Berita Harian: Nasional |
Posted: 23 Dec 2011 04:24 PM PST Nasional Peneroka dapat insentif RM400 hingga RM1,200 akhir bulanPUTRAJAYA: Kerajaan semalam mengumumkan bonus insentif produktiviti antara RM400 hingga RM1,200 kepada peneroka FELDA di seluruh negara yang akan dibayar di pejabat rancangan, hujung bulan ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata bonus berjumlah RM102.58 juta itu akan dibayar kepada 95,949 daripada 112,635 peneroka FELDA. Kadar bonus yang dibayar itu sama dengan tahun lalu. Jumlah yang akan diterima setiap peneroka adalah bergantung kepada kuantiti penghantaran hasil, sama ada getah atau kelapa sawit, menerusi pengurusan tanah rancangan bagi tempoh Januari 2011 hingga Oktober 2011.Najib berkata, bonus itu bagi menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri kelapa sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui FELDA. "Bagi peneroka kepala sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan sehektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 19 tan sehektar. "Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01 kilogram (kg) sehektar dan ganjaran maksimum diberi kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kg sehektar," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam. "Seramai 60,584 peneroka menanam semula bersama FELDA dan semuanya menerima bonus maksimum RM1,200 setiap seorang seperti pada tahun lalu," katanya. Perdana Menteri berkata FELDA juga memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula termasuk kawasan kebun yang diambil bagi tujuan pembangunan, hasil tanaman rendah akibat serangan musuh dan penyakit seperti ganoderma dan ulat bungkus. "Kira-kira 2,500 peneroka yang terbabit dan kadar bayaran (bonus) ialah RM400 seorang," katanya. Beliau berkata jumlah peneroka yang akan menerima bonus berkenaan adalah 85.19 peratus daripada 112,635 peneroka FELDA di seluruh negara. "Seramai 16,686 peneroka atau 14.81 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada FELDA dan juga kerana hasil kurang daripada kadar minimum yang ditetapkan. Selain itu, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini," katanya. Perdana Menteri berkata kerajaan berharap pembayaran bonus itu akan menjadi perangsang kepada peneroka untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing pada masa depan. Pada masa sama, Najib meminta semua peneroka supaya menyertai program bersama FELDA selaras usaha berterusan yang dilaksanakan agensi berkenaan untuk meningkatkan pendapatan golongan itu menerusi bimbingan dan khidmat nasihat yang disediakan. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull content generated by Get Full RSS. |
Serah borang SBPA dilanjut ke 15 Januari Posted: 23 Dec 2011 04:22 PM PST Nasional Permohonan opsyen usia pencen 60 tahun kekal 31 Disember: JPAPUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju supaya tarikh akhir menyerahkan borang opsyen skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dilanjutkan kepada 15 Januari ini bagi memberi lebih masa kepada kakitangan yang berkaitan. Bagaimanapun, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) JPA, Datuk Dr Ismail Alias, berkata tarikh akhir untuk penyerahan borang opsyen bagi melanjutkan umur persaraan penjawat awam dari 58 tahun kepada 60 tahun kekal pada Sabtu depan. Perkara itu adalah antara persetujuan bersama antara JPA dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam perbincangan kedua-dua pihak berkaitan pelaksanaan SBPA di sini semalam.Pada masa sama, Ismail mengesahkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, sendiri akan mengadakan satu taklimat khusus berkaitan SBPA dan penyelarasan gaji kepada wakil CUEPACS dan semua jabatan pada minggu depan. "Kita akan meneruskan SBPA dan sebenarnya CUEPACS tidak menolak SBPA. Opsyen yang kita beri itu, ada dua. Pertama, tempoh opsyen (lanjutan) umur persaraan kepada 60 tahun tetap (berakhir) pada 31 Disember kerana ia membabitkan banyak isu perundangan. "Bagi opsyen SBPA, memandangkan tempoh itu agak terdesak (31 Disember ini), JPA bersetuju supaya ia dilanjutkan kepada 15 Januari depan," katanya kepada pemberita ketika sidang media bersama Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, di Ibu Pejabat JPA, di sini, semalam. Sebelum ini, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada untuk memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama. Dalam pada itu, Ismail juga mengesahkan JPA dan CUEPACS menetapkan tiga bulan untuk menyelesaikan isu pelarasan gaji anggota keselamatan Gred 17 supaya mereka dapat menikmati kadar upah sama dengan kakitangan kerajaan berkhidmat di bahagian pentadbiran bergred itu. Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS dan JPA juga secara dasarnya bersetuju dengan pelaksanaan SBPA dan akan bersama-sama menyelesaikan lima isu dibangkitkan sebelum ini termasuk dasar pemisah atau 'exit policy'. Katanya, JPA juga meminta penjawat awam yang sudah menandatangani surat tawaran opsyen SBPA supaya tidak bimbang kerana seorang wakil CUEPACS akan dilantik selaku pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau pelaksanaan tindakan tatatertib. Beliau juga berkata, ketua jabatan dan agensi tidak berkuasa memecat kakitangan bawahan sesuka hati dan hanya JPA boleh berbuat demikian. "JPA juga bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan 'exit policy' daripada enam bulan kepada setahun bagi membolehkan penjawat awam meningkatkan prestasi kerja dan tahap produktiviti mereka. "Sekiranya produktiviti mereka tidak bagus, barulah JPA akan menasihatkan penjawat awam berkenaan supaya berhenti cara 'baik' sebelum tindakan 'exit policy' diambil, sekali gus memudahkan mereka mencari rezeki di tempat lain dan boleh menikmati kemudahan pencen seperti pesara kerajaan lain,"katanya. Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan