Rabu, 10 Julai 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


BN bawa barisan terkuat kempen

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Puad

KUALA LUMPUR 10 Julai - Barisan Nasional (BN) akan menurunkan barisan terkuat kempen dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dapat dipertahankan selain mencipta kemenangan dengan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu pada 24 Julai ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, hal demikian kerana setelah kematian penyandang kerusi tersebut, Dr. A. Rahman Mokhtar pada bulan lalu, BN kini hanya tinggal 16 kerusi sementara pembangkang kekal dengan 15 kerusi DUN di Terengganu.

Katanya, kerusi DUN Kuala Besut akan menjadi rebutan kedua-dua belah pihak terutama pembangkang yang sudah pasti bercadang untuk merampas kembali negeri itu selepas kehilangannya dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Melihat kepada situasi semasa, bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu yakin BN tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi tersebut.

''Saya juga yakin pengundi-pengundi di situ memiliki semangat tinggi berdasarkan prestasi UMNO keseluruhannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu yang menunjukkan peningkatan. Sudah tentu mereka akan memastikan kejayaan itu terus dikekalkan di Kuala Besut.

''Keyakinan ini ditambah lagi dengan kredibiliti dan pencapaian yang dimiliki Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang sudah tentu akan memberi kelebihan kepada calon muda DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, kegagalan pakatan pembangkang mempengaruhi rakyat dalam penganjuran perhimpunan haram hanya mencalar imej mereka dan memberi keuntungan politik kepada BN.

''Apa yang mereka 'bisingkan' dalam demonstrasi jalanan itu ternyata tidak benar dan cerita-cerita yang dibangkitkan hanya retorik semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

''Malah, tindakan enggan menerima keputusan pilihan raya (PRU-13) itu menunjukkan sikap sebenar mereka (pakatan pembangkang) yang tidak demokratik,'' katanya.

Tengku Zaihan pilihan tepat

Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT

Oleh MOHD. AZRAIE MD. YUSOF
pengarang@utusan.com.my

Kiri Anuar Abd. Manap, Mohamed Maliki

KUALA LUMPUR 10 Julai - Pengumuman calon muda, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi menggalas cabaran mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dalam pilihan raya kecil kawasan itu, 24 Julai ini disifatkan sebagai pilihan yang tepat.

Malah, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Anuar Abd. Manap berkata, pemilihan itu memperlihatkan komitmen berterusan BN dalam membawa transformasi politik tidak hanya bersandarkan kepada pengalaman tetapi mengambil kira kelayakan akademik, kemampuan memberi perkhidmatan yang baik, penerimaan masyarakat setempat serta kebolehpercayaan.

Pemilihan calon-calon muda adalah sebagai bukti sifat keterbukaan yang diamalkan oleh BN di samping menjadikan parti itu lebih kuat dan bertenaga.

Saya berharap beliau dapat bekerja dengan proaktif untuk membawa Kuala Besut ke satu tahap yang lebih baik dengan menggunakan kekuatan fizikalnya sebagai orang muda dan akal fikirannya sebagai seorang jurutera," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan Tengku Zaihan, bekas jurutera awam di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai calon kerusi DUN Kuala Besut.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar (BN) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu akibat komplikasi paru-paru berair.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, usia muda bukan kriteria utama, namun perkara tersebut menjadi pelengkap selepas aspek lain seperti memiliki latar belakang yang memenuhi kehendak masyarakat setempat dikenal pasti pada diri seseorang calon tersebut.

Menurut beliau, dengan pakej yang dimiliki Tengku Zaihan, ditambah dengan usaha keras sepanjang tempoh pilihan raya kecil, pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu diyakini dapat mempertahankan kerusi tersebut yang sebelum ini dimenangi BN dengan majoriti 2,434 undi.

Kami mengalu-alukan pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon orang muda di DUN Kuala Besut. Kami berharap beliau dapat menonjolkan kriteria-kriteria yang harus dimiliki oleh seseorang wakil rakyat pada masa kini," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan