Jumaat, 12 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


5,267 gerai Ramadan diperiksa

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my

Nolee Ashilin Mohammed Radzi (dua dari kanan) mengambil sampel makanan untuk diperiksa oleh Jabatan Kesihatan selepas melancarkan Operasi Ramadan peringkat Negeri Perak di Bazar Ramadan Seri Iskandar, Perak, kelmarin.

IPOH 11 Julai - Sebanyak 5,267 buah premis makanan di seluruh negeri telah diperiksa oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak sepanjang bulan Ramadan tahun lalu berbanding 4,030 buah premis pada 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 3,471 rampasan bernilai RM17,150.31 telah dibuat berbanding pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 220 rampasan bernilai RM1,128.77.

Katanya, rampasan itu dilakukan atas kesalahan-kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 seperti tidak mempunyai label makanan, tamat tarikh luput dan bungkusan makanan yang telah rosak seperti kemek atau berkarat.

"Perbandingan aktiviti pemantauan antara kedua-dua tahun itu juga mendapati terdapat sedikit pengurangan daripada aspek tahap pencemaran biologi bagi makanan-makanan di pasar Ramadan iaitu pengurangan daripada 46 peratus pada 2011 kepada 11.6 peratus pada 2012.

"Perbandingan bagi peratus pencemaran makanan ini berdasarkan kepada kategori makanan seperti kuih-muih, masakan ikan dan hasilan daging, air minuman, kerabu, pasta, masakan sayur-sayuran, pelbagai nasi, biskut dan bubur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Operasi Bazar Ramadan 2013 di Tapak Ekspo Bandar Universiti Seri Iskandar dekat sini semalam.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Nordiyanah Hassan dan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perak, Mohd. Hilmi Mohd. Noor.

Dalam perkembangan sama, Nolee Ashilin mengingatkan para peniaga bazar Ramadan supaya sentiasa mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan masing-masing.

Katanya, penjual juga digesa supaya menggunakan air daripada sumber yang bersih iaitu yang telah dimasak dalam penyediaan juadah makanan dan minuman bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan atau penyakit-penyakit bawaan makanan lain.

Kedah terus komited jayakan NCER

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

SUNGAI PETANI 11 Julai - Kerajaan Kedah komited untuk terus menjayakan agenda program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) agar muncul sebagai kawasan utama di rantau ini menjelang tahun 2025.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pelbagai strategi telah disusun rapi, antaranya memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan logistik.

"Sektor-sektor terbabit menawarkan potensi pelaburan yang besar. Matlamat kerajaan negeri adalah untuk membawa perubahan secara beransur-ansur ke arah mewujudkan masyarakat moden dan progresif.

"Dalam mencapai matlamat ini adalah penting bagi kita terus komited menjadikan Kedah sebagai destinasi pelaburan utama dan berdaya saing. Ini juga selari dengan matlamat NCER," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Al Rajhi Bank Cawangan Sungai Petani di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Malaysia, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Nik Norzrul Thani.

Mukhriz berkata, ekonomi Kedah diunjur berkembang dengan kukuh memandangkan sektor perindustrian mencatatkan pertumbuhan yang baik.

"Kemudahan infrastruktur di Kedah berada pada tahap kukuh dan mewujudkan persekitaran sesuai untuk perniagaan dan pelaburan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bandar Sungai Petani misalnya merupakan salah satu daripada bandar yang paling progresif di negara ini.

"Sungai Petani semakin menjadi tumpuan kerana adanya peluang yang tinggi dalam kalangan pelabur terutamanya sektor industri, perniagaan dan pendidikan.

"Selain itu, bank-bank tempatan dan asing berminat membuka cawangan, sekali gus menyediakan pilihan kewangan lebih luas kepada para usahawan," katanya.

Beliau juga mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat untuk memacu agenda pembangunan negeri Kedah.

UTP anjur 1Malaysia Kids

Posted: 11 Jul 2013 12:05 PM PDT

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my

Sebahagian daripada murid yang mengikuti program 1Malaysia Kids anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Perak, baru-baru ini.

PARIT 11 Julai - Sebanyak 100 murid daripada beberapa sekolah mewakili daerah Kinta dan Perak Tengah menyertai program 1Malaysia Kids anjuran Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi Petronas (UTP), baru-baru ini.

Program yang antara lain bertujuan menarik minat anak muda untuk mempelajari Sains dan Matematik, turut disertai kira-kira 30 pelajar masyarakat Orang Asli.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat UTP, Profesor Dr. Noorhana Yahya berkata, kesemua pelajar berkenaan dibahagikan kepada 10 kumpulan yang terdiri daripada murid pelbagai kaum.

Beliau berkata, para pelajar didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Mad Math Minutes, Sci-Hunt dan Fun Movie Making yang kesemuanya dikendalikan oleh mahasiswa dan pensyarah UTP.

"Dalam program Mad Math Minutes misalnya, pelajar diajar cara pantas mengira termasuk pengiraan darab serta bahagi menggunakan nombor besar.

"Program Sci-Hunt pula memfokuskan kepada persoalan berkaitan Sains sementara Fun Movie Making mengajar peserta untuk menyediakan persembahan multimedia menggunakan Windows Macromedia," katanya.

Beliau berucap merasmikan program berkenaan di UTP, Seri Iskandar di sini.

Yang turut hadir ialah Pegawai Perhubungan Daerah Kinta Selatan, Mohd. Kamal Abdul Latif dan Pegawai Pendidikan Daerah Perak Tengah, Khuriza Shuib.

Antara sekolah-sekolah yang terlibat termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Air Denak Tronoh, SK Pos Dipang Kampar, SK Ulu Geruntum, Gopeng, SK Tronoh, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yit Chee Pusing dan SK St. Bernadette's Convent Batu Gajah.

Dalam pada itu, Noorhana berkata, selain program 1Malaysia Kids, UTP juga menganjurkan program lain seumpama itu seperti Back to to Future, Smart Talk dan Science on Saturday' dalam menggalakkan minat pelajar terhadap Sains.

Malah, katanya, pihak fakulti turut menubuhkan Reach Education Society via Mathematics Club (Resmath) yang mana kakitangan dan para pelajarnya secara sukarela mengajar mata pelajaran Matematik kepada pelajar sekolah menengah di kawasan luar bandar untuk meningkatkan penguasaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan