Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


49 rumah setinggan diroboh

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan menggunakan jentolak ketika operasi merobohkan sebuah rumah setinggan di Kampung Sungai Galing, Kuantan, kelmarin. - Utusan/Ahmad Zakki Jilan

KUANTAN 4 Julai - Kerajaan negeri merobohkan sebanyak 49 rumah di Kampung Sungai Galing dan Kampung Galing Besar di sini, kerana didapati tidak selamat diduduki akibat banjir besar pada Disember tahun lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, operasi tersebut bermula hari ini dan esok melibatkan sebanyak 41 rumah di Kampung Sungai Galing dan lapan di Kampung Galing Besar.

Menurut beliau, langkah itu dibuat atas titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang mahu penduduk terbabit dipindahkan ke kawasan selamat memandangkan kampung tersebut rosak teruk akibat bencana berkenaan.

"Perbincangan diadakan bersama 41 penghuni di Kampung Sungai Galing dan mereka bersetuju berpindah ke rumah pangsa yang terletak di Lorong Haji Pak Mahat di sini.

"Rumah diduduki mereka merupakan tanah milik kerajaan dan selepas kerja-kerja tersebut dilakukan kita akan memagari kawasan berkenaan supaya tiada lagi orang lain tinggal di situ," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Muhammad Safian berkata, bagi Kampung Galing Besar pula, terdapat 20 rumah yang dihuni tetapi hanya lapan akan dirobohkan.

"Lapan rumah tersebut dirobohkan berikutan kediaman yang dibina oleh penghuni terbabit dibuat secara haram tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik tanah.

"Tindakan tersebut dibuat setelah pemilik tanah terbabit bersetuju merobohkan rumah berkenaan dan penghuni terlibat dipindahkan ke penempatan sama," katanya.

Katanya, langkah tersebut diambil bagi memastikan kesemua penghuni terlibat tidak lagi bimbang tentang keselamatan mereka setelah dipindahkan ke tempat lain.

Muhammad Safian memberitahu, kerajaan negeri menyasarkan menjadikan daerah itu sebagai sifar setinggan di tanah milik kerajaan sebelum akhir tahun ini.

Katanya, terdapat beberapa kawasan setinggan telah dikenal pasti dan perbincangan dibuat bersama penduduk terbabit supaya mereka dipindahkan tanpa sebarang masalah.

JPS keluar tender laksana projek tebatan banjir

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

KUANTAN 4 Julai - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengeluarkan tender bagi kerja-kerja melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat yang pernah berlaku di bandar ini, Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, pengeluaran tender tersebut adalah untuk kerja-kerja mengorek semula Sungai Galing dan meningkatkan sistem saliran utama di perkampungan Lubuk Puyu, Permatang Badak serta Kampung Razali.

"Selain itu, projek yang turut dikeluarkan tender adalah menaik taraf kolam takungan di Taman Pelindung dan menaik taraf sistem perparitan sedia ada di bandar Kuantan," katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Zaili Besar (BN-Panching) yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan supaya kejadian banjir kilat yang berlaku Disember lalu tidak berulang.

Menurut Mohd. Soffi, tender terbabit dikeluarkan selepas kerajaan negeri menerima dan meneliti pelbagai cadangan bagi meningkatkan sistem saliran bandar serta menerima peruntukan RM50 juta melalui Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, selain JPS, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) juga sudah mengambil tindakan dengan mengeluarkan beberapa tender untuk meningkatkan keupayaan sistem saliran bandar.

"Surat setuju terima akan diedarkan dalam bulan ini kepada mereka yang berjaya yang mana membabitkan kerja mengorek semula Sungai Galing sepanjang enam kilometer," katanya.

Beliau berkata, selain bandar ini, kerajaan negeri juga tidak meminggirkan kawasan di daerah lain yang kerap dilanda banjir.

"Kita ada Bahagian Tebatan Banjir di bawah JPS yang akan membuat kajian di kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir.

"Kita sudah kenal pasti beberapa lokasi yang kerap banjir di daerah lain dan usaha untuk mengatasi akan dilaksanakan," katanya.

Agropolitan, Rimbunan Kaseh untuk belia

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

KUANTAN 4 Julai - Projek Agropolitan dan Rimbunan Kaseh yang diwujudkan kerajaan dilihat mampu mengelakkan perpindahan generasi muda terutama dari kawasan Felda dan kampung tradisional ke bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, projek itu dapat menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan terbabit.

"Antara projek yang telah dilaksanakan ialah Agropolitan Tanjung Batu dan Batu 8 masing-masing di Pekan; Tanjung Gahai di Lipis; Chemomoi, Bentong dan Kampung Bantal, Jerantut.

"Selain itu, kita juga ada program Rimbunan Kaseh Tanjung Besar, Lipis dan Desa Lestari di beberapa kampung tradisional di Raub," katanya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Kadri Wan Mahusin (BN-Bukit Ibam) yang ingin tahu mengenai isu perpindahan generasi muda dari Felda dan kampung tradisional ke bandar.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengalu-alukan sesiapa sahaja termasuk swasta memajukan tanah-tanah di luar bandar dengan projek pertanian, pelancongan dan sektor lain.

"Ini sekali gus dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan penghijrahan mereka ke bandar," katanya,

Beliau berkata, Felda juga berusaha memainkan peranan mewujudkan pelbagai aktiviti selain meningkatkan infrastruktur berkaitan bagi membolehkan pembabitan generasi baharu dalam pembangunan agensi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan