Selasa, 9 Julai 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Ramadan: Pantau restoran 24 jam

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 8 Julai - Kerajaan negeri menyambut baik saranan meningkatkan pemantauan terhadap premis-premis makanan 24 jam di negeri ini sepanjang Ramadan.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, Melaka antara negeri yang sentiasa melakukan penguatkuasaan serta mematuhi peraturan bagi mengelakkan berlakunya gejala ponteng puasa dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Kita mempunyai pasukan penguat kuasa yang sentiasa memahami kerja, peranan dan tanggungjawab. Sejak dahulu lagi saya membaca di akhbar-akhbar, Melaka adalah antara negeri yang paling aktif dalam membanteras kegiatan-kegiatan yang boleh mencemar kesucian dan kemuliaan bulan Ramadan.

Kerajaan negeri menyambut baik saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi meningkatkan pemantauan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri anjuran Jabatan Pertanian negeri di Seri Negeri, di sini hari ini.

Idris berkata, setiap individu beragama Islam memainkan peranan penting bagi mengangkat kemuliaan serta mengekalkan kesucian Ramadan.

Katanya, Melaka sejak berpuluh tahun lalu mempunyai pasukan dan jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan untuk membuat pemantauan sepanjang Ramadan.

Peranan Utusan Melayu perlu terus dipertahankan

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

ZAIFULBAHRI Idris (kiri) membuat pelepasan peserta Konvoi Kembara Queen Street (KQS) yang disertai kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad di hadapan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Chembong, Rembau, Seremban, semalam.

REMBAU 8 Julai - Peranan akhbar Utusan Malaysia sebagai lidah rakyat dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara merupakan kekuatan syarikat tersebut untuk terus berdiri teguh sehingga ke hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, jasa serta sumbangan Utusan Malaysia tidak ternilai sejak era sebelum negara merdeka sehingga Malaysia pesat membangun ke hari ini.

"Ini dapat dibuktikan melalui sejarah yang menyaksikan Utusan Melayu (M) Berhad sudah masuk usia 75 tahun sedangkan usia kemerdekaan negara kita baru mencecah 56 tahun.

"Maka tidak ada sesiapa boleh menafikan sumbangan akhbar ini ketika tanah air dalam proses mencapai kemerdekaan dan selepas itu terus membantu dari segi aspek pembangunan sekali gus memperlengkapkan pengisian kemerdekaan sehingga detik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelepasan pulang Konvoi Kembara Queen Street (KQS) yang disertai kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad ke Kuala Lumpur di Pejabat Khidmat Barisan Nasional Chembong, di sini hari ini.

Justeru, Zaifulbahri berharap agar semua pihak terus memberi sokongan padu terhadap syarikat penerbitan ini demi memastikan peranan Utusan Melayu tidak terhakis dan lenyap ditelan zaman.

Sementara itu, Presiden Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM), Mohd Hazli Hassan berkata, konvoi tersebut bertujuan menyingkap semula sejarah penubuhan Utusan Melayu dengan melawat tapak bekas pejabat asal syarikat itu di Singapura.

Konvoi KQS yang disertai 30 ahli kelab itu bersempena sambutan ulang tahun ke-75 Utusan Melayu (M) Berhad diketuai oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Yang turut serta dalam konvoi itu Pengurus Jabatan Pengarang, Syed Agil Syed Jaafar; Editor Foto, Abdul Kadir Bachok dan Pengarah Program Konvoi KQS, Asmaruddin Jamaluddin.

Konvoi itu dilepaskan oleh Zaifulbahri sekitar pukul 4 petang dengan dibantu empat anggota polis dari Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri untuk memasuki pekan Rembau sebelum melalui Jalan Rembau-Seremban dan menuju kawasan Taman Tuanku Ja'afar (TTJ).

Peserta kemudian memasuki Persiaran Senawang dan menuju ke persimpangan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) dekat Paroi menuju ke Ampangan untuk mengelilingi bandar Seremban sebelum melalui Jalan Gala-Mantin sehingga ke Kampung Gebok, Pajam dan Kawasan Perindustrian Nilai.

Peserta konvoi akan pulang ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Kuala Lumpur dengan memasuki Tol Nilai ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

Pengurusan masjid diseru pelbagaikan aktiviti

Posted: 08 Jul 2013 10:52 AM PDT

JELEBU 8 Julai - Pihak pengurusan masjid diseru mempelbagaikan aktiviti dan tidak hanya menjadikan institusi itu sekadar tempat beribadat ke arah memperkasa serta memperluas fungsi masjid kepada masyarakat.

Ahli Parlimen Jelebu, Zainudin Ismail berkata, secara amnya masjid merupakan tempat beribadat namun boleh dikembangkan menjadi pusat pembangunan ilmu, khidmat masyarakat serta tempat menjalankan aktiviti sosial penduduk setempat.

"Kita mahu mengembalikan era kegemilangan masjid sebagai institusi yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat malah menjadi pusat ke arah menyatupadukan masyarakat melalui fungsi dan peranannya.

"Ini kerana melalui peredaran masa, kewujudan balai raya, pusat khidmat serta pembangunan kemudahan lain menyebabkan masyarakat hanya dapat melihat fungsi masjid ke arah soal amal ibadat semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Doa Selamat dan Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid Sempena Ramadan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Jelebu, di sini semalam.

Menurut beliau, masjid boleh dijadikan sebagai pusat sukan dan riadah selain pusat kepada pelbagai aktiviti termasuk pembangunan ekonomi melalui penubuhan koperasi.

"Sebagai contoh, kita boleh melakukan aktiviti riadah di pekarangan masjid yang mana saya percaya kita boleh menyihatkan badan secara beradab dan sopan," ujarnya.

Sehubungan itu, Zainudin menyeru pihak kepimpinan masjid memperkasa institusi tersebut supaya masyarakat khususnya generasi muda dapat merapatkan diri dengan institusi berkenaan.

"Inilah cara pendekatan terbaik dan kita perlu tumpu kepada pengisiannya kerana setakat ini masjid akan penuh hanya ketika musim perayaan atau solat Jumaat sahaja," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan