Ahad, 25 Disember 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Krismas erat muhibah: Najib

Posted: 24 Dec 2011 06:43 AM PST

Nasional

Rakyat pelbagai kepercayaan perlu rebut peluang pupuk persefahaman

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, perayaan Krismas adalah waktu yang sesuai untuk menyebarkan perasaan muhibah dan kegembiraan di kalangan rakyat negara ini, selain permulaan tepat menjelang Tahun Baru 2012.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian, Perdana Menteri berkata, adalah tidak salah jika rakyat diingatkan mengenai perkara itu sekali-sekala. "Sambutlah Krismas ini dengan memahami rakan rakyat Malaysia anda dengan lebih baik, dan hargai mereka di atas kepelbagaian dan kekuatan yang mereka bawa kepada negara yang kita cintai.

"Saya komited untuk mengukuhkan lagi interaksi yang lama wujud dengan masyarakat Kristian dan akan sentiasa berusaha untuk bertemu rakyat pelbagai kepercayaan serta mendapatkan idea dan pendapat untuk kebaikan masyarakat kita," katanya dalam laman blog 1Malaysia, semalam.

Perdana Menteri berkata, rakyat berlainan budaya dan kepercayaan di negara yang mengamalkan kesederhanaan ini juga mesti merebut peluang untuk memupuk persefahaman lebih baik ketika perayaan itu.

Beliau berkata, sambutan yang khusus bagi budaya dan agama semakin diterima dan disambut lebih ramai penduduk negara ini, contohnya seperti adat memberi hadiah yang selalunya diamalkan sewaktu Krismas.
"Menarik jika diperhatikan bagaimana amalan pelbagai budaya serta agama di negara kita ini bersepadu antara satu sama lain dan seterusnya sebati dalam masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata, pandangannya itu termasuk mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global disampaikan ketika mengetuai delegasi negara membuat kunjungan hormat kepada Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo, Julai lalu.

Katanya, menerusi lawatan kerja itu, Malaysia dan Vatican City bersetuju mewujudkan hubungan diplomatik, yang diharap akan membawa kepada pautan dan dialog antara agama yang lebih erat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sikap toleransi antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini sebagai kunci perpaduan yang menyaksikan setiap perayaan agama dapat diraikan dalam suasana harmoni.

Beliau berkata, membina negara yang merdeka dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama bukanlah satu tugas mudah, kerana semuanya terletak kepada perasaan saling hormat menghormati dan menerima antara satu sama lain menjadi kunci kekuatan itu.

Katanya, kesederhanaan dalam amalan agama adalah benteng utama bagi menjaga hubungan sesama rakyat Malaysia sekali gus membendung amalan ekstremis mana-mana agama dan seluruh rakyat harus bersikap sederhana mengamalkan kepercayaan agama, selain menerima setiap perbezaan dengan hati terbuka bagi menyuburkan perpaduan.

"Sama ada kita sedar atau tidak, keharmonian hubungan antara kaum dan agama adalah nikmat paling berharga yang dianugerahkan Tuhan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bertuah ini. Malah perpaduan dan keharmonian di negara kita amat dicemburui banyak pihak di luar sana kerana mereka tidak mampu mengecapi apa yang kita nikmati sekarang ini.

"Sebab itu adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk terus memelihara keharmonian antara individu dan masyarakat berlainan agama yang menjadi tunjang kepada kemakmuran sekian lama wujud.

"Saya dan isteri mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambut perayaan ini dan berharap kemakmuran Malaysia serta perpaduan nasional disertakan di dalam doa masing-masing," katanya dalam perutusan sama di sini, semalam.

Full content generated by Get Full RSS.

CUEPACS lega 5 isu berbangkit selesai

Posted: 24 Dec 2011 06:41 AM PST

Nasional

Pertemuan dengan JPA jelas kekeliruan timbul

KUALA TERENGGANU: CUEPACS lega apabila lima isu berbangkit membabitkan hak perundingan bersama, isu penyelarasan gaji dan dasar pemisah atau exit policy dan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berjaya diselesaikan dalam satu perundingan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kelmarin.

Sehubungan itu, JPA akan memberi taklimat khas secara menyeluruh kepada CUEPACS, Selasa ini yang dijangka disampaikan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah di Putrajaya kepada Majlis Kongres CUEPACS dan ketiga-tiga Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) di bawah JPA yang akan membabitkan penyertaan 140 wakil jabatan. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata pertemuan yang mengambil masa empat jam kelmarin berjalan dalam suasana mesra dan JPA memahami hasrat CUEPACS yang mewakili kepentingan 1.4 juta penjawat awam khususnya berkaitan opsyen SBPA yang sebelum ini ditetapkan sehingga 31 Disember ini.

Katanya, perjumpaan itu diadakan bagi memberi penjelasan berikutan ada beberapa kekeliruan terhadap SBPA yang berbeza maklumat serta taklimat di antara JPA dan CUEPACS kepada kakitangan awam.

Beliau berkata, pada pertemuan itu, CUEPACS gembira apabila JPA juga bersetuju membuat semakan semula terhadap 250,000 kakitangan awam dalam kumpulan gred 17 yang tidak berubah.

"CUEPACS dengan JPA tidak ada perbalahan cuma kita kesal kerana ketika proses menyediakan SBPA, CUEPACS tidak dijemput bersama untuk memberi pandangan.
"Namun, kita lega semuanya dapat diselesaikan dengan baik termasuk semakan segera kakitangan awam kumpulan gred 17 seperti di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen membabitkan pembantu tadbir dan perkeranian yang gred mereka tidak berubah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Perwakilan Tri Tahunan ke-24 Kesatuan Kebangsaan Kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (ANULAE) Semenanjung Malaysia yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said di sini, semalam.

Omar berkata, taklimat Abu Bakar itu dijangka menyelesaikan segala kekusutan yang berbangkit sebelum ini dan diharap ketua jabatan tidak menekan kakitangannya supaya menandatangani segera borang opsyen SPBA.

Bagaimanapun, beliau mengulangi pendirian CUEPACS menolak sebarang pengambilan orang luar yang bukan dalam perkhidmatan awam berkhidmat dalam sektor berkenaan.

"Kita tetap membantah polisi ini kerana kita hanya mahu orang dalam perkhidmatan awam saja mengisi jawatan tertinggi dalam sektor awam," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan