Khamis, 29 Disember 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Rumah dibanjiri air najis

Posted:

Rumah dibanjiri air najis

Rumah dibanjiri air najis

Oleh AHMAD FADZLY ESA
kota@utusan.com.my


K.MURALI meredah banjir yang baru surut dan bercampur dengan air najis dari loji kumbahan berdekatan rumahnya di Jalan Laksamana 11, Taman Mewah Jaya di Klang, malam semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


KLANG 29 Dis. - Menjijikkan dan memualkan! Begitulah keadaan yang menimpa lima buah keluarga di Taman Mewah Jaya di sini yang terpaksa menghidu bau busuk akibat rumah mereka sering dibanjiri air najis dari loji kumbahan sejak beberapa tahun lalu.

Cukup dengan hujan selama 20 minit, air loji kumbahan tersebut akan melimpah hingga menggenangi kawasan perumahan berdekatan setinggi kira-kira 0.5 meter. Dan malam tadi adalah kejadian banjir 'air kumbahan' yang entah ke berapa kali berlaku sepanjang tahun ini.

Seorang penduduk, K. Murali, 34, berkata, sepanjang tahun ini sahaja sudah berpuluh-puluh kali kawasan mereka dibanjiri air kumbahan tersebut apatah lagi kini adalah musim tengkujuh.

Dia mendakwa pihaknya sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud sejak lebih setahun lalu namun sehingga kini tiada sebarang tindakan proaktif diambil oleh pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat tersebut.

"Sekiranya penyelesaian mahu dilakukan, saya kira pihak berwajib perlu membina sistem perparitan dan longkang yang lebih besar bagi menampung air hujan yang begitu banyak.

"Ini memandangkan longkang yang ada sekarang terlalu kecil dan sempit hingga mengakibatkan ia tidak dapat menampung air hujan lalu membuatkan loji kumbahan ditenggelami air yang kemudian melimpah ke kawasan rumah penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam tadi.

Murali meluahkan perasaannya bahawa sampai bila mereka harus bertahan dengan keadaan yang busuk dan menjijikkan itu.

"Saya sudah puas membuat aduan menerusi panggilan telefon dan pegawai terbabit berjanji akan turun padang meninjau, namun janji hanya tinggal janji," dakwanya.

Seorang lagi penduduk, Ong Chin Lam, 61, memberitahu, dia sekeluarga terpaksa membersihkan lantai di perkarangan rumah yang dipenuhi dengan sampah sarap serta kotoran yang dibawa oleh limpahan banjir bercampur air loji kumbahan setiap kali hujan lebat.

"Sampai bila kami harus menanggung bau busuk dan membersihkan air sisa kumbahan di hadapan rumah, saya berharap pihak berkenaan peka dengan masalah yang dihadapi penduduk dan mengambil tindakan segera untuk menangani masalah ini," ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Penduduk mahu pertahan rumah dari diroboh

Posted:

Penduduk mahu pertahan rumah dari diroboh

Penduduk mahu pertahan rumah dari diroboh

GOMBAK 29 Dis. - Perasaan resah yang menyelubungi sepuluh buah keluarga di Jalan Kampung Tengah 2, Batu 6 di sini semakin meningkat apabila tempoh penangguhan rumah mereka daripada dirobohkan oleh syarikat pemaju kawasan itu berakhir semalam.

Permintaan mereka untuk berunding dengan pihak pemaju pula hanya menemui jalan buntu dan sepanjang tempoh penangguhan sementara selama sebulan itu, tiada sebarang tindakan dan perbincangan dilakukan oleh pemaju untuk menyelesaikan isu tersebut.

Tempoh pengosongan rumah itu telah dilanjutkan selama sebulan selepas penduduk bertegas untuk menghalang apa sahaja usaha pemaju untuk memasuki kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tengah, Abdul Halim Idris berkata, pemaju tidak mahu mengadakan sebarang rundingan dengan penduduk, malah sebarang rayuan yang dibuat juga tidak diterima.

"Jika penduduk dipindah, ke mana mereka hendak pergi kerana mereka sudah lama tinggal di kawasan itu," katanya ketika mengetuai perhimpunan membantah pemaju semalam.

Katanya, memandangkan rayuan penduduk telah ditolak oleh mahkamah, tiada cara lain yang boleh penduduk lakukan selain daripada menuntut ganti rugi bagi meringankan beban mereka.

Tambahnya, mereka akan sentiasa berjaga-jaga dan akan mempertahankan sepuluh buah rumah berkenaan daripada dirobohkan.

Sebelum itu, kira-kira 100 penduduk berkumpul bagi menunjukkan sokongan untuk mempertahankan rumah-rumah tersebut daripada dirobohkan.

Seorang penduduk, Siti Hapsah Danu, 73, berkata, dia sentiasa memikirkan apa akan terjadi jika rumah diduduki olehnya sekarang dirobohkan.

"Banyak kenangan saya di rumah ini, saya tinggal di sini sejak kecil lagi," katanya.

Penghuni sepuluh buah rumah yang diarahkan berpindah sejak 36 tahun lalu itu adalah atas arahan pemaju yang mahu menjalankan projek pembangunan perumahan Taman Harmoni.

Full content generated by Get Full RSS.

300 remaja sertai konvoi berbasikal Jejak Perpaduan 1Malaysia

Posted:

300 remaja sertai konvoi berbasikal Jejak Perpaduan 1Malaysia

300 remaja sertai konvoi berbasikal Jejak Perpaduan 1Malaysia

KLANG 29 Dis. - Golongan remaja perlu menyelami sendiri betapa sukarnya para pemimpin terdahulu untuk membentuk perpaduan di kalangan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini termasuk sanggup memasuki kawasan pedalaman dengan menaiki basikal semata-mata untuk menemui rakyat.

Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin berkata, usaha tersebut sudah tidak dapat disamakan dengan keadaan di zaman ini.

Justeru, kata beliau, melalui aktiviti mengayuh basikal dari Klang hingga Bukit Subang dalam program Jejak Perpaduan 1Malaysia, para remaja diberi peluang untuk merasai bagaimana pahit manis para pemimpin terdahulu dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menyatupadukan rakyat.

"Kemakmuran negara hari ini bukan datang bergolek, dengan susah payah pemimpin kita menyampaikan dasar kerajaan sampai ke ceruk desa dengan berbasikal sahaja," katanya selepas melepaskan 300 remaja pelbagai kaum yang menyertai program itu, yang bermula di perkarangan Pejabat Barisan Nasional (BN) Taman Berkeley di sini, semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Perdana Menteri, Biro Tatanegara Selangor, Gerakan Bahagian Klang dan Penyelaras BN Parlimen Shah Alam.

Hadir sama, Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Negeri Selangor, Mohd. Zamri Kahar, wakil Gerakan Shah Alam, Teoh Chin Wan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Kamaruddin Ahmad.

Sementara itu, Mohd. Zamri ber kata, Zon Utara adalah zon pertama program tersebut dimulakan diikuti kayuhan oleh 15 peserta dari Zon Timur yang bermula di Rantau Pan jang, Kelantan pada 6 Disember lalu yang sedang menuju Lembah Klang.

Pada Sabtu ini, konvoi terbabit akan ke majlis sambutan tahun baru 2012 di I-City sempena Karnival Sayangi Selangor Shah Alam dan seorang wakil mereka akan menyerahkan Buku Jejak Perpaduan kepada Perdana Menteri.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan