Berita Harian: Mutakhir |
MRT Corp meterai PoA dengan pemilik tanah Jalan Inai Posted: 28 Dec 2011 03:44 AM PST Mutakhir KUALA LUMPUR: MRT Corp mencapai persetujuan besar apabila menandatangani Perkara Perjanjian (PoA) dengan 21 pemilik tanah di kawasan Jalan Inai yang terbabit dengan projek MY Rapid Transit.POA itu bertujuan menangani isu seperti menarik balik pengambilalihan tanah, akses ke tanah bagi dibina terowong, ganti rugi dan semakan semula perundangan dengan sesetengah pemilik tanah yang telah membuat dakwaan terhadap kerajaan. "Perjanjian itu akan menjadi asas bagi dijalin perjanjian bersama yang dijangka ditandatangani antara MRT Corp dan pemilik tanah itu pada akhir Januari," menurut MRT Corp dalam satu kenyataan hari ini. Perjanjian itu dijangka menyelesaikan semua isu antara pemilik tanah itu dengan pelaksana projek MY Rapid Transit.POA itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid, dan Jason Ng Kau, Yong Cho Joong, Dr Arthur Rajaratnam dan Tuan Zuhayati, bagi pihak pemilik 21 bidang tanah berkenaan. Semasa mengumumkan kejayaan itu, Azhar berkata usaha itu adalah untuk memenuhi keperluan pemilik tanah itu yang menerima kesan projek MRT dan pada yang sama membolehkan projek MRT dilaksanakan mengikut jadual. Pemeteraian POA hari ini menunjukkan komitmen MRT Corp menyediakan penyelesaian berkesan terhadap isu-isu yang boleh menghalang pelaksanaan projek MRT itu.
MRT Corp sedang berusaha dengan kumpulan berkaitan bagi mendapatkan penyelesaian yang baik untuk memastikan kejayaan pelaksanaan pembangunan projek infrastuktur awam terbesar negara itu. - BERNAMA |
Kastam Melaka rampas 1.56 juta rokok tidak sah tahun ini Posted: 28 Dec 2011 03:10 AM PST Mutakhir JASIN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas 1.56 juta batang rokok tidak sah dengan cukai sebanyak RM807,000 di negeri ini dari awal tahun ini hingga semalam.Pengarahnya, Datuk Mohd Nasir Said, berkata rampasan bernilai RM179,000 itu adalah hasil operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di 169 premis perniagaan dan seramai 14 individu didakwa. Sementara itu, beliau berkata, pegawai penguatkuasa kastam yang ditembak di hadapan rumahnya di Jalan Sungai Air Hitam, Taman Tanjung Minyak, di sini, Jumaat lalu kini dilaporkan stabil. "Rosli Aziz, 53, selesai menjalani dua pembedahan Sabtu lalu dan kini ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan," katanya selepas merasmikan Kempen Membasmi Jualan Rokok Tidak Sah dan Khidmat Bakti Masyarakat di sini, hari ini.Mohd Nasir berkata, kemalangan yang menimpa pegawainya itu dipercayai bermotifkan dendam berikutan kejayaannya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan mendakwa lebih 15 ahli sindiket tahun ini. Susulan itu, semua pegawai penguatkuasa kastam dinasihatkan mengambil langkah keselamatan dalam setiap tugas penguatkuasaan dan ketika di rumah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan