Utusan Online - Dalam Negeri |
- TPM lawat Perlis 12 Januari
- Mohamad Asfia pangku Yang Dipertua Negeri Sarawak
- Jurnal Universiti Malaysia Perlis antara terbaik di dunia
Posted: TPM lawat Perlis 12 JanuariKANGAR 29 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja selama sehari di Perlis pada 12 Januari depan. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu memberitahu, lawatan Muhyiddin itu akan meliputi ketiga-tiga kawasan Parlimen di Perlis iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau. "Pertama sekali, beliau (Muhyiddin) akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar sebelum menemui pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di negeri ini," kata beliau di sini hari ini. Menurut beliau, Timbalan Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri jamuan rakyat di Kangar yang akan melibatkan pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta. "Ini diikuti dengan Perjumpaan Mesra Rakyat di Parlimen Padang Besar sebelum menghadiri program sama di Parlimen Arau," katanya. |
Mohamad Asfia pangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Posted: Mohamad Asfia pangku Yang Dipertua Negeri SarawakKUCHING 29 Dis. – Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar (gambar) hari ini mengangkat sumpah pelantikan sebagai Pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak berkuat kuasa 27 Dis lepas hingga 10 Februari 2012. Majlis menandatangani surat sumpah dan surat pengisytiharan tersebut disempurnakan di hadapan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang dan disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Rhodzariah Bujang di Dewan Lapau Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini pagi ini. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pembangunan Tanah, Tan Sri Dr. James Jemut Masing dan Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom serta beberapa pemimpin negeri dan ketua masyarakat. Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng ketika ini sedang bercuti rehat. Abang Muhammad Salahuddin, 90, dilantik semula sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 5 Dis lalu. Beliau merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang keenam dilantik kali pertama pada 2001 menggantikan Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamed Noor yang meninggal dunia pada 2000. – BERNAMA |
Jurnal Universiti Malaysia Perlis antara terbaik di dunia Posted: Jurnal Universiti Malaysia Perlis antara terbaik di duniaKANGAR 29 Dis. - Jurnal terbitan penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul anugerah Computer Simulation Technology (CST) University Publication Award 2011 baru-baru ini yang meletakkannya sebagai salah sebuah daripada empat artikel terbaik di dunia dalam bidang elektromagnetik. Artikel bertajuk Setup and Results of Pyramidal Microwave Absorbers Using Rice Husks diterbitkan dalam jurnal 'Progress in Electromagnetic Research' (PIER) pada Disember 2010 itu adalah hasil projek yang dilaksanakan oleh Nornikman Hassan. Ia diselia oleh Dr. Mohd Fareq Abd. Malek (penyelia utama) manakala Soh Ping Jack dan Azremi Abdullah Al-Hadi bertindak sebagai penyelia bersama. Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejayaan tersebut meningkatkan kredibiliti UniMAP di peringkat antarabangsa. "Kejayaan ini tambah bermakna memandangkan UniMAP merupakan penerima anugerah tersebut yang pertama di kalangan IPT (institusi pengajian tinggi) di Asia Tenggara dan artikel berkenaan akan direkodkan sebagai rujukan di laman web CST," katanya di sini. Selain itu, kata beliau, UniMAP akan menerima dua lesen penuh perisian CST percuma selama setahun. "Hanya empat jurnal dipilih untuk menerima pengiktirafan ini dan UniMAP bangga menjadi salah sebuah dari empat penulisan jurnal terbaik dunia. "Ternyata usaha UniMAP menggalakkan penulisan jurnal di kalangan kakitangan akademik membuahkan kejayaan yang membanggakan," ujar beliau. Tiga lagi universiti yang menerima pengiktirafan tersebut bagi tahun ini adalah dari Perancis, Amerika Syarikat dan Ireland. Pemilihan dibuat berdasarkan impak kandungan saintifik terhadap komuniti penyelidikan elektromagnetik. Anugerah CST dimulakan sejak 2003 dengan tiga atau empat artikel terbaik di seluruh dunia dalam elektromagnetik akan dikenal pasti untuk menerimanya pada setiap tahun. Pemilihan dan anugerah dibuat oleh syarikat pembangun perisian elektromagnetik CST yang juga pemilik perisian CST Microwave Studio untuk mengiktiraf kepentingan sumbangan pihak universiti menerusi usaha-usaha penerbitan artikel saintifik berimpak serta menggalakkan penggunaan perisian simulasi secara optimum. Sementara itu, Pengarah Pemasaran CST, Dr. Martin Timm berkata, selepas lapan tahun penganjuran, penyertaan yang diterima untuk anugerah berkenaan begitu menggalakkan dan pihaknya menghadapi kesukaran untuk memilih pemenang memandangkan kualiti jurnal yang dipertandingkan semakin meningkat. "Bagaimanapun, setelah beberapa siri pemilihan, empat jurnal ini dinilai sebagai yang terbaik," ujarnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan