Utusan Online - Kota |
- Pembeli serbu pejabat pemaju
- Banjir: Kerajaan Selangor didesak tunai janji
- Geng Azlan tumpas, lapan lori dirampas
Posted: Pembeli serbu pejabat pemajuOleh SITI AISHAH YUSOFF Pembeli unit rumah Blok A, Pangsapuri Taman Ukay Bistari tunjuk perasaan di kawasan perumahan itu setelah pemaju gagal menyerahkan kunci rumah mereka buat kali keempat di Hulu Klang, Ampang semalam. – UTUSAN/ABDUL RAZAK LATIF AMPANG 27 Dis. – Kira-kira 100 pembeli unit Pangsapuri Ukay Bistari di Hulu Klang hari ini menyerbu pejabat tapak pihak pemaju untuk mengambil kunci rumah sebagai protes terhadap kegagalan pemaju menyerahkan kunci hari ini seperti yang dijanjikan. Mereka yang ternyata kecewa dengan kegagalan pemaju memenuhi janji itu, turut merobohkan sebahagian pagar zink untuk memasuki kawasan pangsapuri itu. Projek perumahan Ukay Bistari yang mula dibina pada 2003 itu meliputi pembinaan 1,172 unit rumah pangsapuri dan 1,428 rumah kos rendah merupakan projek pertama Damai Bistari Sdn. Bhd. dan sepatutnya siap sepenuhnya pada 2006. Pengerusi Persatuan Pemilik Bangunan Terbengkalai Malaysia (Victims) Dr. Mohd. Rafick Khan Abd. Rahman (gambar) berkata, sehingga hari ini, sudah empat kali pemaju berjanji untuk menyerahkan kunci kepada pemilik rumah tetapi tidak terlaksana. "Sepatutnya tempoh penyerahan kunci rumah yang dijanjikan pemaju adalah pada hari ini dan setakat ini hanya tiga blok iaitu A, D dan E telah siap dan hanya menunggu Sijil Layak Menduduki (CFO). "Bagaimanapun, hanya 211 unit rumah blok A sahaja daripada keseluruhan tujuh blok di sini akan memperoleh kunci dan penghuni blok selebihnya masih perlu menunggu," katanya ketika ditemui ketika turut menyertai protes itu. Tambahnya, Victim terpaksa meminta Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk campur tangan membantu termasuk dalam projek terbengkalai di Ukay Bistari ini. "Bagi projek di Ukay Bistari, sudah lebih dua tahun Victim cuba mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi tiada satu pun jawapan positif sebaliknya sering ditolak dari satu jabatan ke jabatan yang lain," katanya. Seorang pembeli, Mohd.Faizal Jaafar, 32, berkata, sepatutnya rumah itu siap pada tahun 2007. "Saya beli rumah tersebut pada tahun 2004 dengan harga RM89,000 tetapi sampai sekarang saya masih menunggu untuk duduk di rumah tersebut," katanya. Jacklyn Lai, 37, pula berkata, dia terpaksa menanti selama lapan tahun untuk menduduki rumah yang dibeli di situ. "Sehingga hari ini tiada jaminan saya dapat tinggal di sini, dan terpaksa pula menanggung bayaran pinjaman daripada bank," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
Banjir: Kerajaan Selangor didesak tunai janji Posted: Banjir: Kerajaan Selangor didesak tunai janjiSHAH ALAM 27 Dis. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor didesak agar mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning di sini. Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Raja, Ir. Kamaruzzaman Johari berkata, masalah banjir itu sepatutnya telah lama ditangani oleh kerajaan negeri kerana janji mereka untuk menyelesaikan perkara itu telah dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lagi. "Sudahlah janji tidak ditunaikan, pemimpin yang dilantik untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat di kawasan tersebut juga tidak turun padang. "Apa yang berlaku jelas menunjukkan pemimpin yang telah dipilih rakyat gagal melaksanakan tanggungjawab kerana jika masalah banjir pun gagal ditangani apalagi masalah yang lebih besar dan rumit. Ini juga salah satu contoh nyata janji palsu yang dibuat pemimpin dan kerajaan PKR negeri kepada rakyat," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas tindakan kira-kira 50 penduduk Kampung Batu 5, Jalan Bukit Kemuning yang berhimpun pada Sabtu lalu bagi mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah banjir di kampung itu. Mereka marah dengan kedua-dua wakil rakyat itu yang sehingga hari ini gagal mengambil tindakan mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan walaupun berjanji mahu menyelesaikannya ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu. Kamaruzzaman berkata, pemimpin kerajaan pakatan pembangkang perlu segera turun padang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Batu 5. Tambah beliau, pemimpin PKR negeri perlu sedar bahawa segala janji yang dibuat sebelum menjadi pemimpin dan tanggungjawab untuk menunaikannya selepas mendapat jawatan bukan semudah yang disangka. "Kepimpinan PKR negeri jangan hanya pandai mengkritik pemimpin kerajaan BN tetapi tanggungjawab sendiri tidak dijalankan," katanya. |
Geng Azlan tumpas, lapan lori dirampas Posted: Geng Azlan tumpas, lapan lori dirampasGOMBAK 27 Dis. - Polis berjaya menumpaskan Geng Azlan yang aktif mencuri lori di sekitar daerah Gombak dengan tertangkapnya empat lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Tanjung Karang dan Teluk Intan, Perak, pada 17 Disember lalu. Penahanan tersebut dibuat selepas seorang lelaki membuat laporan berhubung kehilangan sebuah lori milik syarikat di hadapan rumahnya di Taman Sri Gombak, Batu Caves dekat sini pada hari berkenaan. Hasil maklumat dan risikan, polis berjaya menahan dua lelaki termasuk seorang dalang kumpulan itu yang aktif melakukan kegiatan tersebut sejak awal tahun ini selain merampas sebuah lori curi di Tanjung Karang pada 19 Disember dan 21 Disember lalu. Soal siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek membawa kepada penahanan dua lagi lelaki serta merampas tiga buah lori curi yang telah diubah suai di Teluk Intan, pada 23 Disember lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pihak polis kemudian melakukan serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Parit Dayang Selekoh, Perak dan merampas empat buah lori curi tetapi belum diubah suai. "Hasil pemeriksaan mendapati ketua geng itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan curi kenderaan. "Kesemua tangkapan tersebut berusia 26 hingga 30 tahun dan siasatan mendapati mereka merupakan penganggur," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini. Rosly berkata, modus operandi Geng Azlan adalah mensasarkan lori-lori muatan satu hingga tiga tan yang ditinggalkan di hadapan rumah atau di tepi jalan. "Geng tersebut hanya bermodalkan playar dan wayar untuk menghidupkan bateri sebelum melarikan lori dalam beberapa minit sahaja. "Lori-lori itu kemudian diubah suai supaya boleh digunakan untuk kerja-kerja di ladang dan dijual pada harga antara RM3,000 dan RM6,000 iaitu lebih murah berbanding harga asal RM80,000," katanya lagi. Katanya, nilai keseluruhan lapan buah lori yang dirampas mencecah RM200,000 dan kesemua suspek kini diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri. Dalam pada itu jelas Rosly, sebanyak 264 kes berhubung kecurian lori dilaporkan tahun ini berbanding 226 kes yang sama tahun lalu. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan