Selasa, 2 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bekerjasama majukan Melaka - Idris

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron beramah mesra dengan Ketua Pembangkang, Goh Leong San (dua dari kanan) dalam sidang Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-13 dan majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - Utusan/Azli Ahad

Oleh AMRAN MULUP

MELAKA 1 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diseru menggunakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjulang misi kejayaan untuk rakyat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, seluruh ADUN dari Barisan Nasional (BN) termasuk pembangkang perlu menggunakan dewan berkenaan untuk berhujah bagi menegakkan kebenaran, mengkritik berlandaskan fakta, menyokong kebenaran dan menentang kebatilan.

Menurutnya, selepas berakhirnya PRU-13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah landskap politik negara, sudah tiba masanya setiap ADUN mula berkhidmat kepada rakyat.

''Kita mesti sama-sama menentukan hala tuju yang kita capai dan lebih penting untuk memajukan Melaka.

''Dalam perbezaan, kita boleh cari persamaan, kita berpegang dengan semangat kesatuan di dalam kepelbagaian dewan yang mulia ini.

''Untuk itu, kita perlu jadikan medan ini sebagai tempat berhujah mencari kebenaran. Jika kita mengkritik biarlah dalam kaedah membina berlandaskan fakta menyokong dengan kebenaran," katanya.

Beliau berucap dalam sidang Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 dan majlis mengangkat sumpah sebagai ADUN Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Seramai 28 ADUN iaitu 21 dari BN dan tujuh pembangkang diketuai Idris mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN, Datuk Othman Mohamad.

Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau mengharapkan dalam sidang DUN yang akan datang, seluruh ADUN termasuk pembangkang dapat mencari titik persamaan.

Katanya, ini bertujuan memecah tembok kebuntuan dengan hasrat sama-sama mengekalkan keselamatan, keamanan dan kemakmuran untuk dinikmati oleh seluruh rakyat berbilang kaum di negeri ini.

''Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi kerana telah menunaikan tanggungjawab dan hak sebagai mereka dalam PRU-13 yang lalu," katanya.

Beliau berkata, dalam situasi yang sangat mencabar sepanjang PRU-13, BN berjaya mengekalkan pemerintahan dengan majoriti dua pertiga apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang pertandingkan.

Di peringkat Parlimen pula katanya, BN berjaya memenangi empat daripada enam kerusi yang dipertandingkan.

Justeru katanya, mandat yang diberikan rakyat kepada BN adalah satu amanah yang besar dan harus dipikul dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab.

Beliau menambah, tugas yang menanti ialah membawa Melaka menuju ke arah Melaka Maju Fasa Kedua dengan melihat kejayaan lalu sebagai penanda aras tertinggi harus dicapai.

Kawasan baharu IKS diwujudkan

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

SEREMBAN 1 Julai - Kerajaan akan mencari tapak baharu bagi mewujudkan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini untuk memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, lokasinya pula tidak lagi dalam kawasan pekan mahupun bandar, sebalik lebih hampir kepada laluan utama bagi memudahkan urusan perdagangan.

"Dahulu kita wujudkan IKS di kawasan Senawang dekat Seremban. Itu pun sudah habis. Kita lihat IKS tidak lagi sesuai dibangunkan dalam kawasan bandar kerana faktor logistik," katanya kepada pemberita selepas program bersama pemimpin di Ladang Sagga, Rantau dekat sini hari ini.

Kata Mohamad, salah satu lokasi yang sesuai adalah berhampiran susur masuk ke Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, yang mana tidak menjejaskan aliran trafik dalam kawasan bandar Seremban.

"Jika kita tumpukan semua di bandar Seremban, akan mengakibatkan kesesakan teruk, apatah lagi lori keluar masuk. Bagaimanapun, pengumuman lanjut tentangnya akan dibuat kelak selepas kajian terperinci dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, permasalahan rakyat, khususnya melibatkan masyarakat India akan diselesaikan mengikut keutamaan.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa banyak isu yang berbangkit melibatkan masyarakat India telah diselesaikan, sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun Persekutuan terutama berkaitan tanah, rumah ibadat serta sekolah.

"Ini menunjukkan usaha yang dilakukan oleh pemimpin akar umbi untuk mensejahterakan rakyat tidak pernah terhenti, malah itulah yang dituntut dalam Aku Janji Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi," katanya.

Tambah beliau, memang menjadi hasrat kerajaan negeri menjadikan kecemerlangan pendidikan sebagai keutamaan dan tumpuan akan diberikan dengan lebih serius untuk meningkatkan keputusan dalam kalangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam negeri ini.

"Kita amat memerlukan juga sokongan masyarakat dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan pendidikan ini. Saya optimis akan lahir lebih ramai pelajar cemerlang dari SJKT dalam peperiksaan tahun ini dan pada masa hadapan," katanya.

Riadah jadi terapi, hilang tekanan kerja - Hasim

Posted: 01 Jul 2013 12:41 PM PDT

Hasim Rusdi (dua dari kanan) menyampaikan cek insentif KUKUH kepada salah seorang usahawan tani sambil diperhatikan A. Rahman Sulaiman (dua dari kiri) di Kompleks Al-Saadah, Seremban, semalam.

SEREMBAN 1 Julai - Aktiviti riadah dan bersukan hendaklah digalakkan dalam semua agensi kerajaan agar dapat menjadi terapi untuk menghilangkan tekanan sewaktu bekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, ini perlu supaya kebajikan kakitangan di tempat kerja hendaklah diambil peduli supaya keceriaan sentiasa terpampang di wajah mereka.

"Saya yakin bahawa keceriaan seseorang penjawat awam itu adalah motivasi kepada kecemerlangan mutu kerja mereka menguruskan tugasan yang telah diamanahkan.

"Dalam hal ini, ketua jabatan harus bersikap kreatif untuk mengambil hati kakitangan bawahan dengan menganjurkan program riadah mahupun bersukan. Ini sekali gus dapat mengeratkan hubungan sesama mereka.

"Sebagai contoh, menganjurkan pertandingan boling untuk semua kakitangan atau memberi penghargaan kepada anak-anak kakitangan yang mendapat keputusan cemerlang," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Kelab Sukan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan Ke-14 dan penyampaian cek insentif program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ke Pasar Tani (KUKUH) di Kompleks Al-Saadah.

Yang turut hadir Pengarah FAMA negeri, A. Rahman Sulaiman.

Dalam pada itu, A. Rahman berkata, sebanyak 16 usahawan tani dari seluruh negeri yang berdaftar di bawah FAMA menerima insentif KUKUH fasa kedua untuk tahun ini, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM40,697.

"Kita telah berjaya mencapai sasaran untuk fasa pertama berakhir 30 Mei tahun ini, melibatkan 11 pemasar dan 47 pengeluar dengan agihan peruntukan sebanyak RM139,200.

"Bantuan insentif KUKUH ini sebanyak RM5,000 yang diberikan secara berperingkat-peringkat dan kita turut menyediakan pinjaman sebanyak RM5,000 daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional," katanya.

Menurutnya, objektif program KUKUH ini adalah membantu usahawan tani menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar produk asas tani mereka.

0 ulasan:

Catat Ulasan