Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Derita 2,000 penghuni berlarutan

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Noralizan Ali menunjukkan air kumbahan yang melimpah di pekarangan tempat letak kereta Pangsapuri Berembang Indah, Ampang, Selangor, baru-baru ini - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

AMPANG JAYA 4 Julai - Masalah kerosakan lif dan terpaksa menghidu bau kurang menyenangkan akibat kerosakan sistem kumbahan di Pangsapuri Berembang Indah di sini terus mengganggu rutin kehidupan kira-kira 2,000 penghuni di pangsapuri berkenaan.

Bukan seminggu dua tetapi sudah hampir setahun masalah itu berlarutan sehingga ke hari ini.

Kesemua ini gara-gara sikap lepas tangan pihak pemaju pangsapuri berkenaan yang didakwa langsung tidak mengendahkan aduan penduduk.

Tinjauan Utusan Malaysia ke pangsapuri 20 tingkat itu baru-baru ini mendapati dakwaan penduduk berasas.

Selain bau yang kurang menyenang menusuk hidung sebaik tiba di pekarangan tempat letak kereta pangsapuri berkenaan, turut kelihatan beberapa penduduk berdiri menunggu giliran memasukki lif.

Penulis yang dibawa meninjau ke tingkat atas oleh barisan Ahli Jawatan Kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan turut berhadapan masalah sama.

Akibat hanya sebuah daripada tiga lif di Blok A berfungsi , penulis terpaksa menunggu sehingga 15 minit sebelum pintu lif dibuka.

Difahamkan di Blok B hanya dua lif berfungsi.

Perkara tersebut ternyata memberi kesukaran kepada penduduk terutamanya, warga tua serta orang kurang upaya.

Pengerusi JMB pangsapuri berkenaan, Noralizan Ali berkata, dia telah berkali-kali membuat aduan tersebut kepada pemaju, namun ia umpama melepaskan batuk di tangga.

"Saya sudah penat berurusan dengan pemaju yang bersikap lepas tangan.

"Disebabkan sikap itu kerosakan sistem kumbahan semakin teruk sehingga berlaku takungan air najis di bahagian petak kenderaan," katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa JMB, Kamarudin Ismail berkata, pemaju seharusnya bertanggungjawab di atas segala masalah yang berlaku.

"Setiap hari pihak JMB akan membuat susulan kepada pemaju meminta agar masalah tersebut segera diatasi, tetapi pelbagai alasan diberikan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Shazli Nan, 26 berkata, masalah bekalan air turut berlaku di pangsapuri berkenaan.

"Pelbagai masalah timbul sejak mula kami berpindah ke sini. Pemaju juga langsung tidak turun padang untuk menyelesaikan perkara ini.

"Sebagai pemilik rumah di sini, saya harap pemaju jangan lepas tangan kerana pangsapuri ini masih berada di bawah kelolaan mereka," katanya.

Bazar Ramadan: Tarik lesen jika langgar syarat

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

KUALA LUMPUR 4 Julai - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menarik lesen peniaga di tapak bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata ini termasuklah menjual dan memajak lesen mereka kepada pihak lain terutama warga asing selain menjaga kebersihan diri dan tapak perniagaan masing-masing.

Menurutnya, sekiranya ditangkap melanggar syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan itu wang cagaran yang dibayar sebelum ini hangus.

"Seperti tahun-tahun sebelum, selain penguatkuasa DBKL, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak Imigresen akan ditempatkan di lokasi bazar di kedua-dua lokasi terlibat sepanjang Ramadan ini.

"Langkah ini bagi memastikan operasi bazar Ramadan di kawasan berkenaan berjalan lancar selain memberi pengajaran kepada peniaga lain agar benar-benar memanfaatkan peluang yang diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mhd Amin Nordin menambah, bermula tahun 2015 juga semua lokasi bazar Ramadan di Kuala Lumpur akan melalui proses cabut undi menggunakan sistem baharu seperti yang diperkenalkan di dua lokasi panas tahun ini.

Menurutnya, sistem itu mensyaratkan hanya mereka yang mempunyai lesen perniagaan dibenarkan untuk memohon tapak bazar itu, membolehkan mereka yang telah lama berniaga mendapat tempat.

"Dengan menggunakan sistem baharu itu secara tidak langkah memberi keadilan kepada para pemohon.

"Lebih-lebih lagi sebelum ini timbul banyak pertelingkahan berhubung tapak bazar yang sebelum ini diuruskan oleh beberapa persatuan," katanya lagi.

Kongsi nikmat pembangunan

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) bersalaman dengan sebahagian jemaah Masjid Jamek Kampung Baru selepas menyampaikan sumbangan Program Ihya' Ramadan di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR MAT AMIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru diminta memberi sokongan kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) berhubung usaha untuk membangunkan semula kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tidak ada niat terselindung dalam usaha membangunakan kampung berkenaan sebaliknya adalah untuk dinikmati oleh semua pemilik dan pewaris tanah di situ.

Menurutnya, usaha membangun dan memajukan Kampung Baru juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan sedia ada dengan tidak mengabaikan soal hak dan kepentingan pihak terlibat.

"Saya dimaklumkan ada segelintir pemilik dan pewaris tanah yang masih tidak bersetuju dengan usaha memajukan kampung ini.

"Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, saya akan kembali semula ke sini (Kampung Baru) untuk mengadakan sesi dialog dengan penduduk.

"Saya juga akan berbincang dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani mengenaiperkara ini lebih lanjut agar proses pembangunan Kampung Baru berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Program Ihya' Ramadan Kampung Baru di Masjid Jamek Kampung Baru semalam.

Yang turut hadir Pengerusi PPKB; Datuk Astaman Abdul Aziz, Ketua Setiausaha kementerian; Datuk Adnan Md. Ikshan dan Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Sha'ari Mat Aris.

Terdahulu, pihak kementerian melalui PPKB menyampaikan sumbangan lebih RM100,000 kepada lapan buah surau, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Masjid Jamek Kampung Baru.

Menurut Tengku Adnan, ia bertujuan meringankan beban pihak berkenaan dalam melaksanakan aktiviti dan program sempena kedatangan Ramadan minggu hadapan.

Dalam pada itu, Idris Sha'ari berkata kerja-kerja menaik taraf dan pengubahsuaian Masjid Jamek Kampung Baru secara berperingkat kini giat dijalankan dengan kos sebanyak RM20 juta.

"Ia dijangka siap sepenuhnya pada September tahun hadapan. Peringkat pertama akan siap pada Oktober ini dan para jemaah boleh menunaikan solat di situ selepas ia siap.

"Bagi peringkat kedua kita akan pecahkan ruang solat tersebut. Apabila siap kelak, ia dijangka dapat menampung kira-kira 7,000 hingga 8,000 jemaah selain kemudahan dewan dan sebagainya untuk keselesaan para jemaah," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan