Sabtu, 6 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Pinjaman rumah: NGO minta kaji semula

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Julai - Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menetapkan tempoh pinjaman peribadi maksimum dihadkan selama 10 tahun dilihat mampu mengekang hutang isi rumah ketika ini berada pada paras 83 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Bagaimanapun, beberapa persatuan pengguna melihat langkah BNM menetapkan tempoh pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun perlu dikaji semula.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi (gambar) berkata, sebuah mekanisme lain perlu diwujudkan badan tersebut memandangkan harga hartanah di negara ini kian meningkat.

"Kita menyokong langkah BNM berhubung tempoh pinjaman peribadi ingin melihat tempoh tersebut disingkatkan lagi selain menghalang peminjam melakukan pinjaman kedua ketika pinjaman pertama belum dilangsaikan.

"Tetapi tempoh pembelian rumah perlu dikaji kerana tempoh 45 tahun sebelum ini sudah relevan berbanding 35 tahun, ramai daripada pembeli terdiri daripada golongan pertengahan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz semalam berkata, selain memendekkan had tempoh pinjaman peribadi dan pembelian aset, larangan turut dikenakan bagi menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu.

Sebelum ini, had tempoh pinjaman peribadi ialah 25 tahun manakala pinjaman pembelian rumah ialah 45 tahun.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, BNM perlu melihat realiti bahawa sebahagian besar rakyat memerlukan masa untuk melangsaikan bayaran mereka.

Jelasnya, melalui tempoh pinjaman yang panjang, barulah orang ramai dapat mengimbangi kemampuan mereka terutama dalam mendepani kos hidup yang tinggi pada masa ini.

"Sekiranya BNM melihat langkah ini sebagai satu pendekatan proaktif, kita menyokongnya tetapi sekira ia memberi langkah kepada orang ramai, ada baiknya penetapan ini dikaji semula," katanya.

PPj anjur Festival Ramadan Putrajaya

Posted: 06 Jul 2013 10:33 AM PDT

PUTRAJAYA 6 Julai - Perbadanan Putrajaya (PPj) buat julung kalinya akan menganjurkan Festival Ramadan Putrajaya bermula 10 Julai hingga 7 Ogos ini melibatkan kawasan Kiblat Walk, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Kompleks PPj di Presint 3 di sini.

Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat (gambar) berkata, penganjuran festival menggabungkan aktiviti keagamaan, perniagaan, pameran dan juga hiburan bercirikan Islam tersebut merupakan konsep yang direncanakan pihaknya bagi mengimarah serta memeriahkan suasana Ramadan di Putrajaya.

Menurut beliau, penganjuran festival itu juga bertujuan menyediakan lokasi alternatif kepada penduduk untuk membeli juadah berbuka puasa dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

"Setiap hari PPj akan mengedarkan kurma dan air zam zam secara percuma, di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pula akan diadakan majlis berbuka puasa dan moreh juga secara percuma kepada 1,500 pengunjung setiap hari selain solat tarawih yang akan dipimpin oleh imam terkenal Mesir iaitu Samy Ahmed Abd. Rahman El-Feky.

"Bagi menghayati Ramadan sebagai bulan memperbanyakkan ibadah, PPj juga merancang mengadakan program-program seperti tadarus al-Quran, qiamullail dan juga tazkirah oleh ustaz dan ustazah popular seperti Haslin Baharim, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood, Rohidzir Rais dan Fatimah Syarha," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kembalikan kelestarian alam

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Rais Yatim (lima dari kanan) bergambar kenangan dengan barisan kepemimpinan atasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selepas Majlis Sambutan sempena memulakan tugas rasmi di Gombak, Selangor, semalam. - utusan/ZAKARIA IDRIS

GOMBAK 5 Julai - Isu pencemaran alam sekitar menjadi agenda utama kepada Presiden baharu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam usaha memulihara alam sekitar dan menyelamatkan kampus berkenaan daripada terus dicemari.

Selain menyatakan rasa bertanggungjawab, beliau turut berjanji memberi komitmen untuk menyelamat dan mengembalikan semula kelestarian alam sekitar universiti berkenaan.

Perkara itu disampaikan kepada Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIAM, Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz selepas Majlis sambutan Dr. Rais yang memulakan tugas rasmi di UIAM Gombak di sini, hari ini.

Menurut Dr.Baharudin, rasa kesal turut disuarakan Rais selepas dibawa melawat dan melihat sendiri keadaan anak sungai dan kolam-kolam tadahan di sekitar kampus akibat kerja-kerja penerokaan.

"Beliau (Rais) berjanji akan mempertahankan alam sekitar UIAM yang menjadi lambang budaya ilmu yang diiktiraf dunia.

"Lebih-lebih lagi bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan ini juga merupakan Penasihat kerajaan bertaraf menteri berkaitan sosio budaya untuk negara berkuatkuasa sejak 1 Julai lalu,

"Secara tidak langsung UIAM menjadi contoh dalam memperkatakan soal sosio budaya namun semua itu tidak akan memberikan makna jika masalah ini gagal diselesaikan,"katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Dr. Baharudin, tindakan proaktif akan diambil Dr. Rais a dalam menangani masalah itu termasuk bekerjasama dengan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kawasan seluas melebihi 20.2 hektar berhampiran kampus induk UIAM di Gombak tercemar berikutan kerja-kerja penerokaan tanah.

Sementara itu kata Dr. Baharuddin, seluruh warga UIAM melahirkan rasa gembira kerana hari ini kawasan di kampus UIAM sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas kerja-kerja penerokaan di Kampung Sungai Pusu dan berhampiran kampus itu dihentikan pihak pemaju.

"Sejak kerja-kerja penerokaan itu dihentikan hampir sebulan lalu, ia telah mengembalikan semula sedikit demi sedikit habitat semula jadi termasuk ikan yang sebelum ini 'hilang' semasa kerja-kerja penerokaan dilakukan,"katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan