Utusan Online - Pahang |
- Perlu bijak, kreatif jana keuntungan koperasi
- 26 kes jenayah siber
- Terapkan integriti kakitangan muda laksana tugas lebih berkesan
Perlu bijak, kreatif jana keuntungan koperasi Posted: Perlu bijak, kreatif jana keuntungan koperasiMohamed Jaafar (tengah) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada ahli koperasi pada Mesyuarat Agung Tahunan Peserta-Peserta Felcra Ulu Jenud di Kuala Krau, Temerloh, Pahang, baru-baru ini. TEMERLOH 28 Dis. - Ahli lembaga koperasi (ALK) perlu bijak dan kreatif bagi mencari peluang perniagaan baru dalam menghadapi persaingan yang kini semakin mencabar agar dapat menjana keuntungan koperasi. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Mohamed Jaafar berkata, perniagaan koperasi kini tidak lagi terlalu bergantung kepada perniagaan konvensional seperti membekalkan peralatan jentera dan tender membersihkan ladang kelapa sawit, getah serta bas ekspres. Menurutnya, banyak perniagaan memberikan keuntungan yang lebih baik seperti menceburi bidang petroleum dan gas, komunikasi, aeroangkasa dan sebagainya. ''ALK perlu lebih berani dan bijak merebut peluang perniagaan di luar sana yang lebih mencabar dan memberikan keuntungan lebih baik. ''Sebagai contoh, ALK yang mengemudikan koperasi peserta-peserta Felcra tidak lagi terlalu bergantung kepada agensi itu semata-mata bagi mendapatkan tender membekalkan peralatan pejabat dan jentera, membersihkan ladang serta mengutip buah kelapa sawit atau getah," katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Peserta-Peserta Felcra Ulu Jenud di Dewan Orang Ramai Kuala Krau, dekat sini baru-baru ini. Menurutnya, ahli koperasi perlu memberi kerjasama dan kepercayaan kepada ALK supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab bagi memaju serta menjana keuntungan. Katanya, tanpa kepercayaan tersebut sukar bagi ALK mencari peluang perniagaan baru kerana setiap tindakan yang diambil akan dipersoal dan dipertikaikan oleh para ahli koperasi itu. "Pada masa sama, ALK diingatkan supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan amanah dan komited supaya setiap perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan. "Ahli lembaga pengarah perlu peka dengan perkembangan semasa kerana struktur perniagaan dan pembangunan koperasi kini sudah banyak berubah," jelasnya. Mohamed memberitahu, jika ahli lembaga pengarah masih mengamalkan sikap lama, sesebuah koperasi sukar mencapai kejayaan berikutan persaingan yang semakin hebat. Selain itu, katanya, koperasi juga boleh membantu memasarkan produk yang diusahakan oleh ahli-ahlinya seperti kerepek pisang, ubi, baulu dan sebagainya. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 26 kes jenayah siberOleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM KUANTAN 28 Dis. - Polis negeri ini mencatatkan sebanyak 26 kes penipuan jenayah siber, bermula sejak Januari sehingga 21 Disember lalu, mengakibatkan jumlah kerugian RM1.3 juta. Lebih membimbangkan, kebanyakan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan serta berjawatan tinggi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Supritendan Thomas Navamoney berkata, kebanyakan modus operandi sindiket adalah dengan menggunakan komputer selain telefon bimbit untuk menipu mangsa. Beliau berkata, antaranya adalah panggilan palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, polis Hong Kong dan panggilan daripada pegawai kad kredit bank. "Nombor-nombor telefon yang tertera pada skrin telefon bimbit mangsa pula adalah dari BNM atau Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. "Mangsa yang mudah terpedaya, tanpa berfikir panjang terus memindahkan wang atau berikan nombor akaun mereka beserta nombor pin," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata, mangsa yang mencatatkan jumlah kerugian tertinggi adalah sehingga RM400,000. Thomas meminta orang ramai mengabaikan segera sekiranya mendapat panggilan daripada bank khususnya BNM atau polis yang memaklumkan berlaku masalah berhubung akaun atau kad kredit mereka. "Mereka boleh terus pergi ke bank itu bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan atau pergi ke balai polis berhampiran. "Jangan pindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon, emel kepada individu yang tidak dikenali," katanya. Katanya, jika mempunyai maklumat, orang ramai diminta menghubungi segera polis Pahang di talian 09-5902222. Full content generated by Get Full RSS. |
Terapkan integriti kakitangan muda laksana tugas lebih berkesan Posted: Terapkan integriti kakitangan muda laksana tugas lebih berkesanKUANTAN 28 Dis. - Forum Perdana Integriti Perkhidmatan Awam yang berlangsung di sini semalam akan dapat menerapkan nilai integriti kakitangan awam terutama di kalangan golongan muda. Timbalan Setiausaha Kerajaan(Pengurusan), Datuk Mohamad Ridzwan Mohd. Tahar, program itu bertujuan memaksimumkan penerapan nilai integriti supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lancar dan berkesan. "Golongan muda pada hari ini sering kali dikaitkan dengan keruntuhan akhlak seperti mat rempit, penagihan dadah dan seks bebas. "Sedangkan golongan itu merupakan benteng kekuatan negara dan perlu diberikan penghargaan sewajarnya. "Justeru, bagi memastikan benteng berkenaan terus kukuh, ia perlu ditunjangi dengan integriti, " katanya ketika berucap pada akhir forum itu di sini. Katanya, integriti bagaimanapun tidak tertakluk kepada peringkat usia namun, di kalangan golongan muda, ia perlu dipertingkatkan. Sementara itu, bagi seorang peserta, Lailatul Nadwah Ahmad, 25, program seumpama itu dilihat mampu meningkatkan integriti di kalangan generasi muda sekali gus menyangkal persepsi negatif masyarakat terhadap integriti perkhidmatan awam. "Setiap tahun saya mengikuti program seumpama ini dan melihat ramai golongan muda berminat dengan forum seperti itu," katanya. Seorang lagi peserta, Saiful Sa'adan, 25, berkata, forum itu memberikannya pelbagai maklumat dan keperluan integriti dalam perkhidmatan awam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan