Ahad, 25 Disember 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Mukhriz dan 'salam kalih' di Kedah

Posted:

Mukhriz dan 'salam kalih' di Kedah

Mukhriz dan 'salam kalih' di Kedah

Oleh Zulkiflee Bakar
pengarang@utusan.com.my

PADA tahun 2005 iaitu kira-kira tiga tahun sebelum pilihan raya umum 2008, Kedah yang ketika itu di bawah penguasaan Barisan Nasional (BN) dilanda banjir besar.

Ramai yang mengaitkan banjir berkenaan dengan jatuhnya kerajaan BN pada tahun 2008. Pada tahun lalu Kedah dilanda banjir besar sekali lagi dan kali ini ia berada di bawah pemerintahan Pas.

Tetapi soalnya apakah teori politik bencana alam ini boleh dijadikan ukuran bahawa Kedah akan kembali kepada BN?

Mungkin apa yang berlaku secara kebetulan sahaja kerana kalau mahu dikaitkan banjir dengan senario politik, sudah lama Kelantan kembali ditawan oleh UMNO.

Hakikatnya, sama ada sebuah parti itu boleh menang dalam pilihan raya atau tidak, ia terpulang kepada mereka mengatur strategi dan melaksanakan visi bagi memenangi hati rakyat.

Namun apa yang pasti Pas Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abd. Razak sebagai Menteri Besar dikatakan menghadapi laluan sukar untuk mempertahankan pemerintahan parti berkenaan.

Pas bukan sahaja berhadapan dengan isu domestik yang berkaitan dengan kegagalan mereka membangunkan Kedah, malah akan terpalit juga dengan isu nasional terutamanya berkaitan 'penghijrahan' perjuangan Pas dari negara Islam kepada negara berkebajikan.

Sememangnya sudah ada tafsiran dan analisis yang menyatakan bahawa Pas tidak akan mampu bertahan dalam pilihan raya umum nanti, BN dikatakan akan kembali memerintah Kedah.

Tetapi soalnya bersediakah UMNO Kedah menjadikan impian itu satu kenyataan?

Serangan bertubi-tubi ke atas Pas belum tentu akan mampu mempengaruhi rakyat untuk menyokong UMNO dan BN.

Apa yang membimbangkan sudah ada orang Kedah berkata, ''Pas memang teruk bila perintah Kedah tetapi UMNO lagi teruk sebab tak mau menang.''

Kita tidak pasti sejauh manakah kata-kata yang dilafazkan oleh seorang veteran UMNO ini benar tetapi apa yang pasti UMNO Kedah tidak boleh leka lagi.

Perkara yang paling penting sekarang ialah menyenaraikan calon boleh menang mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam soal ini, penyokong-penyokong BN dan termasuk rakyat Kedah sendiri ternanti-nanti siapakah yang bakal disenaraikan sebagai panglima dan hulubalang yang akan menegakkan kembali panji-panji BN di negeri berkenaan.

UMNO Kedah perlu ingat dengan pelbagai isu yang melumuri Pas Kedah sekarang, ia dianggap kesempatan terbaik bagi mencatatkan kemenangan dalam pilihan raya nanti.

Sebab itulah, UMNO Kedah tidak boleh berada dalam 'zon selesa', sebaliknya perlu membuat persediaan lebih agresif bagi memastikan matlamat menumbangkan Pas berjaya.

Rakyat Kedah sememangnya sudah memahami sejauh mana kemampuan Pas memerintah dan difahamkan sudah ada tekad serta keazaman yang tinggi untuk mereka kembali kepada BN.

''Peluang BN cukup cerah tetapi segala- galanya bergantung kepada UMNO untuk membuat percaturan.

''Paling rakyat tunggu ialah apakah benar UMNO akan menyenaraikan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir sebagai calon Menteri Besar, jika BN menang, biar pun Pengerusi Perhubungan ketika ini ialah Datuk Ahmad Bashah,'' kata satu sumber yang bertanggungjawab membuat satu kaji selidik mengenai politik Kedah.

Difahamkan melalui satu kaji selidik yang dijalankan itu, Mukhriz dikatakan berada di kedudukan tertinggi dalam rating siapa yang paling layak menjadi Menteri Besar. Beliau dikatakan meninggalkan jauh Azizan dari segi populariti.

Mukhriz dilihat bukan sahaja disenangi oleh semua peringkat umur malahan masyarakat pelbagai kaum juga menyukai beliau.

Walaupun terdapat kebimbangan bahawa kehadiran Mukhriz mungkin tidak disenangi oleh sesetengah kelompok terutamanya orang lama dalam UMNO Kedah namun apa yang lebih penting ialah penerimaan rakyat.

''Penentangan terhadap Mukhriz tidak akan memberi banyak kesan kerana sebahagian besar pemimpin UMNO di Kedah sudah bertekad untuk tumbangkan Pas.

''Kalau ada pun yang tidak puas hati, mungkin mereka kelompok kecil sahaja, apa yang penting kehendak majoriti rakyat yang mahu melihat Mukhriz memimpin Kedah,'' kata sumber itu lagi.

Menurut sumber tersebut, pemilihan Mukhriz dikatakan akan mampu menghapuskan persepsi bahawa UMNO Kedah hanya bergantung kepada muka lama yang sebahagiannya sudah ditolak oleh rakyat.

''Apatah lagi Mukhriz dilihat mempunyai cara tersendiri mendekati rakyat dan sikap rendah diri serta latar belakang beliau sebagai anak kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dikatakan akan memberi kelebihan dalam membantu UMNO dan BN meraih sokongan rakyat Kedah,'' kata sumber itu.

Apa pun kata sumber tersebut, isu yang lebih besar perlu diperkatakan ialah mengenai UMNO Kedah itu sendiri sejauh manakah mereka bersedia mengukuhkan barisan bagi memastikan kemenangan.

''Pemimpin-pemimpin UMNO mesti bersatu hati dan terima siapa sahaja yang dicalonkan untuk bertanding dan menjadi pemimpin utama mereka,'' kata sumber itu lagi.

Atas sebab itulah, UMNO Kedah tidak ada masa lagi hendak melayan sebarang kerenah mana-mana pemimpin yang 'syok sendiri' dengan menganggap beliau paling layak menjadi calon atau calon boleh menang dan akan merajuk kalau tidak terpilih.

Hakikatnya, bukan mereka yang berhak menilai sama ada layak atau tidak tetapi rakyat, sebab yang akan mengundi ialah rakyat bukan kaum keluarga pemimpin itu sahaja.

Seharusnya dalam memastikan UMNO dan BN Kedah tidak kecundang lagi, prinsip 'tiada belas ihsan' perlu diterapkan, mana-mana pemimpin yang difikirkan tidak layak dan boleh menyebabkan parti kalah dalam pilihan raya umum nanti harus digugurkan daripada senarai.

Namun begitu, mereka perlu diberitahu lebih awal supaya ada masa untuk mengubat hati yang luka sebab kita pasti ada antara mereka sentiasa berusaha mendekati rakyat tetapi populariti tetap tidak meningkat.

Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti boleh dianggap penentu kepada masa depan UMNO Kedah, oleh itu tidak harus ada ruang kepada mana-mana pemimpin negeri berkenaan mengamalkan sikap hipokrit dan retorik.

Kita harus ingat dan perlu mengakui bahawa kekalahan tipis UMNO Kedah kepada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukan kerana pembangkang kuat tetapi akibat pergolakan dalaman di sesetengah kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Mana mungkin UMNO akan menang kalau ada usaha sabotaj oleh pemimpin parti itu sendiri apabila melaksanakan apa yang dipanggil isyarat 'salam kalih' (salam ubah) pada hari pengundian yang bermaksud jangan undi calon BN.

Ini bukanlah tohmahan tetapi fakta yang tidak boleh dinafikan oleh kelompok yang menjadi 'pengkhianat' kepada parti sendiri.

Apa pun, mungkin mereka sudah insaf dan menyaksikan bahana akibat daripada sikap hipokrit berpolitik iaitu UMNO hilang kuasa di Kedah.

Justeru dalam pilihan raya umum akan datang, mereka perlu menebus 'dosa salam kalih' dengan memastikan Kedah kembali berada di dalam genggaman BN dan seterusnya menewaskan Pas yang dianggap Mukhriz semakin 'kemereh'.

Full content generated by Get Full RSS.

Kecemerlangan bukan sekadar akademik

Posted:

Kecemerlangan bukan sekadar akademik

Kecemerlangan bukan sekadar akademik

Tan Sri Allimuddin Mohd Dom


sebahagian daripada pelajar cemerlang gembira sambil menunjukkan keputusan cemerlang 8A pada peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis, baru-baru ini.


TAHNIAH kepada 34,271 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang iaitu A dalam semua mata pelajaran. Demikian juga kepada pelajar lain yang mendapat sekurang- kurangnya beberapa A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini.

Kepada mereka yang tidak cemerlang atau tidak mendapat satu A pun janganlah kecewa dan berputus asa kerana dunia masih belum lagi berakhir.

Ada banyak lagi perkara yang perlu anda fikirkan dalam hidup ini dan kejayaan masa depan bukan semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik tetapi melibatkan beberapa kriteria lain.

Kepada ibu bapa janganlah menunjukkan sikap marah atau mengeluarkan perkataan yang menyakitkan hati anak sekiranya mereka tidak mendapat keputusan cemerlang. Elakkan suka berleter atau menyindir kerana ia boleh mengecilkan hati anak.

Ada juga ibu bapa yang sengaja membandingkan dengan anak jiran atau sanak saudara lain yang mendapat keputusan lebih baik.

Pada ketika ini apa yang perlu dilakukan ialah memberi mereka kekuatan semangat atau kata-kata galakkan supaya membuat penilaian atau muhasabah diri dan berusaha lebih keras agar mendapat keputusan lebih baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan ditempuhi dua tahun lagi.

Tidak dapat dinafikan fenomena dalam setiap kali peperiksaan sama ada di peringkat rendah atau menengah ibu bapalah yang paling sibuk jika dibandingkan dengan anak yang mengambil peperiksaan. Sebelum tarikh peperiksaan bermula pergerakan anak sentiasa dikawal.

Ada di antara ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengikuti aktiviti kokurikulum dan permainan di sekolah kerana dikatakan akan mengganggu rentak mereka membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan.

Kelas-kelas tuisyen sudah menjadi kemestian, tidak cukup di sebelah petang maka waktu malampun terpaksa menghadiri kelas tersebut.

Bagi yang lebih prihatin akan mengambil cuti khas untuk membolehkan mereka menghantar dan mengambil anak ke sekolah sepanjang masa peperiksaan.

Debaran ibu bapa kian memuncak apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Di sesetengah sekolah bilangan ibu bapa yang hadir melebihi bilangan calon yang mengambil peperiksaan.

Bila keputusan diumumkan ibu bapa akan tersenyum lebar sekiranya anak mendapat keputusan cemerlang tetapi akan masam mencuka jika keputusan sebaliknya.

Ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusan lantas berjumpa pengetua untuk mengisi borang bagi menyemak semula keputusan peperiksaan yang baru diumumkan itu.

Turut terdapat kes yang keterlaluan iaitu dengan marah-marah dan menyalahkan guru atau pihak sekolah yang menyebabkan anaknya tidak mendapat keputusan baik.

Suasana meriah apabila keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau STPM diumumkan turut dimainkan oleh media massa. Wartawan akhbar atau televisyen bukan sahaja membuat liputan semasa pengumuman keputusan peperiksaan di Kementerian Pelajaran tetapi turut menghantar wartawan ke sekolah-sekolah tertentu.

Suasana hiruk-piruk semasa penyerahan slip peperiksaan atau ketika pelajar bersorak riang diberikan fokus utama. Gambar pelajar dijulang atau sedang menangis kegembiraan turut diberi liputan. Menjadi kebiasaan temu bual dibuat dengan pelajar cemerlang dan ibu bapa. Ironinya jarang yang memberi pujian kepada jasa dan sumbangan guru atau pengetua.

Akibat terlalu banyak liputan dan publisiti oleh media massa terhadap pencapaian pelajar dalam peperiksaan maka ada yang bertanya adakah matlamat pendidikan seolah- olah terletak kepada keputusan peperiksaan?

Sekolah-sekolah yang cemerlang hanya dinilai terhadap berapa peratus keputusan cemerlang dalam setiap mata pelajaran atau berapa ramai pelajar yang mendapat A dalam peperiksaan tersebut.

Terlalu menekankan pencapaian dalam peperiksaan atau komponen intelek sahaja maka bidang jasmani, rohani dan emosi seolah-olah telah diabaikan. Sedangkan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan menghendaki perkembangan seimbang dalam keempat komponen tersebut supaya dapat dilahirkan modal insan atau individu yang bersifat holistik dan berketerampilan sesuai dengan keperluan cabaran global dan tuntutan masa.

Jika ditanya kepada pengetua atau guru- guru mengapa mereka turut memberi penekanan kepada bidang akademik. Jawapannya telah dijangka bahawa inilah yang dikehendaki oleh ibu bapa iaitu ingin melihat anak- anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

Tidak dapat dinafikan pencapaian itu pula ada kaitan dengan peluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan bagi mendapat biasiswa atau bantuan pelajaran.

Ternyata bahawa peluang memasuki institusi pengajian tinggi awam yang ternama dan memilih bidang kajian yang diminati adalah banyak dipengaruhi kecemerlangan keputusan peperiksaan.

Sesungguhnya keadaan ini adalah di luar kawalan pihak sekolah dan norma itu telah lama wujud dalam masyarakat kita.

Apakah ukuran sebenar untuk menjadi seorang pelajar yang berjaya di masa hadapan? Tidak dapat dinafikan bahawa pencapaian cemerlang dalam peperiksaan adalah salah satu kriterianya.

Walau bagaimanapun ciri-ciri lain perlu ada iaitu mempunyai pemikiran yang kreatif, inovatif, kemahiran berkomunikasi, kebolehan membuat keputusan, sikap berani mencuba, tidak takut gagal, rajin, ada kesungguhan, proaktif dan mempunyai tubuh badan yang sihat.

Individu yang mempunyai ciri-ciri tersebut dikatakan mempunyai kelebihan, peluang dan kekuatan selepas meninggalkan bangku sekolah.

Mereka mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan berkeupayaan bersaing dalam dunia yang kian mencabar.

Oleh itu kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang lepas jangan merasa kecewa atau berputus asa. Cuba bermuhasabah diri dan renungkan kembali apakah sebab atau punca yang yang menyebabkan keputusan tidak menyerlah.

Ambil langkah susulan dan tindakan segera bagi memperbetulkan keadaan tersebut. Walaupun peperiksaan SPM akan menjelang dua tahun lagi tetapi buatlah persediaan awal supaya pencapaian yang akan datang lebih cemerlang.

Kepada ibu bapa pula berikan dorongan dan bimbingan agar anak sentiasa merasa lebih dihargai dan yakin dengan kebolehan diri mereka sendiri.

Selamat berusaha.

PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru

Malaysia Berhad.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan