Utusan Online - Selatan |
- Restoran curi air diserbu
- Melaka sesak sempena cuti umum
- Penduduk rayu turap jalan Kg. Parit Pendekar
Posted: Restoran curi air diserbuOleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR Kakitangan Sains memotong saluran paip air haram yang dipercayai dicuri dalam operasi di sebuah restoran di Seremban, baru-baru ini. SEREMBAN 25 Dis. - Seorang pengusaha restoran terkedu apabila premisnya diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) selepas didapati menjalankan kegiatan mencuri air melalui penyambungan haram dalam operasi di sekitar bandar ini baru-baru ini. Serbuan terhadap premis tiga tingkat itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kira-kira pukul 11 pagi. Pengurus Khidmat Pelanggan & Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, operasi tersebut diadakan hasil daripada maklumat orang awam dan risikan pihaknya. ''Ketika serbuan, kami mendapati terdapat beberapa penyambungan secara tidak sah dilakukan di premis terbabit menggunakan paip mudah lentur bersaiz 12 milimeter (mm). ''Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis terbabit telah menjalankan penyambungan haram untuk kegunaan restoran di tingkat bawah, stor di tingkat satu dan tempat tinggal pekerja di tingkat dua," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Jelas Azlan, pihaknya bertindak menyita paip berkenaan untuk dijadikan bahan bukti dan hasil ujian klorin turut mendapati bekalan air yang digunakan merupakan air terawat milik Sains. ''Berikutan itu, Ketua Operasi dari Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Pengaduan dan Penguatkuasaan SPAN, Mohadir Hid mengeluarkan tiga notis makluman kesalahan terhadap pemilik premis," ujarnya. Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 123 (1) dan Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006. ''Jika disabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan denda yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123 (1) sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. ''Denda di bawah Seksyen 89 (9) pula adalah sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,'' tegasnya. Full content generated by Get Full RSS. |
Melaka sesak sempena cuti umum Posted: Melaka sesak sempena cuti umumPENGUNJUNG sesak beratur menaiki tram untuk melawat kawasan sekitar Zoo Melaka sempena cuti Krismas dan musim cuti sekolah di Ayer Keroh, Melaka, semalam. MELAKA 25 Dis - Cuti umum sempena sambutan Hari Krismas hari ini memberi kesempatan kepada orang ramai termasuk pelancong dari luar negara mengunjungi beberapa tempat menarik di sekitar bandar raya ini. Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati, beberapa tempat menjadi tumpuan pelancong khususnya di Bandar Hilir yang menempatkan pelbagai produk pelancongan. Tempat yang menjadi tumpuan ialah Kota A'Famosa, bangunan Stadthuys, kapal Flor De Lamar, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, kuil Hoong Teng, kampung Morten, makam Hang Tuah, makam Hang Jebat dan Jonker Walk. Turut menjadi tumpuan ialah Menara Taming Sari, bot Melaka River Cruise, Zoo Melaka, Taman Botanikal, beca, Duck Tours, Taman Tema Melaka Wonderland dan Pulau Besar. Kebanjiran orang ramai di bandar raya ini bermula sejak Jumaat lalu hingga menyebabkan kesesakan teruk berlaku di Plaza Tol Ayer Keroh dan Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah. Keadaan paling teruk berlaku semalam di Plaza Tol Ayer Keroh apabila kenderaan bersesak-sesak sepanjang 4 kilometer di laluan masuk ke bandar raya ini. Berikutan itu, aliran trafik menuju ke bandar raya ini berlaku kesesakan teruk sejak dari petang semalam hingga ke malam khususnya di sekitar Banda Hilir terutama di Dataran Pahlawan. Turut sesak ialah perkampungan Portugis di Ujong Pasir apabila masyarakat beragama Kristian menyambut Krismas dengan pelbagai aktiviti dan pertunjukkan bunga api. Berikutan kehadiran orang ramai yang luar biasa itu menyebabkan semua hotel bertaraf lima bintang hingga ke hotel bajet habis di tempah. Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri, Abd. Kadir Md. Idris berkata, hampir kesemua hotel di sekitar bandar raya ini habis di tempah sejak awal hingga hujung bulan ini. ''Walaupun ada hotel-hotel baru dibuka tetapi malangnya ia tidak mencukupi untuk menampung kebanjiran orang ramai ke negeri ini," ujarnya. Menurut beliau, selain hotel, turut habis ditempah ialah inap desa. Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang ingin datang ke negeri ini untuk membuat tempahan hotel dua atau tiba bulan lebih awal. Full content generated by Get Full RSS. |
Penduduk rayu turap jalan Kg. Parit Pendekar Posted: Penduduk rayu turap jalan Kg. Parit PendekarJalan utama ke Kampung Parit Pendekar Sg. Rambai masih belum dinaik taraf. JASIN 25 Dis. _ Kira-kira 70 keluarga di Kampung Parit Pendekar, Sungai Rambai, dekat sini, merayu agar projek menaik taraf jalan sepanjang 200 meter di kampung itu yang dipohon sejak setahun lalu segera dilaksanakan. Penduduk mendakwa mereka sudah tidak sanggup lagi meredah laluan tanah merah yang tidak rata dan berkerikil setiap hari untuk keluar masuk ke jalan utama ditambah dengan keadaan jalan berhabuk ketika cuaca panas dan laluan bertukar becak pula apabila musim hujan. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan tersebut bukan dilalui penunggang motosikal malah kenderaan lain seperti kereta dan lori tiga tan untuk ke jalan utama Sungai Rambai. Seorang penduduk, Idris Md. Yusoh, 43, berkata, laluan tanah merah di situ yang tidak rata menyebabkan berlaku kemalangan sehingga mencederakan penduduk kampung. Katanya, penduduk terpaksa bergantung kepada laluan di situ memandangkan ia satu-satunya jalan penghubung untuk ke jalan utama selain digunakan penduduk untuk ke Surau Parit Pendekar dan Madrasah Al-Amaniah. ''Sebelum ini, pihak berkuasa ada memaklumkan bahawa jalan ini akan dinaik taraf Jun lalu dan kemudiannya pula September lalu namun sehingga kini, masalah tetap sama berlaku," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Kata Idris, masalah tersebut lebih ketara berlaku sewaktu musim perayaan apabila lebih banyak kenderaan memasuki laluan tersebut untuk menziarahi keluarga mereka di kampung itu. Bagi Marul Md. Sah, 27, selain keadaan jalan yang tidak rata, laluan itu juga amat gelap pada waktu malam ekoran kedudukannya yang dikelilingi hutan dan semak samun selain ketiadaan lampu jalan. ''Pada awal pagi, wanita dan kanak-kanak sering melalui laluan ini untuk ke sekolah dan tempat kerja dan keadaan ketika itu amat gelap. ''Oleh kerana terpaksa juga melalui jalan di situ, mereka terpaksa meredah sahaja jalan walaupun sedar risiko keselamatan mereka,'' katanya sambil mendakwa pernah bertembung dengan ular dan biawak dari hutan berhampiran. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan