Sabtu, 24 Disember 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Mana wakil rakyat?

Posted:

Mana wakil rakyat?

Mana wakil rakyat?

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my


Penduduk Kampung Jalan Batu 5 Bukit Kemuning mengadakan demonstrasi meminta ADUN Seri Muda dan Ahli Parlimen Kota Raja menyelesaikan masaalah banjir yang sering melanda kampung mereka. - MINGGUAN/SAHARUDDIN ABDULLAH


SHAH ALAM 24 Dis. - Kira-kira 50 penduduk Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning di sini hari ini berhimpun secara aman bagi mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah banjir di kampung tersebut.

Mereka dikatakan marah dengan kedua-dua wakil rakyat itu yang sehingga hari ini gagal mengambil tindakan mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan walaupun berjanji mahu menyelesaikannya ketika berkempen pada pilihan raya umum yang lalu.

Kecewa dengan sikap 'acuh tak acuh' Shuhaimi dan Siti Mariah itu, penduduk turut membuat beberapa laporan polis sejak 19 Disember lalu untuk melaporkan mengenai kegagalan mereka melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan baik.

Seorang penduduk, Mohd. Siva Abdullah, 51, berkata, ketika berkempen di kampung itu pada pilihan raya umum lalu, Shuhaimi dan Siti Mariah berjanji untuk menyelesaikan masalah mereka sekiranya dipilih untuk menjadi wakil rakyat.

"Namun sejak memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008 sehingga hari ini, kedua-dua wakil rakyat itu tidak pernah turun padang dan melihat sendiri masalah banjir yang dihadapi kami," katanya kepada pemberita di Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning di sini, hari ini.

Mohd. Siva berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu mencari jalan untuk menyelesaikan masalah banjir di kampung tersebut kerana setiap kali banjir, ia mengundang bahaya kepada penduduk.

"Setiap kali banjir ia akan membahayakan keselamatan penduduk kerana binatang berbisa seperti ular akan masuk ke dalam rumah.

"Keadaan itu mengancam keselamatan penduduk dan saya gesa pihak bertanggungjawab memikirkan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini," tegasnya.

Seorang lagi penduduk, Gan Boon Huat, 28, berkata masalah banjir di kawasan tersebut semakin teruk hinggakan ia pasti akan berlaku setiap kali hujan turun.

"Saya sangat berharap masalah banjir yang dihadapi penduduk sejak sekian lama dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Bertindak Alternatif Semalaysia, B. Kalai Vanar berkata, penduduk mengadu masalah tersebut kepada pihaknya selepas mereka kecewa dengan wakil rakyat yang tidak mengambil tindakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Bagi membantu penduduk terlibat, kami akan mengadakan pertemuan dengan agensi bertanggungjawab termasuk pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat ini untuk memaklumkan masalah banjir yang dihadapi penduduk," jelasnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Utusan Malaysia percuma sempena Festival Keluarga

Posted:

Utusan Malaysia percuma sempena Festival Keluarga

Utusan Malaysia percuma sempena Festival Keluarga


Fawwaz Aminuddin hadir menyampaikan akhbar Utusan Malaysia kepada orang ramai pada Festival Keluarga di Pusat Konvosyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - MINGGUAN/IRWAN MAJID


PUTRAJAYA 24 Dis.- Mercy Mission Malaysia (MMM) hari ini mengedarkan 5,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia secara percuma kepada pengunjung Festival Keluarga 'Twins of Faith' yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Akhbar itu diedarkan sukarelawan MMM di sekitar tapak festival yang menjadi tumpuan orang ramai antaranya di kawasan gerai jualan, dewan makan dan juga bilik-bilik pameran.

Pengarah Kewangan MMM, Fawwaz Aminuddin berkata, kerja-kerja mengedarkan akhbar tersebut bermula pukul 10 pagi dan ia diadakan serentak dengan majlis perasmian festival oleh Pengurus Besar MMM, Sajid Hussain.

"Kami menaruh keyakinan tinggi menerusi perkongsian pintar ini dengan menaja Utusan Malaysia, akhbar ini memainkan peranan penting untuk menguar-uarkan apa jua aktiviti yang berlangsung sempena karnival ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurut Fawwaz, pelbagai acara menarik diaturkan sempena festival yang berlangsung selama dua hari itu, antaranya forum yang membincangkan mengenai ilmu agama dan juga keperluan pengetahuan Islam pada era akan datang.

Selain itu katanya, Festival Keluarga 'Twins of Faith' merupakan festival keluarga bertaraf antarabangsa pertama diadakan yang menghimpunkan pelbagai acara berkonsepkan Islam, ilmiah dan kekeluargaan.

Katanya, festival tersebut adalah peluang keemasan bagi masyarakat di negara ini untuk berjumpa serta berkenalan bagi merapatkan silaturahim sesama insan.

"Majlis seperti ini juga memberi peluang untuk orang ramai berkongsi pengetahuan, di samping mendengar sesi ceramah yang membariskan penceramah-penceramah terkenal dari dalam dan luar negara.

"Malaysia sentiasa menjadi hab utama dalam perkembangan Islam dan untuk acara ini MMM telah mengundang barisan penceramah terbaik dunia dan penceramah terkemuka kelahiran Malaysia yang sememangnya arif dan berpengalaman luas dalam bidang masing-masing," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

2,214 tempat di SBP untuk anak miskin

Posted:

2,214 tempat di SBP untuk anak miskin

2,214 tempat di SBP untuk anak miskin

PUTRAJAYA 24 Dis.- Kementerian Pelajaran memperuntukkan sebanyak 2,214 daripada 7,400 tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) untuk pelajar lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada keluarga miskin dan luar bandar yang berdaftar dengan program e-Kasih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 360 pelajar mendapat keputusan 3A, 660 pula memperolehi 4A dan bakinya memperolehi 5A.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira tentang cabaran mereka dari segi tekanan kehidupan dan kekurangan kemudahan untuk belajar.

"Kita sediakan 7,400 tempat Tingkat 1 di SBP pada sesi persekolahan tahun depan sedangkan yang dapat keputusan 5A adalah seramai 46,000 pelajar.

"Jadi, memang ada persaingan tetapi oleh kerana kita ada projek membantu pelajar miskin dan luar bandar, maka kita sediakan 2,214 tempat untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan pakaian seragam, kelengkapan sekolah dan yuran persekolahan kepada seramai 57 pelajar miskin di sini, hari ini.

Program anjuran Yayasan Pendidikan Pelajar Melayu (YPPM) itu melibatkan 48 pelajar dari Rumah Amal Peribadi Mulia, Kajang dan sembilan pelajar dari Rumah Anak-anak Solehah, Cheras.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan syarat baru kelayakan minimum kemasukan Tingkatan 1 ke SBP iaitu keputusan UPSR 3A,2B bagi murid keluarga miskin dan 4A,1B bagi murid luar bandar mulai tahun depan.

Muhyiddin berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.

Bagaimanapun, Dr. Puad berkata, bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula, kementerian masih meneliti permohonan pelajar miskin yang ingin memasuki SBP untuk sesi persekolahan tahun depan.

Buat masa ini, beliau menambah, syarat minimum untuk pelajar miskin memasuki SBP adalah 6A, 2B.

"Kita memperuntukan 5,500 tempat sahaja walaupun jumlah mereka yang memperolehi keputusan 8A adalah 34,000 orang," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan