Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Berpeluang miliki lesen 'P' sah

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

Arifin Che Mat (lima dari kiri) bersama-sama warga emas dan Orang Asli selepas penyerahan replika lesen 'P' sempena program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (SKSPJ) di Kampung Damak, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 24 Julai - Program Satu Komuniti Satu Jabatan Pengangkutan Jalan (PSKSJPJ) di Kampung Damak, dekat sini baru-baru ini bertujuan mendekatkan JPJ dengan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak termasuk Orang Asli di kawasan pedalaman.

Program itu memberi peluang penduduk menyelesaikan urusan berkaitan lesen memandu, cukai jalan dan menukar nama pemilik kenderaan.

Sepanjang program itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bomba daerah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pihak swasta turut berperanan mengetengahkan kesedaran mengenai kesihatan, penyalahgunaan dadah dan kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Arifin Che Mat berkata, program 'turun padang' JPJ bersama agensi lain itu bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai menyelesaikan hal ehwal pelesenan kenderaan dan lesen memandu.

"Program bersama penduduk luar bandar ini juga membuka peluang kepada JPJ memberi panduan berguna untuk Orang Asli dan warga emas memiliki lesen memandu 'P' secara sah," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan PSKSJPJ, di Sekolah Kebangsaan (SK) Damak, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah JPJ negeri, Datuk Zakaria Man; Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor dan Ketua Penguat Kuasa Cawangan JPJ Raub, Dasiman Mat Zain.

Sempena program dua hari itu, sebanyak 502 penduduk terdiri daripada warga emas dan belia Melayu (340), Cina (13), India (2) dan Orang Asli (147) di sekitar Kampung Damak, Kampung Paya Petai, Kampung Merting dan Kuala Tahan daerah Jerantut berjaya lulus dan menerima lesen P.

Menurutnya, sambutan penduduk terhadap pemilikan lesen motosikal B2 (P) menunjukkan petanda positif dan sehingga kini JPJ berjaya mengeluarkan lesen berkenaan kepada 54,329 orang di seluruh negara menerusi 128 program sejak dilancarkan pada 2009.

Ujar beliau, di Pahang pula sebanyak 6,906 pemilik motosikal sudah memiliki lesen B2 (P) menerusi 13 program yang serupa dalam tempoh berkenaan.

Arifin berkata, JPJ juga memperkenal satu lagi perkhidmatan baharu untuk keselesaan orang ramai berurusan perlesenan, cukai jalan dan pembayaran saman menerusi kaunter bergerak beroperasi mengikut zon di Semenanjung mulai bulan ini.

Katanya, mulai awal bulan ini, JPJ menyediakan tiga buah van sebagai kaunter bergerak untuk kemudahan orang ramai melibatkan tiga buah zon.

Beliau berkata, van berkenaan berpusat di Zon Utara, iaitu di JPJ Kedah, Zon Selatan (JPJ Johor) dan Zon Tengah (JPJ Pahang) mula beroperasi awal bulan ini.

"Van yang dilengkapi talian internet untuk pelbagai urusan transaksi JPJ akan ditempatkan di lokasi negeri berkenaan dengan beroperasi mengikut jadual di kawasan kampung dan pinggir bandar termasuk menjelajah ke semua negeri dalam zon berkenaan.

"JPJ menyediakan tiga buah van bergerak sebagai peringkat percubaan dan sekiranya transaksi ini mendapat sambutan orang ramai, kita akan menambah lagi di setiap buah negeri sebuah van bagi tujuan mobiliti kaunter berkenaan," katanya.

Menurut Ariffin, JPJ juga bercadang melebarkan operasi van bergerak berkenaan ke Sarawak dan Sabah tidak lama lagi khususnya di lokasi luar bandar dan pekan kecil yang mempunyai rangkaian jalan darat untuk kemudahan penduduk di sana.

Katanya, kemudahan mobiliti kaunter berkenaan antara mekanisme JPJ untuk membantu penduduk yang memiliki kenderaan berurusan perlesenan, cukai jalan, pembayaran saman dan sebagainya khususnya perkhidmatan di lokasi yang agak jauh dari pejabat JPJ cawangan dan negeri.

Tambahnya, kemudahan mobiliti berkenaan antara alternatif yang efisien membantu penduduk sejajar dengan bidang transformasi sosial dan perkhidmatan bagi memenuhi aspirasi pembangunan kerajaan hari ini.

Aliran trafik Kuantan berubah

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 24 Julai - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengalu-alukan maklum balas orang ramai berhubung perubahan trafik di daerah ini yang diubah daripada dua hala kepada sehala melibatkan beberapa jalan utama bagi mengurangkan kesesakan bermula kelmarin.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, apa yang diharapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu orang ramai tampil memberi pandangan dan cadangan bagi memperkemaskan lagi perubahan aliran trafik yang dibuat.

"Jalan mana yang perlu dibaiki atau tambah lagi, tanda amaran apa diperlukan, di mana kita (MPK) perlu letakkan, tapi saya rasa hari ini masuk hari ketiga pelaksanaannya, kita lihat keadaan menjadi semakin baik.

"Saya harap warga Kuantan bersabar kerana jika kita tidak mencuba kita tidak boleh berubah. Kali terakhir kita ubah Jalan Besar dan Jalan Mahkota daripada dua hala menjadi sehala adalah pada tahun 1979, semasa itu Menteri Besar adalah Allahyarham Datuk Abdul Rahim Abu Bakar.

"Maknanya sudah 34 tahun kita tidak melalukan perubahan kepada aliran trafik di daerah ini, jadi saya rasa sudah sampai masanya kita lakukan perubahan ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan 'Kami Prihatin' dan Bakul Ramadan kepada orang kurang upaya (OKU) Badan Kebajikan Bagi Insan Istimewa (Bakbiis) 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis MPK, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap.

Zulkifli berkata, MPK juga akan melakukan penambahbaikan bagi memastikan perubahan aliran trafik yang dilakukan berjaya direalisasikan.

"Pertamanya dari segi papan tanda, saya telah mengarahkan bahagian pembangunan MPK untuk menyediakan papan tunjuk arah yang lebih banyak lagi supaya memudahkan pengguna.

"Buat sementara waktu ini, kita juga menempatkan penguat kuasa MPK yang ditugaskan selama 24 jam untuk memastikan keadaan berjalan lancar. Kita juga berterima kasih kepada pihak yang turut membantu mengawal lalu lintas terutama pada waktu-waktu puncak," katanya.

Mengenai masalah orang ramai terutama pejalan kaki untuk melintas jalan akibat perubahan aliran trafik itu, beliau berkata, jejantas sedia ada perlu digunakan.

"Dalam pada itu, MPK dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melihat kesesuaian semasa lampu isyarat merah sebagai laluan orang ramai melintas. Ini kita sedia maklum kerana kereta pastinya lebih laju melalui jalan sehala," katanya.

'Ramsar adalah khazanah negara'

Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT

TEMERLOH 24 Julai - Pencerobohan di kawasan tanah lembap atau Ramsar di Tasik Bera bukan sahaja menjejaskan ekosistem dan biodiversiti di kawasan tersebut tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kawasan tanah lembap seperti di Tasik Bera tidak banyak terdapat di dunia dan lokasi berkenaan adalah satu daripada produk pelancongan utama di negeri.

"Saya terkejut berikutan pendedahan mengenai pencerobohan hutan tanah lembap atau Ramsar hampir 400 hektar di Tasik Bera dan itu adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

"Rakyat perlu mempunyai kesedaran untuk bersama-sama menjaga khazanah negara demi kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan hidup generasi masa kini dan akan datang.

"Dan peranan memelihara khazanah negara bukan hanya terletak di bahu pihak berkuasa tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak," katanya mengulas mengenai pencerobohan Ramsar Tasik Bera selepas Majlis Rahmat Ramadan di Masjid Felda Lakum, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengurus Felda Lakum, Hassan Mohd Ali.

Sehubungan itu, Mohd. Sharkar berkata, beliau akan meminta Jabatan Perhutanan negeri memberi taklimat mengenai pencerobohan hutan tersebut dalam mesyuarat jawatankuasa kerajaan negeri yang akan datang.

Beliau juga menasihati rakyat menghormati undang-undang supaya tidak menceroboh kawasan yang telah diwartakan sebagai kawasan yang tidak boleh diterokai dan tidak ada maknanya jika ada undang-undang dan peraturan tetapi tidak dihormati.

"Saya mahu pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penceroboh kerana Tasik Bera akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai kawasan pertandingan mengenali burung antarabangsa selepas Bukit Fraser.

"Kalau hutan seluas itu sudah dimusnahkan burung yang tinggal di kawasan itu akan berhijrah ke tempat lain dan secara tidak langsung menggagalkan usaha kerajaan negeri untuk menjadi kawasan itu sebagai produk pelancongan berasaskan alam sekitar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan