpuas hati dengan harga dan kualiti ayam yang dijual di situ.

Bagi Riduan Mansor, 42, pula, katanya, keupayaan Mohd. Zahir menjual ayam pada harga lebih murah dan masih mampu meraih keuntungan membuktikan bahan makanan itu boleh dijual pada harga berpatutan tanpa merugikan peniaga.

"Sudah semestinya gerai seperti ini akan menjadi tumpuan pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Jafri Johan Zainudin, 53, pula berharap para peniaga lain dapat mencontohi Mohd. Zahir yang membantu pelanggan membeli ayam pada harga berpatutan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar awam lain mendapati masih terdapat peniaga menjual ayam mencecah RM9 sekilogram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan