Rabu, 24 Julai 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


6 premis diserbu penguat kuasa

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Lauk yang dijual di sebuah restoran 24 jam antara yang dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh MBAS di Alor Setar, kelmarin.

ALOR SETAR 23 Julai - Sebanyak enam buah premis menjual makanan termasuk restoran 24 jam diserbu pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kerana didapati menjual makanan kepada pelanggan sebelum pukul 3 petang.

Pegawai Penguat Kuasa MBAS, Saiful Lizam Othman berkata, operasi tersebut bermula sejak semalam di sekitar Simpang Empat, Alor Mengkudu serta Kuala Kedah dan pihaknya merampas makanan, minuman serta tong gas di premis terlibat.

Katanya, operasi tersebut akan diteruskan sehingga ke kawasan Pokok Sena dan Kota Sarang Semut bagi memastikan peniaga mematuhi arahan pihak berkuasa menjual makanan dalam bulan Ramadan selepas pukul 3 petang.

Sepanjang dua hari operasi ini dijalankan kami telah merampas sebanyak 60 jenis juadah dan peniaga dikenakan kompaun tidak lebih RM300.

Kami minta semua peniaga menghormati bulan Ramadan dan ada peniaga di Simpang Empat yang pernah dikenakan tindakan sebanyak empat kali tahun lalu menjual semula makanan sebelum pukul 3 petang hari ini.

Jika kes ini dibawa ke mahkamah dan peniaga didapati bersalah, denda tidak melebih RM2,000 boleh dikenakan atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui di MBAS di sini hari ini.

Menurutnya, selain operasi pemantauan waktu penjualan makanan, MBAS juga menjalankan operasi pemantauan serta penguatkuasaan berkaitan bazar Ramadan di sekitar bandar raya ini.

Sehingga hari ini pihak kami telah mengeluarkan sebanyak 231 kompaun untuk pelbagai kesalahan yang dilakukan seperti menjual makanan di luar kawasan bazar Ramadan.

Pihak MBAS tidak mengizinkan makanan di jual di tepi-tepi jalan dan jika terdapat peniaga yang berbuat demikian kita akan rampas makanan mereka," ujarnya.

Tambahnya, MBAS hanya akan memulangkan makanan yang dirampas kepada peniaga setelah mereka membayar kompaun dan makanan tersebut hanya boleh dijual selepas pukul 3 petang.

Perkukuh pegangan elak pengaruh Syiah, sesat

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

DR. Mahathir Mohamad menyampaikan sumbangan kepada guru-guru al-Quran sukarela di Masjid Ar-Rahman, Kampung Melele, Jerlun, Kedah, kelmarin. Turut hadir Mukhriz Mahathir (dua kanan). - BERNAMA

JERLUN 23 Julai - Ibu bapa dan guru agama diminta menyemai dengan mendalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam kalangan anak-anak di peringkat awal usia bagi membolehkannya dijadikan pegangan kukuh ketika dewasa kelak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kegagalan berbuat akan demikian dikhuatiri menyebabkan mereka mudah dipengaruhi ajaran lain seperti Syiah atau ajaran sesat yang akan memecah belahkan masyarakat Islam.

Jika kita tidak semai dengan mendalam sehingga kukuh iman mereka, saya khuatir masyarakat Islam terbahagi kepada dua dan bermusuh sesama mereka," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada 628 guru al-Quran sukarela dan bidan kampung peringkat daerah Kubang Pasu serta majlis berbuka puasa di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Melele, di sini semalam.

Dalam majlis itu, Yayasan Harmoni menerusi Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd. Radzuan Abdullah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam.

Yang hadir sama, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan isteri beliau, Datin Norzieta Zakaria.

Dr. Mahathir berkata, peredaran zaman dan kemajuan teknologi seperti kewujudan internet yang membolehkan pelbagai cerita atau maklumat diperoleh dengan mudah mengakibatkan orang ramai senang terpengaruh dengan sesuatu perkara walaupun ia tidak baik.

Ini keadaan yang harus difahami kerana jika tidak kuat iman kita boleh terpesong dari jalan yang benar," katanya.

UniMap anjur AUPF 2013

Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT

Kamarudin Hussin

KANGAR 23 Julai - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan Asian University Presidents Forum (AUPF) 2013 yang dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi lebih 100 universiti di Asia pada Oktober ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, forum bertemakan Leadership In The Transformation of Asia: Opportunities and Challenges itu dijadualkan berlangsung selama empat hari di Perlis dan Pulau Langkawi bermula 6 Oktober ini.

Beliau berkata, UniMAP yakin akan menjadi penganjur terbaik forum terbesar itu yang secara tidak langsung akan terus menyerlahkan nama UniMAP di mata dunia.

Ini adalah kali pertama forum itu diadakan di Malaysia sejak diperkenalkan 11 tahun lepas di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), China.

Kamarudin berkata, pemilihan UniMAP sebagai tuan rumah itu bukan sekadar satu penghormatan tetapi turut menggambarkan keyakinan universiti-universiti di Asia terhadap UniMAP.

Berhubung lawatan kerjanya ke Qatar minggu lalu, beliau berkata, UniMAP telah mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi pengajian tinggi negara itu bagi mengukuhkan rangkaian antarabangsanya.

Katanya, institusi pengajian tinggi di Qatar juga diundang menghadiri AUPF selain mengadakan perbincangan berkaitan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan termasuk pertukaran pelajar dan tenaga kerja. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan