Jumaat, 30 Disember 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Jangan seret rakyat ke jalanan

Posted:

Jangan seret rakyat ke jalanan

Jangan seret rakyat ke jalanan

Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my


Suasana keganasan seperti peristiwa demonstrasi penyokong Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur pada tahun 1998 tidak patut berulang kembali. - Gambar hiasan


TINDAKAN pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melancarkan kempen Bebas Anwar 901 boleh dianggap satu perbuatan melampau.

Adalah jelas matlamat utama tindakan berkenaan ialah untuk menyeret rakyat sekali lagi terutamanya golongan mahasiswa yang masih mentah soal politik turun ke jalanan mengadakan demonstrasi pada 9 Januari ini.

Sememangnya tarikh berkenaan dianggap penting bagi puak pembangkang kerana ia penentu nasib kepada perjalanan kehidupan pemimpin sanjungan mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penasihat PKR itu akan mengetahui nasibnya sama ada akan dibebaskan atau dihukum atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

PKR sengaja melancarkan kempen tersebut bagi memberi gambaran kononnya Anwar teraniaya dan dianiaya, oleh itu beliau perlu dibela.

Kita tidak perlu berhujah sama ada tindakan PKR itu wajar atau tidak kerana mereka tidak akan mempedulikan semua itu, apa yang ada dalam benak fikiran mereka ialah mencetuskan demonstrasi biar pun ia akan berakhir dengan huru-hara.

Adalah sesuatu yang malang apabila ketenteraman ibu negara akan digugat lagi oleh kelompok berkenaan, sebelum ini warga kota sudah cukup rimas apabila pada 9 Julai lalu, PKR juga turun ke jalanan menyertai perhimpunan haram Bersih.

Jelaslah, demonstrasi jalanan tidak dapat dipisahkan dengan kewujudan PKR sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999 iaitu setahun selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan parti UMNO.

Pada 9 Januari ini, mereka merancang lagi untuk mengadakan demonstrasi, puak- puak ini seolah-olah tidak pernah faham erti menghormati undang-undang dan menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk membuat keputusan.

Kenapakah perlu mengadakan demonstrasi? Bukankah Anwar telah diberi peluang membela diri dengan barisan peguam yang hebat-hebat belaka? Sepatutnya mereka menyerahkan kepada mahkamah sepenuhnya untuk mempertimbangkan segala hujah dan bukti yang dibentangkan.

Apa yang mengecewakan ialah sudah ada ura-ura pembangkang akan memperalatkan kelompok mahasiswa tertentu yang sememangnya bersedia menjadi 'perkakas' kepada mereka.

Golongan mahasiswa ini dikatakan akan bergabung pula dengan sekelompok penyokong pembangkang yang minda dan mata mereka sudah ditutup untuk melihat kebenaran.

Kesemua mereka akan turun beramai-ramai ke jalanan dan memungkinkan huru-hara tercetus yang sekali gus akan menggugat kehidupan rakyat lain.

Atas sebab itulah, perancangan melalui kempen Bebas Anwar 901 ini tidak harus dibiarkan. Tindakan tegas perlu diambil oleh pihak berkuasa bermula daripada sekarang bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku pada 9 Januari ini.

Kita percaya kempen berkenaan bermotif politik dan sama sekali tiada kaitan dengan soal menegakkan keadilan. Kalau hendak bercakap soal keadilan Anwar sudah pun mendapat keadilan apabila beliau dibicarakan secara adil di mahkamah terbuka.

Justeru serah sahaja kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan bukannya awal-awal lagi merancang sesuatu tindakan yang dianggap tidak bertamadun serta tidak bersesuaian dengan budaya rakyat negara ini.

Mungkin sudah menjadi tabiat pembangkang, kalau keputusan mahkamah menyebelahi mereka, maka keputusan itu akan dianggap adil tetapi kalau sebaliknya, mereka akan menuduh mahkamah dikuasai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pembangkang tidak boleh marah jika ada pihak yang akan beranggapan bahawa isu Anwar sengaja dimainkan dengan tujuan untuk menutupi pelbagai kemelut yang melanda pakatan tersebut sekarang.

Melalui cara ini mereka berharap rakyat akan melupakan kelemahan mereka dan menumpukan perhatian kepada nasib Anwar.

Apa pun kita tidak mahu melihat Kuala Lumpur huru-hara lagi hanya kerana tindakan sekelompok manusia mahu mempertahankan pemimpin mereka yang berhadapan dengan dakwaan berkaitan moral.

Adalah tidak wajar ketenteraman mahu digugat semata-mata hendak memperjuangkan nasib seorang pemimpin sahaja.

Sebab itulah kita mahu pihak universiti bertindak tegas kepada mana-mana mahasiswa mereka yang terlibat dalam demonstrasi ini.

Golongan mahasiswa yang menyokong demonstrasi jalanan boleh dianggap 'virus' atau 'barah' yang boleh merosakkan masa depan negara. Mereka ini tidak layak digelar mahasiswa.

Penglibatan dalam demonstrasi yang jika berlaku pada 9 Januari ini sudah jelas menunjukkan mereka tidak berminat untuk belajar, oleh itu tidak perlulah membuang peruntukan negara dengan membiarkan mereka terus berada dalam mana-mana institusi pengajian tinggi milik kerajaan.

Selain itu, turut menjadi perhatian kita apakah Pas akan mengerahkan penyokong-penyokongnya turut serta terlibat dalam kempen Bebas Anwar 901 ini?

Buat masa ini penulis difahamkan di dalam Pas berbelah bahagi sama ada hendak terlibat atau tidak, ada antara mereka beranggapan biarlah mahkamah memutuskan nasib Anwar manakala ada pula menyatakan perlu turut serta bagi menunjukkan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.

Tetapi apa yang pasti Pas perlu memikirkan dengan semasak-masaknya dalam soal kempen ini kerana tersilap langkah parti itu akan rugi lagi.

Sudahlah selama ini, sepanjang berada dalam pembangkang mereka dilihat sentiasa rugi apabila terpaksa mengorbankan segala-galanya untuk menjaga hubungan dengan PKR dan DAP, takkanlah dalam kes dakwaan liwat ke atas Anwar pun mereka bersedia diperalatkan?

Tidak kiralah apa pun keadaannya, yang pasti kempen Bebas Anwar 901 adalah tindakan politik, kelompok yang sudah 'muflis' dalam mencari idea untuk meraih sokongan rakyat.

Justeru kepada rakyat keseluruhan, janganlah terpedaya dengan mainan politik ini, sebaliknya tanam keazaman untuk menjadi tirai 2012 yang akan bermula esok, sebagai kelompok yang bijak menilai antara realiti dan sandiwara, antara kebenaran dan kebatilan.

Ia kerana kesudahannya, realiti akan kekal, sandiwara akan berakhir manakala kebenaran pasti mengalahkan kebatilan.

Full content generated by Get Full RSS.

Mengharap 2012 lebih baik daripada 2008, 2009, 2010 dan 2011

Posted:

Mengharap 2012 lebih baik daripada 2008, 2009, 2010 dan 2011

Mengharap 2012 lebih baik daripada 2008, 2009, 2010 dan 2011

HARI ini adalah hari terakhir dalam kalendar 2011. Banyak orang mahu meninggalkan kenangan tahun 2011 dan berazam untuk membuka lembaran baru 2012.

Malam ini akan ada pelbagai bentuk sambutan di tempat tumpuan umum bagi meraikan kedatangan tahun baru 2012.

Bagi saya baik 31 Disember atau 1 Januari, apa yang akan kita harungi adalah sama sahaja - tidak ada banyak bezanya. Kita tetap akan mengharungi tempoh masa 24 jam sehari.

Dalam sepanjang tempoh itu, sama dengan hari-hari sebelum 1 Januari - kita akan bangun tidur, solat, sarapan, buat urusan kerja atau peribadi, makan, bertemu keluarga atau rakan, bersiar-siar atau beriadah, dan kembali ke kamar untuk tidur semula. Begitulah juga rutin keesokannya hampir sama sahaja.

Apa pun, kita mengalu-alukan kedatangan tahun baru 2012. Apa yang telah kita lalui selama empat tahun kebelakangan ini diharap dapat dijadikan teladan dan cabaran. 2012 diharap tampilkan perubahan.

Sepanjang tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011 banyak menguji kesabaran dan sikap tolak ansur rakyat berbilang kaum negara ini. Banyak yang memendam perasaan.

Dalam aspek ekonomi di tahun baru ini, rata-rata rakyat akan menghitung satu persatu masalah berikutan kemelut ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat yang dijangka memberi kesan kepada Malaysia.

Ini meliputi soal dasar seperti perancangan dan strategi kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi global hinggalah kepada harga barang serta inflasi yang dikhuatiri boleh menghimpit kehidupan kita.

Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku dalam tahun 2012 tetapi ia tetap akan memberi ujian yang cukup besar. Jadi, segala-galanya memerlukan pengorbanan, iltizam dan semangat muafakat yang cukup kuat daripada semua pihak termasuk rakyat berbilang kaum.

Pada tahun 2008, kedudukan ekonomi dunia sudah menunjukkan kesan tsunaminya kepada politik dan sosial negara kita. Lanjutan itu kedudukan agama Islam, hak-hak istimewa Melayu, Institusi Raja- Raja Melayu, bahasa kebangsaan mula dipersoalkan. Ia tidak terhenti walaupun sudah diberi amaran keras oleh pihak berkuasa dan Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Ekonomi, politik dan agama memang menjadi faktor duri dalam daging yang boleh mencetuskan ketidakstabilan negara majmuk kita ini.

Suasana perpaduan nasional dilihat hari demi hari cuba diganggu gugat oleh individu yang tidak sedar diri akan nikmat kemerdekaan negara kita ini.

Sudah empat tahun berlalu, begitu ketara gerakan provokasi untuk menggugat sensitiviti agama dengan niat supaya pihak satu lagi bangkit membalas tindakan itu sehingga tercetus ketegangan.

Provokasi seperti ini perlu dibendung secara tegas sebelum ia menular menjadi konflik hingga menghancurkan segala nikmat kebaikan yang kita kecapi selama ini.

Ingatlah pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa "segala yang kita capai, bina dan hargai boleh hancur berkecai serta musnah dalam sekelip mata jika masyarakat dirosakkan dengan budaya jumud dan melampau menerusi isu perkauman serta agama".

Kita bertuah mendapat pemimpin kerajaan yang sentiasa memikirkan rancangan untuk memajukan dan memakmurkan negara ini, malah masalah kebajikan dan perpaduan rakyat juga tidak lepas daripada perhatian beliau.

Apakah tahun 2012, isu perkauman dan agama akan terus mewarnai politik negara kita? Rakyat terutama pengundi rasanya sudah tidak sabar membuat perhitungan dalam pilihan raya umum untuk memberikan mandat kepada parti yang diyakini dapat memulihkan semula suasana harmoni negara.

Alangkah eloknya jika suasana politik, ekonomi dan sosial kita berada dalam keadaan aman dan makmur - tanpa hiruk-pikuk satu demi satu kegawatan politik.

Sebelum 2008, kita dapat rasai bagaimana kestabilan politik dan ekonomi telah membawa rakyat berasa gembira kerana mereka dapat menikmati hidup dengan aman dan sejahtera.

Pengalaman pada tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011 banyak memberi pengajaran kepada kita semua. Oleh itu, tahun baru 2012 ini adalah harapan kita untuk melihat perubahan lebih baik berlaku demi kemajuan dan kemakmuran hidup kita semua.

Selain takdir Tuhan, kita juga boleh menentukannya berlaku.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan