Khamis, 29 Disember 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Peka keperluan rakyat

Posted:

Peka keperluan rakyat

Peka keperluan rakyat

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR 28 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyenaraikan beberapa pencapaian positif yang telah dicapai kerajaan sepanjang tahun ini dengan komitmen untuk terus mendengar serta peka terhadap keperluan rakyat.

Perdana Menteri berkata, atas keprihatinan terhadap komitmen itu, kerajaan telah melancarkan pelbagai program untuk rakyat seperti Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) bagi membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah mereka sendiri.

Jelasnya, dalam menangani isu inflasi dan kenaikan kos sara hidup pula, kerajaan mengumumkan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang baru dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) iaitu menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

"Isu kenaikan kos juga ditangani dengan pelancaran Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diikuti Menu Rakyat 1Malaysia. Menyedari keperluan untuk menggalakkan pembangunan generasi muda Malaysia, Dana Belia 1Malaysia telah dilancarkan bagi membiayai idea-idea dan projek golongan belia.

"Banyak lagi program yang telah diumumkan dalam Bajet 2012 yang tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah, kawasan luar bandar, belia dan perkhidmatan awam.

"Salah satu daripadanya ialah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), satu program bantuan kewangan untuk rakyat Malaysia yang tinggal dalam isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri berjudul 'Imbasan 2011' menerusi blognya, http://www.1malaysia.com.my.

Najib berkata, menerusi bidang ekonomi, mengikut laporan kemudahan menjalankan perniagaan 2011 oleh Bank Dunia, Malaysia telah tersenarai di kedudukan 20 teratas dan berkongsi kedudukan pertama di dunia dari segi kemudahan mendapatkan pinjaman perniagaan.

"Ini menunjukkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sudah mendatangkan hasil. Sewaktu pembentangan perkembangan ETP September lalu, sepanjang separuh pertama tahun ini, Malaysia telah menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga RM21.3 bilion.

"Menjelang ulang tahun pertamanya pada Oktober, ETP telah membantu Malaysia mencapai pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM228.55 bilion dan pelaburan komited bernilai RM171.21 bilion,'' ujarnya.

Bagi sektor hubungan antarabangsa pula, katanya, negara terus mengeratkan hubungan pasaran antarabangsa dan memperkukuh rangkaian perniagaan Malaysia untuk membantu memangkin program-program transformasi negara.

Secara peribadi, katanya, tahun ini beliau sendiri telah meneroka pelbagai cara untuk meningkatkan interaksi dengan rakyat melalui platform media sosial.

Januari lalu, jelasnya, orang ramai telah diundang untuk mengajukan soalan melalui Twitter dan Facebook miliknya yang menerima respons baik serta beberapa program seperti Mari Berjumpa, Mari Berhubung serta Meja Bulat 1Malaysia.

"Saya berjaya menjawab beberapa soalan yang diajukan termasuk yang pelik-pelik. Tahun ini merupakan tahun yang sungguh berwarna-warni bagi saya dan saya perlu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

"Harapan saya agar rakyat akan terus bersama-sama dengan saya untuk mencatat lebih banyak lagi kemajuan positif pada tahun hadapan dalam semangat dan amalan 1Malaysia,'' tambahnya.

Full content generated by Get Full RSS.

MAIWP jawab tuduhan seleweng zakat

Posted:

MAIWP jawab tuduhan seleweng zakat

MAIWP jawab tuduhan seleweng zakat

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggunakan peruntukan khas geran kerajaan bagi menjelaskan kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom dan dua yang lain dalam kes membabitkan pertikaian di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Muhammad Yamin Ismail berkata, pihaknya mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi tujuan pembayaran yuran guaman.

"Sejak 1993, peruntukan khas itu telah diwujudkan dan tahun ini peruntukan yang diterima ialah sebanyak RM11 juta termasuk RM700,000 pada tahun sebelumnya.

"Apa yang boleh disimpulkan, keghairahan sesetengah pihak untuk menyalahgunakan proses mahkamah terhadap penjawat awam telah mengakibatkan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan kerenah mereka yang tidak berkesudahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan tiga responden seperti dilaporkan oleh akhbar pembangkang iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.

Laporan itu mengatakan, Laporan Audit Negara mengesahkan sebanyak RM63,650 telah dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.

Turut disebut berhubung isu Che Mat yang telah meluluskan bayaran interim berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 iaitu daripada peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Menurut Muhammad Yamin, ketiga-tiga responden berkenaan adalah di bawah seliaan MAIWP sebagai penjawat awam bagi hal ehwal Islam, bukannya atas kapasiti peribadi mereka.

"Adalah menjadi kewajipan kami sebagai pihak berkuasa agama Islam untuk menanggung kos pembelaan bagi sebarang tindakan guaman terhadap mereka bertiga.

"Tohmahan yang dihadapi oleh ketiga-tiga responden ketika ini telah membawa kepada banyak pertikaian di mahkamah.

"Oleh demikian, ia mengakibatkan penggunaan wang rakyat yang sepatutnya disalurkan kepada kepentingan umat Islam," jelas beliau.

Full content generated by Get Full RSS.

Pusat Berita Bersepadu

Posted:

Pusat Berita Bersepadu

Pusat Berita Bersepadu

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Kerajaan mahu menjadikan Pusat Berita Bersepadu Angkasapuri di Bukit Putra di sini sebagai ikon pembangunan penyiaran negara pada masa akan datang.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berharap pusat tersebut yang dibina dengan kos RM100 juta itu akan menjadi contoh kepada negara luar yang menunjukkan bagaimana sebuah negara membangun boleh mewujudkan infrastruktur dan prasarana canggih.

"RTM tidak boleh lagi bersandar kepada cara lama, sebaliknya perlu bersikap menonjol dan berdaya saing untuk membentuk penjenamaan produk pemberitaan berkualiti dan terkini.

"Kita melihat perkara ini harus ditingkatkan sejajar dengan generasi baru dalam bidang tersebut di samping mewujudkan pekerja yang lebih produktif,'' katanya selepas melawat tapak projek bangunan berkenaan di sini, hari ini.

Rais berkata, bangunan penyiaran setinggi lima tingkat yang pembinaannya dimulakan pada 28 Januari 2009 itu kini telah 94 peratus siap dan enam peratus lagi dijangka siap sepenuhnya menjelang 21 Januari tahun depan.

Menurut beliau, pusat tersebut akan dijadikan pusat penyampaian berita dan hal ehwal semasa RTM di samping berfungsi sebagai pusat arkib dan pentadbiran bagi kakitangan RTM.

"Saya berharap tiga bulan dari sekarang RTM akan memulakan operasi secara keseluruhan di bangunan baru itu, justeru pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat bersungguh-sungguh menepati sasaran tersebut.

"Ada kalanya dengan suasana baru, ditambah dengan penjenamaan RTM ia dapat menyemarakkan lagi semangat produktif dalam kalangan pekerja dan seterusnya mencetuskan idea-idea baru sesuai dengan kehendak pasaran,'' ujarnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan