Utusan Online - Utara |
- Blueprint Pelancongan Langkawi
- Ziarah Kasih Puteri UMNO dekati peniaga
- TMP 2012: Momentum kehadiran pelancong mula terasa
Blueprint Pelancongan Langkawi Posted: Blueprint Pelancongan LangkawiOleh ZARINA MD. HASHIM LANGKAWI 23 Dis. - Penduduk pulau ini khususnya para pemimpin masyarakat akan didedahkan dengan pelaksanaan Blueprint Pelancongan Langkawi 2011-2015 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Disember lalu. Ketua Pegawai Operasi (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli berkata, pihaknya akan memperjelaskan kepada penduduk terbabit dalam beberapa siri perjumpaan yang dijadual diadakan mulai minggu depan. "Blueprint Pelancongan Langkawi ini memerlukan sokongan dan kerjasama daripada penduduk. Jadi kita sudah mengenal pasti lebih 200 ketua masyarakat yang akan dilibatkan dalam program turun padang ini yang dirancang bermula minggu depan," katanya kepada pemberita pada program ramah mesra media di sini semalam. Perdana Menteri baru-baru ini melancarkan Blueprint Pelancongan Langkawi yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun untuk meletakkan nama pulau peranginan itu sebaris dengan pulau terkemuka dunia. Menerusi pelan tindakan rangka kerja terperinci itu, kedudukan dan potensi Langkawi diberi nafas baru bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan pulau legenda berkenaan antara 10 pulau dan destinasi ekopelancongan terbaik dunia menjelang 2015. Khalid berkata, penduduk pulau berkenaan akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil supaya penerangan, perbincangan dan penjelasan dapat dilakukan dengan lebih mudah dan berkesan. Menurut beliau, program penerangan itu amat penting sebelum Blueprint Pelancongan Langkawi tersebut dilaksanakan kerana ia bukan sahaja membabitkan pelancong tetapi juga penduduk tempatan. "Selain perlu faham tentang blueprint pelancongan, penduduk juga perlu dijelaskan tentang kerjasama yang diperlukan untuk membolehkan mereka bergerak bersama-sama kerajaan dalam menjayakan Bleuprint Pelancongan yang akan membawa perubahan kepada Langkawi," katanya. |
Ziarah Kasih Puteri UMNO dekati peniaga Posted: Ziarah Kasih Puteri UMNO dekati peniagaSHAHANIM Mohd. Yusof (tengah) menyampaikan apron kepada seorang peniaga pada program Ziarah Kasih Puteri UMNO di Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah kelmarin. SUNGAI PETANI 23 Dis. - Lebih 300 peniaga di sekitar Parlimen Sungai Petani menerima kalendar 2012 dan apron sumbangan Pergerakan Puteri UMNO melalui program Ziarah Kasih, semalam. Melalui program tersebut, para peniaga yang kebanyakannya pengusaha kedai makan dan menjual buah turut menerima sumbangan berdasarkan keperluan mereka seperti peralatan bantuan memasak dan wang tunai. Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusof berkata, program berkenaan merupakan aktiviti berterusan yang dilakukan oleh pihaknya bagi tujuan mengurangkan beban para peniaga yang turut terjejas akibat peningkatan kos bahan mentah. "Ramai menganggap golongan peniaga tidak menghadapi masalah kerana meraih pendapatan atau tunai secara harian. Namun, kita berpendapat, ada segelintir peniaga menghadapi kesulitan malah tidak kurang juga terpaksa meminjam wang daripada ah long untuk menguruskan kedai. "Oleh itu, menerusi program sebegini, kita dapat mendengar masalah yang dihadapi peniaga untuk dibawa kepada pengetahuan pihak berkuasa serta berusaha mengatasinya," kata beliau kepada pemberita di Sungai Pasir, dekat sini. Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi, kementerian dan sektor swasta untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi para peniaga. Beliau berkata, antara masalah itu adalah berhubung pinjaman mudah perniagaan, bantuan peralatan dan khidmat nasihat agar peniaga boleh menjalankan kegiatan mereka dengan lebih berdaya saing. "Langkah yang diambil ini bertujuan membantu peniaga terbabit dan juga mendokong usaha meningkatkan taraf ekonomi di kalangan masyarakat khususnya bumiputera di negera ini," jelasnya. |
TMP 2012: Momentum kehadiran pelancong mula terasa Posted: TMP 2012: Momentum kehadiran pelancong mula terasaHamidah Osman (dua kiri) berbual dengan beberapa pengusaha hotel selepas majlis dialog bersama pengusaha hotel seluruh Perak di Ipoh, semalam. IPOH 23 Dis. - Momentum kehadiran pelancong ke negeri ini mula dirasai menjelang Tahun Melawat Perak (TMP) 2012 yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi. Exco Pelancongan negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, sehubungan itu, kerajaan kini giat melaksanakan program-program khusus untuk menarik pelancong dalam dan luar negara ke negeri ini. "Saya melihat sudah ada momentum kedatangan pelancong asing ke negeri ini dan trend itu dijangka meningkat pada tahun depan. "Namun, ada sesetengah daripada mereka merungut kerana tidak ada tempat untuk menikmati tarian tradisional," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha hotel dan agensi pelancongan negeri di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Ahmad Fathil Abd. Ghani. Hamidah berkata, pengusaha hotel di negeri ini digesa supaya mempersembahkan tarian tradisional dan kebudayaan di premis mereka khusus untuk tontonan pelancong asing sempena TMP 2012. Bagi merealisasikan hasrat tersebut katanya, Tourism Perak akan mengadakan pertemuan bersama pertubuhan kebudayaan bagi membincangkan cadangan berkenaan pada setiap hujung minggu. "Para pengusaha hotel perlu bijak menawarkan pakej bagi membawa pelancong ke Taman Budaya untuk menyaksikan persembahan tarian kebudayaan yang diadakan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan negeri sepanjang berlangsungnya TMP ini," jelasnya. Dalam pada itu, Hamidah berkata, bagi merancakkan TMP 2012, pihaknya akan bekerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagi mengadakan pertandingan dekorasi lobi tercantik yang akan menawarkan hadiah RM10,000 untuk tempat pertama. Beliau berkata, pertandingan yang bermula pada awal tahun depan itu memerlukan 35 pengusaha hotel yang berdaftar di bawah MAH, menghiasi ruangan lobi mereka bertemakan TMP 2012. "Kita akan memberi mereka masa selama tiga bulan dan selepas itu penilaian akan dijalankan. Tempat kedua akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 sementara RM5,000 pula bagi tempat ketiga," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan