Rabu, 21 Disember 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis berjaya berkas 2 penyamun selepas 20 minit merompak

Posted: 21 Dec 2011 03:31 AM PST

KULIM: Tindakan pantas polis dengan kerjasama orang ramai menyebabkan tertangkapnya dua dari tiga perompak yang menyamun sebuah kereta milik seorang guru wanita yang diparkir dengan enjinnya masih hidup, di Taman Semarak di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu guru berusia 41 tahun itu telah meninggalkan keretanya di hadapan sebuah kedai runcit dan keluar membeli barang, manakala anak perempuannya berusia 16 tahun menunggu di tempat duduk belakang kereta yang berkunci.

"Beberapa ketika kemundian muncul seorang suspek di lokasi dan cuba membuka pintu kereta jenis Toyota Vios itu tetapi gagal dan serta merta dia menggunakan sebatang besi mampat memecahkan tingkap pintu hadapan kereta tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, tindakan suspek memecahkan pintu kereta berkenaan menyebabkan anak mangsa ketakutan lalu bergegas keluar dan meninggalkan kereta sebelum dilarikan suspek ke arah pekan Lunas, dekat sini.


Beliau berkata mangsa yang berada dalam kedai runcit menyedari keretanya dicuri lalu menjerit meminta tolong.


Ghuzlan berkata, sebaik mendapat maklumat orang awam, polis menjalankan satu operasi dan dengan bantuan anggota-anggota Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim akhirnya dua daripada tiga suspek berjaya diberkas berhampiran Plaza Tol Lunas 20 minit kemudian, ketika memandu kereta lain juga dipercayai dicuri.

Kedua-dua suspek yang diberkas berusia 17 dan 22 tahun disyaki penagih dadah, masing-masing berasal dari Sungai Petani dan Jeniang, Sik.

Selain sebilah parang panjang dan besi pemecah cermin kereta, polis juga menjumpai sebuah botol dan straw menghisap dadah dalam kenderaan mereka.

Polis kini masih mengesan kereta milik mangsa dan dipercayai ia berada sekitar pekan Padang Serai dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Menurut beliau kerugian dianggarkan RM50,000 iaitu nilai kereta itu, di samping beg duit mengandungi RM400 dalam kereta. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Polis Pahang lancar SMS peringatan jenayah siber

Posted: 21 Dec 2011 03:29 AM PST

KUANTAN: Penduduk di Pahang bakal menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur peringatan dan kesedaran tentang penipuan jenayah siber bermula Jumaat ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani berkata khidmat tersebut hasil inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama Celcom Malaysia Berhad.

"Kita sangat berharap orang ramai menyambut baik usaha ini dan sama-sama memberi kerjasama untuk menangani serta mengurangkan kadar jenayah siber di Pahang," katanya ketika melancarkan program itu, di sini, hari ini.

Sebagai permulaan, lima bentuk SMS akan dihantar kepada pengguna Celcom berkaitan permintaan memindahkan wang di akaun; tawaran pembelian batu ajaib; diperdaya rakan siber; penawaran tiket loteri dengan harga yang rendah dan meminta maklumat peribadi akaun untuk memenangi hadiah lumayan.


Katanya polis bersama Celcom dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia Pahang akan memantau perkembangan mengenai penghantaran SMS tersebut bagi tempoh sebulan untuk melihat keberkesanannya menangani masalah itu. - Bernama

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan