Utusan Online - Utara |
- Dua ditahan dalam Ops Krismas
- 200 murid terima bantuan sekolah RM100
- Tindakan tegas jika guna laluan kereta
Posted: Dua ditahan dalam Ops KrismasOleh AZELI ALI PULAU PINANG 25 Dis. - Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan selepas polis menemui beberapa peralatan antaranya alat penimbang, peket plastik kosong dan buku nota kecil dalam kereta Proton Satria yang mereka naiki di Jalan Sultan Azlan Shah di sini malam tadi. Tangkapan dibuat selepas polis turut menemui sejumlah wang tunai bernilai lebih RM3,000 yang diikat dengan getah serta disorok di dalam sampul surat dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah. Kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 50-an dan berasal dari Kedah ditahan dalam Operasi Krismas dan Cegah Jenayah berhampiran pintu masuk Universiti Sains Malaysia di Batu Uban. Operasi bermula pukul 10.30 malam dan berakhir pukul 4 pagi ini bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya menjelang sambutan Hari Krismas serta cuti panjang hujung minggu. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob yang mengetuai operasi itu berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas motosikal dan kereta bagi memastikan pemandu dan penunggang mematuhi peraturan lalu lintas. Menurutnya, di sebalik perasaan teruja menyambut Krismas dan cuti, ramai pemandu dan penunggang yang mengabaikan keselamatan di jalan raya boleh mengundang kecelakaan. "Seramai 100 anggota polis dan dibantu 20 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertugas malam ini bagi memeriksa kenderaan. "Selain di laluan ini, polis turut mengadakan operasi serupa di Straits Quay dan Padang Kota Lama di bahagian Pulau serta Juru Autocity dan Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth di Seberang Perai," katanya. Selain itu, jelas Ayub, pihak polis juga memantau beberapa lokasi tumpuan pada malam Krismas seperti Gurney Drive dan Queensbay bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Sebanyak 86 saman dikeluarkan oleh polis trafik selain 10 motosikal disita manakala JPJ pula mengeluarkan 67 saman ke atas pemandu dengan pelbagai kesalahan. |
200 murid terima bantuan sekolah RM100 Posted: 200 murid terima bantuan sekolah RM100IDRIS Hashim (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin sempena sambutan Hari Krismas di Teluk Intan, kelmarin. TELUK INTAN 25 Dis. - Seramai 2,000 murid miskin di sini menerima sumbangan wang tunai RM100 setiap seorang daripada Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kawasan Parlimen (Mayang) bagi perbelanjaan musim persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Mayang, Datuk Idris Hashim pada satu majlis di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini, semalam. Menurut Idris, wang itu diberikan kepada murid sekolah berusia 12 tahun di kawasan ini dengan harapan ia dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak. ''Rakyat harus bersyukur di atas kejayaan yang dinikmati negara sejak di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak bantuan telah diberikan seperti bantuan RM500 kepada ketua rumah dan sebagainya. ''Sumbangan ini menunjukkan keperihatinan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah kerajaan berkebajikan," katanya pada majlis penyampaian sumbangan tersebut di sini, semalam. Turut hadir, Naib Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN di kawasan Parlimen Teluk Intan. |
Tindakan tegas jika guna laluan kereta Posted: Tindakan tegas jika guna laluan keretaPULAU PINANG 25 Dis. - Polis akan mengenakan kompaun maksimum kepada penunggang motosikal yang ditahan sekiranya menggunakan laluan kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, penguatkuasaan ke atas penggunaan lorong motosikal itu akan dijalankan sepenuhnya mulai tahun hadapan selepas banyak kempen dan khidmat nasihat diberi selama ini namun gagal dipatuhi penunggang motosikal. "Kita sebelum ini banyak memberi nasihat kepada penunggang agar tidak menggunakan laluan kereta namun ia dilihat kurang berkesan. Polis akan menguatkuasakan peraturan dan kompaun maksimum kepada mereka mulai tahun depan. "Sebuah pasukan tindakan khas juga telah ditubuhkan bagi memantau perkara ini termasuk di Jambatan Pulau Pinang serta laluan ke Bayan Lepas," katanya ketika mengulas tindakan penunggang motosikal yang sering menggunakan laluan kereta sehingga membahayakan nyawa mereka. Ayub ditemui ketika mengetuai operasi Krismas dan Cegah Jenayah di Jalan Sultan Azlan Shah berhampiran pintu masuk ke Universiti Sains Malaysia di Batu Uban, malam tadi. Menurutnya, polis kini menyasarkan tahun 2012 sebagai Rempit Sifar bagi menjadikan Pulau Pinang bebas daripada golongan mat rempit dan pelumba jalanan. "Perkara itu sedang diberi penekanan serius oleh pasukan trafik yang telah menyediakan draf sasaran kerja berkaitan masalah rempit ini," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan