Rabu, 10 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Ramadan bawa keceriaan

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

SURAU baharu Taman Asia Selatan, Bemban, Melaka membolehkan penduduk bersolat berjemaah dan mengadakan majlis keramaian dan pelbagai program keagamaan dengan lebih selesa.

MELAKA 9 Julai - Kedatangan Ramadan tahun ini memberi lebih keceriaan kepada kira-kira 150 penduduk Taman Asia Selatan, Bemban apabila penantian mereka untuk mendapatkan surau akhirnya tercapai.

Pengerusi Taman Asia Selatan, Hamdan Dollah berkata, dengan kewujudan surau baharu dibina dengan peruntukan sebanyak RM130,600 yang diluluskan kerajaan negeri itu membolehkan mereka menjalankan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk di taman berkenaan terpaksa pergi ke surau dan masjid kawasan berhampiran di Kampung Ayer Merbau bagi menunaikan solat berjemaah yang terletak kira-kira satu kilometer dari taman perumahan tersebut.

"Selain memberikan keselesaan dan kemudahan bersolat dengan terbinanya surau ini membolehkan penduduk bersolat berjemaah bersama-sama selain mengadakan majlis keramaian dan pelbagai program keagamaan di sini.

"Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan atas bantuan yang diberikan dan kemudahan ini secara tidak langsung merapatkan ukhuwah yang sedia terjalin sesama Islam melalui aktiviti yang dilaksanakan di surau ini," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Kunci Surau Taman Asia Selatan, di sini baru-baru ini.

Penyerahan kunci surau tersebut telah disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Husin yang turut dihadiri wakil Pejabat Agama Islam Daerah Jasin, Ustaz Abd. Razak Abd. Rahman.

Sementara itu, Murad dalam ucapannya meminta penduduk di taman perumahan berkenaan supaya dapat menggunakan surau itu sebaik mungkin untuk tujuan beribadat dan mengimarahkan lagi dengan aktiviti Islam.

"Lebih-lebih lagi kedatangan Ramadan, gunakanlah surau ini untuk melaksanakan sembahyang terawih, bertadarus dan sebagainya bagi menambah amalan ibadah di bulan penuh kemuliaan," katanya.

Katanya, pihak ahli jawatankuasa surau turut disarankan untuk menjalankan pelbagai aktiviti bagi menjadikan surau berkenaan sebagai tempat untuk mencari ilmu agama dan kegiatan bermanfaat kepada ahli kariah.

Program masak bubur lambuk terpanjang 18 Julai ini

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

MELAKA 9 Julai - Kerajaan negeri dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri Melaka akan mengadakan program memasak bubur lambuk terpanjang pada 18 Julai ini di Melaka Mall.

Timbalan Pengerusi Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau, Datuk Ghazale Muhamad berkata, sebanyak 20,000 bungkus bubur lambuk akan diedarkan kepada orang ramai sekitar negeri ini termasuk di rumah kebajikan.

"Program ini juga mendapat kerjasama daripada persatuan pengusaha hotel negeri dan beberapa agensi sambil kita berharap mereka yang berminat dengan program ini untuk turut serta.

"Selain itu, kita berhasrat menjadikan program ini tersenarai dalam Malaysia Book of Record (MBR) di samping menyediakan bungkusan bubur lambuk terbanyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program pengagihan bubur lambuk oleh Philea Resort & Hotel di jalan Tol Lebuhraya Ayer Keroh di sini semalam.

Turut hadir Pengurus Besar BPP, Abdul Kadir Md. Idris dan Pengarah Kewangan Resort, Lim Beng Weh serta Pengarah Komunikasi dan Pemasarannya, Connie Chin.

Dalam program sempena meraikan kedatangan Ramadan itu, sebanyak 7,000 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

Sementara itu, Beng Weh berkata, program itu merupakan kali keempat dianjurkan oleh Philea sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain menghargai dan mendekati komuniti di negeri ini.

"Penyediaan kesemua bubur lambuk ini bermula pada pukul 2.30 petang yang diketuai oleh Chef Azmi Desa dengan melibatkan bahan -bahan seperti 250 kilogram (kg) beras, 40 kg ayam dan daging dan lain-lain," katanya.

Tambahnya, sebanyak 200 bungkus diedarkan disetiap rumah kebajikan anak yatim iaitu Kompleks Rumah Anak Yatim Fatimah Al Zaharah (KAYFAZ) dan Lembaga Pengurusan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin (PAYASUM).

209 warga USIM terima AKI

Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

Asma Ismail (depan, empat dari kiri) dan Abdul Shukor Husin (depan, lima dari kiri) bersama sebahagian penerima Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) USIM 2012 di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

SEREMBAN 9 Julai - Seramai 209 kakitangan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima anugerah dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inovasi (AKI) USIM 2012, dekat sini baru-baru.

Pengerusi Lembaga Pengarah universiti, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangan kakitangan akademik, pengurusan termasuk sokongan yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada universiti sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, pengiktirafan itu selaras dengan dasar transformasi negara ke arah membudaya tenaga kerja berprestasi tinggi dan berinovasi.

"Kakitangan akademik, pengurusan serta sokongan telah banyak menabur jasa terhadap pembangunan universiti ini. Justeru saya mencadangkan jumlah penerima dan ganjaran yang diberikan ini ditambah lagi pada masa hadapan.

"Malah imej, persepsi dan harapan masyarakat terhadap USIM sudah melonjak setiap tahun. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab warganya untuk sentiasa berusaha memenuhi harapan ini," katanya ketika berucap pada majlis anugerah tersebut, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut sebanyak 15 anugerah diberikan antaranya Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (108 penerima), Anugerah Terpuji (67), Anugerah Pengajar Cemerlang (9) dan Anugerah Penerbitan (9).

Anugerah lain termasuk Anugerah Penyelidikan (4), Anugerah Staf Contoh Tahunan (4), Anugerah Pentadbir Cemerlang (1), Anugerah Khidmat Masyarakat (1), Anugerah Inovasi dan Rekacipta (3) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Istimewa (3).

Dalam pada itu, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) serta Jabatan Perpustakaan mengungguli Anugerah Kualiti Naib Canselor pada AKI 2012.

Sementara itu, Timbalan Dekan FST, Prof. Madya Dr. Norita Md. Norwawi dipilih sebagai Tokoh Hasanul Mudir 2012.

Kesemua penerima menerima hadiah dalam bentuk wang tunai, sijil simpanan premium dan sijil penghargaan.

Turut hadir Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dan bekas Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda yang turut menerima Anugerah Sumbangsih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan