Jumaat, 30 Disember 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Berdegil mandi di Pantai Irama

Posted: 29 Dec 2011 02:15 PM PST

Wilayah

Pengunjung tak hirau keselamatan bawa keluarga lihat kesan air pasang besar

BACHOK: Fenomena air pasang besar yang melanda Pantai Irama di sini menarik perhatian ratusan pengunjung sama ada penduduk dari kawasan berdekatan atau orang ramai yang ingin melihat kesan kejadian dengan lebih dekat sehingga mengabaikan keselamatan diri.

Tinjauan mendapati kebanyakan pengunjung datang bersama keluarga, malah ada yang membawa anak kecil meskipun pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini sudah menasihati orang awam untuk tidak mendekati kawasan pantai.

Lebih membimbangkan ada segelintir pengunjung yang mandi-manda di kawasan bencana tanpa memakai jaket keselamatan dan ada beberapa kanak-kanak leka bermain pasir di kawasan gigi air tanpa pengawasan orang dewasa. Pengunjung Zubaidah Zakaria, 46, berkata, beliau tertarik untuk datang ke pantai selepas ramai kenalan bertanyakan kepada beliau mengenai kejadian ini selepas dipaparkan di media.

"Saya risau juga kerana kawasan rumah agak dekat dengan kawasan pantai iaitu Pantai Kemasin, jadi saya datang ke sini untuk melihat sendiri sejauh mana keadaannya, " katanya ketika ditemui di sini.

Mohamad Zaman, 50, pula menyuarakan kebimbangan kerana tiada pengawal yang ditempatkan di pantai itu dan berharap pihak yang terbabit menempatkan sekurang-kurangnya seorang pengawal bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

"Selain memerlukan pengawal, pantai ini yang kerap dilanda hakisan memerlukan benteng yang lebih tinggi supaya kejadian sebegini tidak berulang lagi," katanya.
Peniaga, Siti Rokiah Mohamad, 50, berkata, kerana kunjungan orang ramai yang luar biasa selepas kejadian gelombang besar itu, dia tetap menjalankan perniagaan seperti biasa walaupun ada beberapa kedai yang menutup perniagaan mereka buat sementara waktu.

"Sebelum berniaga, seawal jam 6 pagi kami telah mengangkut lebih 10 kali muatan sampah-sarap dan air lumpur yang melimpahi beberapa tempat di dalam gerai akibat kejadian Isnin lalu," katanya yang menjalankan perniagaan gerai makan di pantai berkenaan.

Sementara itu, kerja pembersihan runtuhan dan pokok yang tumbang giat dijalankan oleh Unit Bunga bahagian pembersihan Majlis Daerah Bachok (MDB) yang bermula petang kelmarin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang melakukan lawatan di Pantai Irama memberitahu pemberita, pihaknya tidak dapat membuat anggaran kemusnahan berlaku di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri dan kerajaan pusat akan mengambil peranan masing-masing bagi mencari penyelesaian terhadap masalah berkenaan.

Full content generated by Get Full RSS.

Benteng pecah jejas 5 kampung

Posted: 29 Dec 2011 02:05 PM PST

Wilayah

Penduduk risau banyak tanaman rosak akibat penahan ombak belum dibaiki

KUCHING: Lebih 500 penduduk lima kampung di Pulau Semilang berhadapan risiko banjir lebih buruk apabila benteng penahan ombak berdekatan kawasan itu yang pecah sejak dua tahun lalu, belum dibaiki hingga kini.

Akibatnya, penduduk Kampung Beradek, Beradek Cina, Tiang Api, Semilang dan Sungai Pinang, terpaksa berhadapan hujan lebat dan air laut yang masuk melalui sungai kecil di sekeliling kampung.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Beradek, Sedi Jenis, 48, berkata walaupun kampung itu kerap dinaiki air namun ia tidak seteruk dialami ketika ini. "Jika hanya air hujan, kawasan halaman saja akan dinaiki air, namun akibat benteng pecah, rumah penduduk dinaiki air antara 0.5 hingga 0.8 meter seperti yang berlaku sejak tiga hari lalu.

"Sekiranya keadaan berlarutan, tidak mustahil seluruh kawasan kampung ini akan tenggelam dengan kami merayu kerja membaiki benteng penahan ombak diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Lebih 400 penduduk kampung kini terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek sejak malam Ahad lalu, selepas kediaman mereka dinaiki air dengan belum ada tanda keadaan bakal pulih.

Difahamkan akibat dari benteng penahan ombak pecah juga, penduduk kampung juga tidak dapat menanam padi sejak tiga tahun lalu, manakala tanaman seperti pokok buah-buahan tidak dapat mengeluarkan hasil yang baik.
Sedi berkata, penduduk kampung sudah beberapa kali cuba menyuarakan masalah ini kepada pihak berkuasa namun selepas tinjauan dilakukan jurutera, hanya kerja membaiki secara kecil-kecilan dilaksanakan.

"Memang ada usaha membaiki dilakukan, namun ia tidak kekal lama dengan benteng penahan kembali pecah dan jika ia tidak dibaiki sepenuhnya, kerosakan akan bertambah buruk serta membabitkan kos membaiki lebih besar.

"Saya berharap masalah penduduk ini dapat diberi perhatian kerana ia menyebabkan kami sukar untuk melelapkan mata kerana terbayang rumah akan dihanyutkan ke laut pula selepas ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan