Utusan Online - Rencana |
Posted: Harapan dunia terhadap 2012Oleh Zin Mahmud ANTARA berita politik yang disiarkan ke seluruh dunia pada akhir tahun 2011 ialah pelantikan Kim Jong-un sebagai Pemerintah Tertinggi Tentera Korea Utara. Dunia bukan saja menanti tetapi juga bimbang terhadap Korea Utara sejak pemimpin utama negara itu, Kim Jong -Il meninggal dunia 17 Disember lalu. Kebimbangan itu dapat difahami kerana Korea Utara mempunyai keupayaan senjata nuklear dengan memiliki satu kerajaan yang pelik, bersifat ekstrem bagai kultus dengan tidak dapat dijangka tindak-tanduk mereka. Malah keadaan peliknya negara itu menampakkan bahawa semua negara di dunia ini normal kecuali Korea Utara. Maka untuk berhadapan dengan Korea Utara, dunia perlu memberi perhatian istimewa kerana ia sebuah negara yang tidak normal. Walaupun ancaman Korea Utara ditangani secara langsung oleh Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea Selatan tetapi sebarang perkembangannya akan memberi kesan kepada seluruh dunia, secara tidak langsung. Sememangnya di dunia terdapat perkembangan politik yang juga penting seperti kebangkitan rakyat Arab yang masih belum berkesudahan. Tetapi Korea Utara mempunyai keistimewaannya kerana bahaya yang terkandung di dalamnya. Tetapi di sebalik kebimbangan dunia mengenainya, terdapat juga harapan. Mungkin juga akan berlaku perubahan dalam Korea Utara pada tahun 2012 hingga membawa kepada keamanan baru di rantau Asia Timur Laut itu. Harapan dunia seumpama ini pernah muncul pada tahun 1990 ketika rejim-rejim komunis tumbang di seluruh dunia. Apabila rejim Berlin tumbang dan membawa penyatuan Jerman Barat dan Jerman Timur, maka perkara seumpama ini diharapkan berlaku antara Korea Utara dengan Korea Selatan berikutan kematian bapa Kim Jong-il, Kim Il-sung yang juga pengasas rejim Pyongyang. Tetapi harapan itu berkecai apabila Kim Jong-il didapati hanya mahu mempertahankan keadaan sedia ada, ditambah pula dengan pembangunan senjata nuklear. Sama ada anaknya, Kim Jong-un akan membawa perubahan akan dapat disaksikan sepanjang tahun 2012. Tetapi kemungkinan besar juga akan berlaku sesuatu yang sama sekali di luar jangkaan. Apabila dikatakan di luar jangkaan, maka pada waktu ini, benar-benar tidak terfikir oleh sesiapa. Sejarah Begitulah hakikatnya yang berlaku sepanjang sejarah moden dunia ini. Harapan sentiasa dipasang, dan sering kali berkecai. Tetapi dalam kehilangan harapan, tiba-tiba muncul perkembangan yang tidak disangka-sangka. Sama ada baik atau buruk. Malah baik dan buruk itu menjadi subjektif kerana perkembangan selanjutnya boleh berbeza daripada apa yang dijangka. Umpamanya ialah kebangkitan rakyat Arab atau dikenali sebagai Musim Bunga Arab. Ia tidak dijangka oleh mana-mana penganalisis walaupun itulah harapan banyak pihak, baik di kalangan para pendokong demokrasi di barat mahupun rakyat Arab sendiri yang mengimpikan perubahan. Ternyata sepanjang tahun 2011, impian itu telah menjadi kenyataan dan ia membuka laluan kepada harapan baru. Bermula dari Tunisia dan kini masih dalam proses di mana pada hari akhir tahun 2011, puluhan rakyat Syria terkorban dalam kebangkitan yang belum selesai di Damsyik. Sememangnya harapan dunia terhadap negara-negara Arab adalah tinggi bagi tahun 2011. Mereka mengharapkan supaya proses di Arab itu akan berakhir dengan sempurna dengan semua negara-negara Arab yang terlibat menjadi stabil dan berfungsi. Tetapi bagi para pemerhati yang melihat perkembangan dunia berpuluh-puluh tahun, pastinya dapat mengesan bahawa realiti tidak bergerak secara licin dan teratur seperti yang dijangkakan oleh otak manusia. Apa yang pasti adalah ketidakpastian. Pada akhir tahun 1980-an, peristiwa kejatuhan Kesatuan Soviet dan negara-negara sekutunya merangsang penganalisis Francis Fukuyama untuk mengisytiharkan bahawa sejarah telah berakhir. Dia bermaksud pihak Barat dan fahaman demokrasi liberalnya telah menang, dan tidak ada lagi pertembungan politik yang besar. Tetapi keruntuhan komunis tidak lengkap. China, Korea Utara, Vietnam, Cuba dan Laos masih komunis walaupun berbeza amalan. Paling ketara ialah Korea Utara yang mengamalkan komunisme ekstrem di luar pemahaman manusia sejagat. Sementara ancaman utama kepada Barat datang daripada bukan sesebuah negara tetapi rangkaian pengganas berasal daripada kepercayaan Islam. Dengan pembunuhan Osama bin Laden pada tahun 2011, harapan yang dipasang oleh dunia, khususnya di Barat ialah berakhirnya ancaman keganasan yang dikaitkan dengan Islam ini. Umat Islam juga lega kerana letih dikaitkan dengan keganasan. Dengan kemenangan parti-parti Islam di Tunisia, Maghribi dan Mesir yang mencontohi Turki, maka harapan bahawa demokrasi akan diamalkan oleh dunia Islam berbunga dalam hati pihak Barat. Maka dalam tahun 2012 ini, impian dan harapan mestilah dilihat sebagai impian dan harapan juga, dan bukannya suatu realiti atau jangkaan. Jika dilihat terhadap apa yang berlaku di dunia Barat, Amerika dan Eropah pada tahun 2011, ancaman terhadap mereka bukannya datang dari dunia Islam. Ancaman sebenar adalah dalam diri mereka iaitu sistem ekonomi kapitalis itu sendiri. Eropah, khususnya Greece, Itali dan Sepanyol terpukul teruk dan sedang mengheret seluruh dunia Barat ke keadaan yang membimbangkan dunia. Demonstrasi Siapa sangka sebelum ini akan berlaku demonstrasi besaran-besaran di kota-kota Amerika Syarikat dalam gerakan yang dikenali sebagai Occupy Wall Street, membantah kerakusan bank-bank hingga membawa kepada keadaan ekonomi yang buruk di negara itu. Kesan daripada keadaan ini akan diketahui pada tahun 2012. Mungkin tidak ada apa yang boleh berubah banyak pada Amerika. Tetapi gerakan Occupy Wall Street akan memberi kesan juga pada kesedaran nasional negara itu, lebih-lebih lagi tahun 2012 akan menyaksikan kempen serta Pilihan Raya Presiden kuasa besar itu. Proses mencari calon Parti Republikan telah menyerlahkan perkara-perkara yang tidak dijangka. Dalam keadaan populariti Presiden Barack Obama menurun, maka calon Parti Republikan menjadi penting. Tanpa dijangka muncul seorang calon yang walaupun payah untuk menang tetapi mengemukakan gagasan-gagasan yang menarik. Ron Paul yang usianya tidak memihak pada dirinya tetapi kematangannya telah melahirkan pandangan-pandangan ekonomi yang masuk akal. Lebih mengejutkan tetapi menarik ialah sikap dasar luar negara terutama dalam hal Palestin. Dunia bukan Barat yang umumnya pro-Palestin akan berasa pendirian Ron Paul ini suatu penyegaran daripada kebiasaan. Sepanjang tahun 2011, Palestin mengalami perkembangan baru, bukan saja penerimaan keahliannya ke dalam UNESCO tetapi juga kesan daripada kebangkitan rakyat Arab dan sikap aktif Turki. Perkembangan terhadap Palestin ini tidak dijangka sebelum ini, dan ia membuka harapan baru kepadanya pada tahun 2012. Namun begitu, mungkin di akhir tahun 2012 akan didapati bahawa tidak ada banyak perubahan. Kadangkala dirasakan bahawa usaha manusia dalam memperjuangkan sesuatu seperti tidak membuahkan hasil. Wal hasil balik asal. Tidak ada perubahan bertahun-tahun lamanya hingga adakalanya berasa putus harapan. Dalam zaman teknologi maklumat, manusia memiliki banyak maklumat. Namun begitu realiti kewujudan adalah begitu kompleks di mana jangkauan manusia hanya pada peringkat tertentu. Kekayaan maklumat tidak menjamin pengetahuan dan keberkesanan usaha. Tetapi ada masanya, seseorang tidak berbuat apa-apa tetapi berlaku juga perubahan. Manusia merancang dan berikhtiar tetapi hasilnya tidak menjamin. Banyak faktor lain yang membawa perubahan tanpa penglibatan manusia. Perubahan alam, umpamanya memberi kesan yang di luar ikhtiar manusia. Sementara kelahiran dan kematian yang membawa kepada pergantian generasi manusia pasti membawa perubahan. Sama ada dijangka atau tidak. Bila ada kebimbangan, maka ada harapan. Selamat Tahun Baru! Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Rakyat hakim negaraBisik-Bisik Mingguan APA sahaja sumber yang ada digunakan. Kalau ada cacing dan ulat batu, boleh dikerah, pasti dikerah. Misinya adalah untuk membebaskan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim jika didapati bersalah di mahkamah pada 9 Januari ini atas pertuduhan meliwat pembantunya, Saiful Bukhari Azlan. Sekali lagi sebagaimana senario 1998 dan 1999, rakyat diheret kepada isu moral peribadi. Sendiri melakukan salah laku moral, rakyat yang akhirnya dipalit. Ketika 'sedap' diulit nafsu, lupa rakyat tetapi apabila tiba hari penentuan di mahkamah, rakyat mahu dijadikan keldai. Belum pernah dalam sejarah dunia, ada pemimpin mahupun tokoh pembangkang yang mempergunakan rakyat untuk kepentingan diri dan nafsu peribadi. Kempen Bebaskan Anwar 901 yang digerakkan oleh ketua pembangkang itu bersama PKR dengan dibantu DAP dan beberapa NGO antiperlembagaan, semakin rancak persiapannya. Kemuncaknya adalah hasutan dan siri demonstrasi liar yang bertujuan mewujudkan kekecohan di ibu negara. Semua penyokong Anwar telah diberi motivasi agar lawan habis-habisan. Maka jangan terkejut jika Kuala Lumpur bermandi darah kerana itulah juga matlamat tersirat agar dapat menarik perhatian dunia dan menampakkan pihak berkuasa Malaysia kejam. Sekali lagi, warga kota akan ditimpa kesusahan dan aktiviti mencari rezeki, perniagaan dan pelancongan di Kuala Lumpur akan terjejas teruk. Kini Anwar dan jawatankuasa penganjur menjaja slogan Rakyat Hakim Negara. Poster mengenainya bersepah-sepah diedarkan di Lembah Klang. Anwar seperti menjangkakan dia akan bersalah. Dari awal lagi beliau sudah memperlekehkan hakim dan mahkamah. Itu sindrom penafian untuk melindungi diri. Awang senyum meleret. Sebenarnya golongan rakyat yang beliau harapkan menjadi hakim nanti, ialah penyokong PKR dan pembangkang dengan mengadakan demonstrasi jalanan. Anwar mahu eksklusiviti dalam kesnya sahaja. Mana boleh! Ribuan lagi kes liwat dan rogol selama ini, juga wajar diserahkan kepada rakyat untuk membuat penentuan. Tetapi Awang suka apabila Anwar mengambil pendekatan seperti itu. Tahun 2011 sudah cukup bagi rakyat menjadi hakim negara dalam menilai siapa sebenarnya beliau. Seperti tahun-tahun sebelumnya Anwar masih enggan bersumpah laknat di dalam masjid bagi menafikan pembabitannya dalam kes liwat sedangkan Saiful telah lama berbuat demikian. Dalam perbicaraan kes liwat itu juga, Anwar memomokkan mahkamah dengan memohon berpuluh-puluh penangguhan, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah. Beliau juga kerap memburuk-burukkan imej Malaysia termasuk ketika melawat negara asing, daripada isu batik hinggalah kepada ekonomi. Beliau yang mendabik dada sebagai pejuang keadilan dan kebebasan, juga memalukan pembangkang apabila enggan memberi keterangan bersumpah di mahkamah. Dalam kes rakaman video seks yang mengaitkan beliau bersama pelacur, Anwar enggan melakukan sumpah laknat. Beliau membuat penafian tetapi bukti-bukti berkaitan cukup jelas. Video tersebut yang mencetuskan kegemparan pada tahun ini disahkan ketulenannya oleh pakar di Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Sehingga hari ini, Anwar masih gagal menjawab misteri ke manakah jam tangannya dan tempoh dua jam yang beliau 'hilang' daripada interaksi di laman sosial Twitter dan Facebook. Tahun 2011 turut menyaksikan Anwar mencatat rekod dunia sebagai pemimpin pembangkang paling banyak ke luar negara. Bayangkan berapa banyak wang yang terpaksa dibelanjakan untuk tambang pesawat, hotel dan lain-lain yang gayanya bertaraf pemimpin sesebuah negara? Berapa banyak masa pula terpaksa dihabiskan di luar negara sehingga gagal memberi perhatian penuh kepada tugasnya sebagai wakil rakyat di Permatang Pauh, penasihat ekonomi Selangor malah juga PKR sehingga mengakibatkan parti itu berantakan dan kian lemah? Keghairahan Anwar banyak ke luar negara memperlihatkan secara tidak langsung bahawa beliau cergas, boleh berjalan malah ada kalanya berlari anak di lapangan terbang. Maka dakwaan kononnya beliau tidak mampu melakukan aktiviti yang agak lasak termasuk seks, adalah meragukan. Selain itu, timbul persoalan untuk apa beliau kerap ke luar negara, apakah ada kaitan dengan aktiviti kurang sihat, yang juga menjadi misteri. Senario yang Awang bentangkan ini sudah cukup menarik untuk kita semua sebagai hakim menilai beliau. Kepada kebanyakan rakyat, Anwar berdepan isu moral dan pembohongan yang serius. Itulah yang cuba ditutup oleh PKR. Terbaru ada pemimpin parti itu sanggup menyamakan Anwar dengan Imam Mahadi. Betapa terdesaknya mereka mahu menyelamatkan Anwar. Sebenarnya tidak sukar bagi rakyat untuk menjadi hakim kepada isu dan kes beliau. Bangkitlah rakyat. Sampai bila kita mahu diperbodohkan oleh orang yang sama berulang kali - hanya kerana angkara nafsunya. Cukuplah. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan