Utusan Online - Timur |
Posted: RM19 juta bekal air bersihOleh RAHANA MOHD DAHARI KOTA BHARU 11 April – Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kesihatan Negeri memperuntukkan RM19 juta tahun ini untuk membekalkan air bersih kepada rakyat terutama di luar bandar bagi mengelak penyakit bawaan air dan keracunan makanan yang mencatat peratus tertinggi di negeri ini. Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Mohd. Kamil Hassan, buat masa ini hanya 59 peratus sahaja rakyat yang mempunyai akaun dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) manakala selebihnya menggunakan air telaga yang terdedah dengan pelbagai sumber penyakit. "Menggunakan bekalan air daripada telaga yang digali sendiri atau air bawah tanah sering dikaitkan dengan penyakit termasuk bawaan air seperti demam kepialu dan taun. "Melalui peruntukan, jabatan ini menyambung paip-paip air daripada batang paip utama untuk disalurkan kepada rumah penduduk bagi mengatasi masalah mendapatkan bekalan air bersih," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Dialog Kesihatan Kelantan di Dewan Utama, Bahagian Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa di sini semalam. Mohd. Kamil menambah, tindakan orang ramai mencari sumber air dengan menggali telaga sendiri tanpa mengawal jarak tandas dan saluran pembetungan yang tidak sistematik menyebabkan penyakit berkaitan masih menular. "Jabatan kesihatan negeri masih mengendalikan penyakit-penyakit berkaitan seperti tifoid dan kolera iaitu jangkitan bakteria di dalam saluran darah dan saluran pencernaan. "Ditambah dengan tahap penjagaan kebersihan yang masih rendah di kalangan penduduk telah penyumbang peratus yang tinggi di negeri ini terutama kes melibatkan keracunan makanan," katanya. Tahun lalu katanya, sebanyak 2,193 kes keracunan makanan dilaporkan dan tertinggi dibandingkan negeri lain dan 50 peratus daripadanya berlaku di sekolah dan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan selebihnya di premis perniagaan seperti restoran dan gerai makanan. Mengatasi masalah tersebut katanya, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan program Pemeriksaan Sendiri Premis Makanan yang melibatkan warga sekolah iaitu kontraktor atau pengendali kantin melakukan kerja-kerja pengurusan dengan lebih teratur. "Guru di sekolah terbabit akan memeriksa sendiri tahap kebersihan yang kantin dan sekiranya wakil jabatan diperlukan, kami akan memberikan khidmat nasihat terutama teknik penyediaan makanan yang betul serta meningkatkan kesedaran orang ramai supaya membasuh tangan sebelum dan selepas makan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Dewan baru Bandar Marang diancam hakisan Posted: Dewan baru Bandar Marang diancam hakisan
MARANG 11 April - Walaupun hampir siap, pembinaan sebuah dewan dekat Bandar Marang menimbulkan reaksi kurang senang masyarakat sekitar. Kedudukan dewan itu yang dibina di atas tanah yang ditambun ke dalam lembah, sedikit sebanyak merisaukan penduduk berdekatan selain terletak berdekatan tepi jalan utama. Seorang peniaga kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Hasbullah berkata, kesan hakisan lereng lembah yang ditambun itu kelihatan semakin parah apabila ia hampir dengan dewan berkenaan. Katanya, benteng batu yang dibina tidak kukuh kerana ia terlalu rendah dan tidak mustahil hakisan itu boleh bertukar menjadi runtuhan lebih serius berikutan hujan lebat sejak akhir-akhir ini. "Takkan nak tengok kejadian tidak diingini berlaku baru tergesa-gesa mahu ambil tindakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Sementara itu, seorang kakitangan bank, Mohd. Zabidi Abdul Halim, 48, memberitahu, jika hakisan tersebut tidak ditangani, ia mungkin menyebabkan struktur bangunan yang hampir siap itu retak. Lebih membahayakan katanya, apabila dua batang pokok berhampiran tapak binaan itu turut mati dan berisiko berlaku hakisan teruk kerana fungsi akar pokok untuk menguatkan tanah sudah tidak wujud. "Walaupun ia tidak terletak berdekatan kawasan perumahan atau premis perniagaan, kegagalan untuk bertindak segera boleh mengundang bahaya kepada pekerja tapak binaan. "Diharapkan juga, pihak berkuasa tempatan memantau masalah ini kerana masyarakat tidak mahu lagi disajikan dengan cerita-cerita bangunan runtuh di negeri ini," katanya. | ||
Posted: Jadikan produk pelanconganOleh ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
PASIR MAS 11 April – Siulan seekor burung ketitir, mungkin satu kebiasaan bagi sesetengah orang. Namun, lain pula kepada penggemarnya yang menilai kehalusan seni di sebalik kemerduan suara burung itu, dianggap terlalu istimewa dan amat berharga. Barangkali, disebabkan 'aura' seni suaranya begitu abstrak, aktiviti membela burung ketitir yang suatu ketika dulu hanya popular di kalangan masyarakat petani, kini, menarik minat serta menjadi hobi kalangan korporat, jutawan, malah, golongan elit sehingga ada yang sanggup berbelanja besar sehingga ratusan ribu ringgit semata-mata untuk memperoleh seekor burung ketitir sebesar dua jari. Hobi menikmati suara burung ketitir tidak lenyap ditelan zaman, sebaliknya terus kekal untuk 'santapan' dari satu generasi ke satu generasi. Bahkan, perkembangannya dilihat agak meluas dan membanggakan rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang khususnya apabila seni suara burung ketitir menjadi satu 'permainan' yang turut melibatkan penggemar dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand. Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir ASEAN Kelantan 2011, yang diadakan sempena sambutan perayaan Jubli Perak Persatuan Seni Suara Burung Ketitir Negeri Kelantan bertempat di Lubuk Jong, dekat sini, baru-baru ini, jelas membuktikan perkembangan permainan atau pertandingan tersebut yang merentasi sempadan. Apa tidaknya, hampir 2,000 ekor burung ketitir melibatkan tidak kurang 400 peserta dari Singapura, Indonesia dan Thailand termasuk Malaysia menyertai pertandingan tersebut untuk menguji kemerduan suara haiwan itu. Difahamkan acara yang diadakan setiap tahun itu berjaya mencipta sejarah penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan lebih 30 tahun lalu sehingga membanggakan Penaung Persatuan Seni Suara Burung Ketitir Kelantan, Datuk Nik Ishak Nik Daud. Menurut beliau, sudah tiba masanya mutu permainan tradisi itu ditingkatkan bagi mengangkat martabat pertandingan tersebut. "Ini kerana ia melibatkan penggemar di peringkat antarabangsa yang secara tidak langsung mampu dijadikan produk pelancongan negeri ini," katanya semasa ditemui selepas menghadiri majlis pertandingan tersebut di sini, baru-baru ini. Kata Nik Ishak lagi, sebelum ini, pertandingan suara burung ketitir biasa diadakan oleh golongan petani sebagai satu hiburan terutama selepas seharian membanting tulang di bendang. Dalam pada itu, menyedari perkembangan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan dalam ucapan perasmiannya memberitahu, kerajaan negeri akan menyediakan satu lokasi kekal sebagai kemudahan kepada peminat seni suara burung ketitir tempatan untuk mengadakan aktiviti berkaitan. Lokasi sesuai akan dikenal pasti di sekitar jajahan Kota Bharu yang dianggap paling strategik, selain bandar itu mempunyai banyak kemudahan terutama dari segi perhubungan. Takiyuddin berkata, lokasi itu wajar diwujudkan berikutan aktiviti itu semakin mendapat sambutan meluas peserta dalam dan luar negeri, sekali gus memberi peluang kepada kerajaan untuk mempromosikan pelbagai produk pelancongan. Menurutnya, kerajaan juga akan mengambil inisiatif bagi meningkatkan mutu pertandingan kerana ia melibatkan peserta antarabangsa. "Peminat dan penggiat seni ini semakin berkembang tanpa mengira kaum, budaya mahu pun latar belakang, maka mutunya juga mesti ditingkatkan agar ia dilihat semakin menarik," katanya. Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan, Abdullah Md. Yusoff ketika menyentuh proses membela seekor burung ketitir untuk pertandingan berkata, ia bukan satu perkara mudah sebagaimana disangka oleh kebanyakan orang, termasuk dalam soal menentukan juara. Pelbagai usaha perlu dilakukan ke atas burung terbabit antaranya aspek pemakanan yang teratur termasuk pengambilan ubat serta vitamin untuk memastikan kemampuan seekor burung itu mengeluarkan suara yang merdu dan lunak. "Bermula dengan proses makanan, burung-burung akan diberi bunga rumput ataupun sekoi selain makanan utamanya termasuklah vitamin ataupun bancuhan air khas untuk membantu meningkatkan kesihatan. "Manakala pasir khas iaitu campuran pasir pantai yang digoreng diberi untuk membantu proses penghadaman dan menjaga kelunakan suara burung," jelasnya. Menurut Abdullah lagi, tidak semua burung mempunyai suara yang baik dan hanya yang terpilih selain faktor genetik akan menentukan keupayaan suaranya. "Selain itu burung juga perlu dilatih dari segi keupayaan mengeluarkan lenggok, getaran suara dan sebagainya mengikut kriteria pertandingan," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan