Utusan Online - Muka Hadapan |
- Peneroka dapat 'durian runtuh'
- Khir Toyo rayu hukuman
- Kemelut selesai, tarikh akhir terima opsyen SBPA dilanjut
Peneroka dapat 'durian runtuh' Posted: Peneroka dapat 'durian runtuh'Oleh ZULKIFLI JALIL PUTRAJAYA 23 Dis. - Felda akan membayar bonus insentif produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM102,584,000 pada akhir bulan ini. Mengumumkan demikian dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar bayaran bonus itu adalah antara RM400 dan RM1,200 yang sama seperti tahun lepas bergantung kepada penghantaran hasil. Menurut beliau, pembayaran bonus itu melibatkan seramai 95,949 atau 85.19 peratus daripada 112,635 peneroka sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda. "Bayaran bonus insentif produktiviti 2011 ini akan dibayar di pejabat rancangan. Kerajaan harap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih lagi bagi meningkatkan produktiviti masìng-masing. "Saya juga ingin menyeru semua warga peneroka agar menyertai program bersama Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut untuk meningkatkan paras pendapatan peneroka melalui bimbingan dan khidmat nasihat yang disediakan," kata beliau. Perdana Menteri berkata, peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari 2011 hingga Oktober 2011. Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar, manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 19.00 tan/hektar ke atas. "Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01 kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kg/hektar. "Bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 32,865 orang iaitu terdiri daripada 27,069 peneroka sawit dan 5,796 peneroka getah. Seramai 60,584 peneroka menanam semula bersama Felda dan kesemuanya menerima bonus maksimum RM1,200 peneroka seperti tahun lalu," kata beliau. Menurut Najib, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula. Ini, kata beliau, termasuk kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan. Kata Perdana Menteri: "Turut terlibat dalam kategori ini adalah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain. Kira-kira 2,500 peneroka terlibat dan kadar bayaran adalah RM400 seorang." Menurut beliau, seramai 16,686 peneroka atau 14.81 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan. Selain itu, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak akan dibayar bonus insentif itu. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Khir Toyo rayu hukumanOleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
SHAH ALAM 23 Dis. - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara setahun bagi kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zaharah Kechik dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta. Notis rayuan difailkan oleh peguamnya, M.M. Athimulan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.30 petang, kira-kira empat jam selepas hukuman penjara itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki. ''Ini bukan proses penghakiman terakhir buat saya kerana saya akan merayu mengenai keputusan ini kepada mahkamah yang lebih tinggi,'' katanya semasa ditanya oleh pemberita di luar mahkamah sebaik sahaja prosiding kesnya selesai. Berhubung masa depan politiknya, Mohamad Khir berkata, beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut selepas 9 Januari tahun depan tetapi enggan mengulas lanjut mengapa tarikh tersebut yang dipilih. Terdahulu, selain hukuman penjara terhadap Mohamad Khir yang disabit bersalah atas tuduhan itu, Hakim Mohtarudin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut mengarahkan hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia. Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan perintah pelucutan hak itu sehingga rayuan Mohamad Khir selesai didengar serta diputuskan. Mohamad Khir yang dilihat tunduk sepanjang prosiding ditenangkan oleh Zaharah yang bertindak menggosok-gosok bahu suaminya itu sebaik sahaja sabitan dan hukuman diputuskan. Hakim Mohtarudin semasa membacakan penghakimannya berkata, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga intipati dalam pertuduhan itu. Beliau menerima keterangan Pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Hayroni yang membeli hartanah untuk dijual semula kepada Mohamad Khir serta tidak pernah bersetuju dengan harga RM3.5 juta sebaliknya menawarkan harga antara RM5 dan RM5.5 juta. Menurutnya, Shamsuddin turut dibuktikan mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat yang ada kaitan dengan urusan rasmi Mohamad Khir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berdasarkan tiga dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah. Begitu juga intipati pertuduhan bahawa Mohamad Khir mempunyai pengetahuan bahawa hartanah tersebut dibeli oleh Shamsuddin dengan harga RM6.5 juta pada tahun 2004 berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang konsisten serta menyokong antara satu sama lain. Hakim Mohtarudin mendapati penjelasan Shamsuddin adalah logik dan boleh diterima bahawa beliau bersetuju menjadi saksi pendakwaan selepas pertuduhan terhadapnya ditarik balik kerana hilang keyakinan terhadap janji tiada pertuduhan terhadapnya oleh Mohamad Khir. ''Apabila kepentingan awam dan kepentingan individu bertembung, kepentingan awam perlu diberi keutamaan. Fakta menunjukkan tertuduh merancang untuk memiliki hartanah itu. Tertuduh telah menyalahgunakan jawatannya sebagai eksekutif tertinggi dalam negeri. ''Dalam kes ini, denda tidak sesuai. Hukuman penjara terhadap seorang yang memegang jawatan eksekutif tertinggi perlu diberi penekanan,'' katanya. Ketika diberi peluang merayu, Athimulan memohon hukuman ringan iaitu hanya dikenakan denda dengan alasan transaksi dilakukan dengan kerelaan kedua-dua pihak selain ia tidak memberi kemudaratan kepada masyarakat awam. Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud pula berhujah balas bahawa hukuman denda terhadap seseorang yang mampu membayar dengan senang hati menyebabkan matlamat hukuman itu tidak tercapai. Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini daripada Ditamas melalui Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta. Sedangkan hartanah tersebut dibeli oleh syarikat terbabit pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu. Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007. Selain Masri, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed dan Mohd. Dusuki Mokhtar sementara Mohamad Khir turut diwakili oleh peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos serta Kamarul Hisham Kamaruddin. Sementara itu, keadaan di luar mahkamah bertukar sayu di kalangan hampir 50 penyokong Mohamad Khir yang setia menunggu sejak pukul 8 pagi sehingga prosiding itu selesai kira-kira pukul 12.30 tengah hari. Sebahagian mereka dilihat berpelukan serta ada yang mengalirkan air mata sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Kemelut selesai, tarikh akhir terima opsyen SBPA dilanjut Posted: Kemelut selesai, tarikh akhir terima opsyen SBPA dilanjutPUTRAJAYA 23 Dis. – Kemelut mengenai pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akhirnya selesai dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) diberi hak berunding dalam isu berbangkit serta menjadi pemerhati dalam pelaksanaan dasar pemisah atau 'exit policy'. Perbincangan lebih tiga jam antara CUEPACS dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membawa hasil positif apabila masing-masing bersetuju supaya tarikh akhir untuk menerima opsyen SBPA dilanjutkan ke 15 Januari 2012, manakala tarikh akhir untuk penerimaan opsyen umur persaraan 60 tahun dikekalkan pada 30 Disember ini. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA pada masa yang sama turut bersetuju supaya perkara-perkara mengenai pelaksanaan SBPA dirundingkan setiap tiga bulan sehingga hal-hal yang berbangkit dapat diselaraskan secara bersama. "Mengenai penambahbaikan gred yang tertinggal dalam SBPA, semua gred 17 dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) akan dibuat semakan semula dalam tempoh tiga bulan. CUEPACS berharap akan mendapat gambaran lebih lanjut mengenai perkara ini pada rundingan seterusnya. "Pada masa sama, satu taklimat yang teliti mengenai kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus akan dibuat antara ahli majlis kongres bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah pada minggu depan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengarahkan rundingan dijalankan hari ini antara JPA dan CUEPACS bagi menentukan sama ada pelaksanaan SBPA akan ditangguhkan atau tarikh mengembalikan borang opsyen dilanjutkan. Dalam pada itu, isu dasar pemisah yang menjadi kebimbangan penjawat awam turut diselesaikan pada hari ini apabila wakil CUEPACS dibenarkan menjadi pemerhati dalam panel pelaksanaan dasar tersebut. Omar berkata, CUEPACS melihat dasar pemisah itu dari sudut yang positif kerana ia dapat mengelakkan masalah kewujudan penjawat awam yang tidak produktif. "Wakil CUEPACS boleh memberi pandangan sebelum seseorang itu dikeluarkan dari jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan atau badan berkanun. Ini bagi mengelakkan terdapat penjawat awam yang teraniaya. "Jabatan dan agensi di mana penjawat awam berkenaan berkhidmat juga tidak dibenarkan untuk mengambil tindakan memberhentikan seseorang penjawat awam di bawah dasar pemisah, keputusan itu mesti dibuat oleh JPA dengan kehadiran wakil CUEPACS," katanya. Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Dr. Ismail Alias berkata, JPA dan CUEPACS secara keseluruhannya bersepakat untuk melaksanakan SBPA . "Kita telah menyelesaikan semua isu. JPA amat gembira dan menghargai pandangan dan keputusan daripada pihak CUEPACS," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan