Selasa, 2 Julai 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Paip atasi masalah tekanan air

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh M. RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Petugas Pengurusan Air Pahang Berhad memeriksa tekanan air sambil diperhatikan Ahmad Nazlan Idris (tiga dari kiri) di Kampung Bharu, Jerantut, kelmarin.

JERANTUT 2 Julai - Masalah tekanan air rendah yang membelenggu penduduk di Kampung Bharu di sini dijangka selesai sebelum sambutan Aidilfitri ini.

Pengurus Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) Jerantut, Ahmad Ramzi Jamaludin berkata, pihaknya telah mengenal pasti empat langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

"Pertama, kita akan cari punca tekanan air rendah di kawasan terbabit dan jika gagal kita akan mengambil punca air dari kawasan bandar.

"Jika langkah kedua juga gagal kita akan menaik taraf booster. Sekiranya didapati keupayaan booster ini di bawah lima bar, pihak kami akan cuba meningkatkan keupayaannya supaya mampu mengatasi masalah tekanan air rendah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis dialog bersama penduduk dan Ahli Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan Idris bagi mencari jalan penyelesaian masalah tekanan air rendah di Kampung Bharu, di sini semalam.

Ahmad Ramzi berkata, jika ketiga-tiga jalan penyelesaian itu masih tidak mampu mengatasi masalah tekanan air rendah, pihaknya terpaksa memilih langkah terakhir iaitu membina tangki air di kampung tersebut.

Sementara itu Ahmad Nazlan berkata, beliau bersimpati dengan nasib penduduk kampung yang menggunakan air bukit dari puncak Sungai Ulu Jawa.

"Mereka terpaksa menunggang motosikal sejauh tiga kilometer dan kemudian berjalan kaki satu kilometer untuk membaiki saluran air ke rumah mereka yang rosak akibat hujan lebat," ujarnya.

Menurutnya, beliau dan Paip akan mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut agar tidak berlarutan.

"Saya harap penduduk di sini dapat bersabar dan kami akan cuba mengatasi masalah tekanan air ini secepat mungkin untuk keselesaan penduduk," jelasnya.

Sultan Ahmad Shah bangga ekonomi Pahang berkembang pesat

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Sultan Ahmad Shah (duduk, tengah) bergambar kenangan bersama 42 ADUN Pahang selepas merasmikan Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-13 di Dewan Perundangan Negeri Wisma Sri Pahang, semalam. Turut hadir Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

KUANTAN 2 Julai - Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah bangga dengan pencapaian ekonomi negeri ini yang memberangsangkan dan terus berkembang pesat selari dengan arus globalisasi.

Baginda bertitah, kepelbagaian sumber, amalan mesra perniagaan serta suasana selesa didiami merupakan antara keistimewaan yang menyumbang ke arah mencapai status negeri maju menjelang 2020.

"Pada 2012, kadar pertumbuhan ekonomi negeri ialah 5.8 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 5.6 peratus. Pendapatan isi rumah dan nilai pelaburan terus meningkat manakala kadar kemiskinan dan pengangguran pula semakin menurun.

"Beta ucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang berusaha gigih memastikan prestasi ekonomi negeri ini berada pada tahap yang membanggakan," titah baginda ketika mencemar duli merasmikan sidang pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sultan Ahmad Shah bertitah, kerajaan Pahang memberikan tumpuan pada projek pelaburan yang menjadi penggerak ekonomi dan projek pembangunan yang menjadi pemudah cara kepada kesejahteraan rakyat.

"Pada tahun lalu, Pahang telah menerima pelaburan yang diluluskan termasuk insentif bernilai RM7.76 bilion merangkumi 51 projek pelbagai sektor dan dijangka mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu, baginda bertitah, bagi melebarkan jaringan sosial, kerajaan negeri sedang melaksanakan program perumahan rakyat dengan sasaran 15,000 unit rumah dibina sehingga 2015.

4 produk UMP menang pingat emas

Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

KUANTAN 2 Julai - Penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya mencipta nama di persada antarabangsa apabila empat produk yang dipertandingkan dalam Ekspo Reka Cipta dan Produk Baru (Inpex) 2013 menang pingat emas serta diiktiraf menerima anugerah khas dalam kategori masing-masing.

Ekspo berprestij yang berlangsung di Pusat Konvensyen Monroeville, Pittsburgh, Amerika Syarikat (AS) itu diadakan selama tiga hari bermula 19 Jun lalu.

Penyelidik UMP, Dr. Hadi Manap daripada Fakulti Teknologi meraih dua pingat emas dalam kategori elektrik, elektrikal dan pengawalan keselamatan industri dengan penghasilan projek penyelidikan bagi mengesan gas ammonia dengan pantas.

Penemuan penyelidikan ini akan membantu pekerja industri mengesan kehadiran gas ammonia dalam jangka masa singkat iaitu sepantas tiga saat berbanding kaedah biasa yang mengambil masa selama enam minit.

Turut memenangi emas ialah produk menyimpan tenaga hasil bahan buangan sawit di bawah penyelidikan Prof. Dr. Jose Rajan daripada Fakulti Sains dan Teknologi Industri yang menang dalam kategori pertanian.

Produk rawatan bahan buangan industri menggunakan teknologi hijau hasil penyelidikan diketuai Mohd. Najib Razali daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli pula berjaya memperoleh emas dalam kategori alam sekitar.

Satu lagi produk yang dipertandingkan iaitu produk mengenal pasti jenis kayu-kayan dengan pantas diketuai penyelidik UMP, Prof. Dr. Jasni Mohamad Zain daripada Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian turut memenangi emas apabila menang Anugerah Khas.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, kejayaan tersebut bukan sahaja merupakan satu kebanggaan kepada universiti berkenaan malah kepada negara.

"Pihak universiti merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penyelidik yang terlibat dan semoga kejayaan ini akan memberikan suntikan semangat kepada seluruh warga penyelidik UMP dalam meneruskan budaya cintakan dunia penyelidikan dan penghasilan inovasi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, kemenangan di pertandingan reka cipta di peringkat antarabangsa itu bukan suatu yang mudah, tetapi universiti itu berjaya membuktikan bahawa dunia telah mengiktiraf penyelidikan UMP.

Inpex adalah pameran terbesar di AS yang dikendalikan oleh InventHelp dalam mempamerkan pelbagai ciptaan, produk baru dan inovasi yang menjadi tumpuan di kalangan pereka, usahawan dan wakil industri dari seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan