Utusan Online - Dalam Negeri |
Posted: Tiada telur tiruan di pasaranOleh NAZMIL NASIRUDDIN
PUTRAJAYA 11 April – Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengesahkan sejumlah telur yang dirampas di Pulau Tikus, Pulau Pinang minggu lalu adalah tulen dan bukannya telur tiruan. Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, hasil pemeriksaan dan penelitian fizikal ke atas telur tersebut membuktikan ia tidak mempunyai ciri-ciri telur tiruan. Beliau menjelaskan, telur itu adalah tulen tetapi berdasarkan 'keganjilan' pada fizikalnya yang besar, ia tidak sepatutnya dijual di negara ini. "Mengikut kajian kita, apa yang ditakrifkan sebagai telur tiruan seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) adalah telur itu luar biasa dari segi saiz kerana lebih besar dan tidak mempunyai bentuk bulat telur. "Bagaimanapun, ujian kita mendapati kulit dan isi kandungannya tidak mempunyai banyak perbezaan kerana ia memang tulen dan isu mengenai kewujudan telur tiruan adalah tidak benar. "Rakyat tidak perlu bimbang kerana situasi terkawal dan dalam pengawasan serta tindakan pihak kerajaan," katanya pada sidang akhbar mengenai isu telur tiruan di ibu pejabat jabatan itu, di sini hari ini. Beliau mengulas mengenai pendedahan CAP berhubung penjualan telur ayam tiruan di pasar Pulau Tikus, baru-baru ini. Hadir sama, Perunding Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Dr. Abd. Rahman Md. Saleh. Abdul Aziz berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Kementerian Kesihatan turut melakukan ujian makmal berasingan ke atas telur tersebut bagi mengetahui kandungan dan kesahihan aduan tersebut. Sementara itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menjalankan kerjasama dengan FLFAM untuk mewajibkan pengusaha telur menjalankan sistem penggredan telur keluaran ladang masing-masing. "Ini adalah untuk membolehkan pengguna dapat mengetahui gred telur, tarikh dikutip dari ladang dan tarikh luputnya," katanya. Menurutnya, sehingga kini, FLFAM mempunyai 340 ladang bersaiz besar, sederhana dan kecil yang mampu mengeluarkan 23 juta biji telur setiap hari. Dalam pada itu, beliau berkata, mekanisme sistem penggredan itu perlu dilakukan secepat mungkin bagi memastikan sebuah standard piawaian baru mengenai telur tempatan dapat diwujudkan kerana ia penting untuk menjamin tahap keselamatan sesuatu produk makanan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Bukti forensik diterimaOleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA KUALA LUMPUR 11 April – Bahan bukti melalui keterangan forensik sama ada ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ketulenan video atau gambar dan cap jari masih boleh diterima pakai sebagai bukti sampingan bagi sesuatu kes di mahkamah syariah termasuk yang melibatkan kes zina. Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pembuktian melalui cara tersebut dikenali sebagai al-Qarinah yang bermaksud tanda dan ia merupakan sebahagian daripada konsep al-Bayyinah iaitu apa sahaja yang boleh menjelaskan dan menunjukkan kebenaran. "Seksyen 3, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Bayyinah sebagai keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. "Dari sudut pembuktian melalui konsep al-Bayyinah, al-Iqrar (pengakuan) merupakan bukti yang paling tinggi nilainya diikuti oleh al-Shahadah (kesaksian), al-Yamin (sumpah) dan al-Qarinah (tanda)," katanya di dalam blog http://musaawang.blogspot.com. Namun, kata Musa, kedudukan pembuktian melalui al-Qarinah tidak sama nilainya seperti al-Iqrar, al-Syahadah dan al-Yamin. "Ia boleh berfungsi untuk membantu pihak pendakwaan atau pembelaan sekurang-kurangnya di peringkat ghalabah al-zan atau melampaui alasan munasabah dalam kes takzir (tidak sampai ke tahap berzina)," katanya. Beliau berkata, Akta Keterangan Mahkamah Syariah mendefinisikan al-Qarinah sebagai keterangan keadaan (circumstantial evidence) dan fakta yang relevan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan yang termasuk dokumen-dokumen, fakta berkaitan satu sama lain, kenyataan pakar, alat audio dan visual, bukti forensik, kaedah saintifik seperti DNA dan cap jari. Katanya, pembuktian melalui al-Qarinah memerlukan bukti sampingan dan bukti lain untuk menyokong atau mensabitkannya. Mengulas mengenai isu sama ada boleh atau tidak seseorang disabitkan dengan kesalahan zina apabila pendakwa tidak dapat mengemukakan empat orang saksi seperti yang ditetapkan hukum syarak, Musa berkata: "Pada pandangan saya, beban pembuktian untuk mensabitkan kesalahan zina masih memerlukan beban bukti sama ada al-Iqrar atau as-Shahadah dengan empat orang saksi, meskipun hukumannya berupa hukuman takzir. "Perbuatan masih tetap zina, cuma hukuman sahaja bukan hukuman hudud sebagaimana ditetapkan Islam. Jika pendakwa tidak boleh membuktikan dengan cara al-iqrar atau as-Shahadah, maka si pelaku tidak boleh disabitkan dengan kesalahan zina," katanya. Bagaimanapun, si pelaku katanya, mungkin boleh disabitkan dengan kesalahan mukadimah zina atau persediaan melakukan zina ataupun khalwat yang mana hukumannya adalah takzir. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Pelanggan tergamam hidangan patin RM13,000 Posted: Pelanggan tergamam hidangan patin RM13,000
TEMERLOH 11 April — Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di sini terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000. Menurut seorang daripada kumpulan itu yang enggan namanya disiarkan, beliau membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung. "Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar," katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260. "Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur," katanya. Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh. Difahamkan, ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya. Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul. Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak. Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai. Katanya, mereka yang tidak mempamerkan tanda harga boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan