Utusan Online - Timur |
- Trend menginap di hotel dikesali
- Bengkel tulis fiksyen UTM-Utusan asah bakat
- KADA sedia RM1 juta tingkat pendapatan IKS
Trend menginap di hotel dikesali Posted: Trend menginap di hotel dikesaliOleh KAMARUDIN HAMZAH BESUT 3 April - Trend anak-anak menginap di hotel dan resort apabila pulang ke kampung menziarah ibu bapa yang semakin menular dikhuatiri boleh merencatkan institusi keluarga. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali berkata, sikap sedemikian tidak wajar dalam tradisi Melayu kerana ia mungkin mengguris perasaan kedua ibu bapa dan sanak-saudara. Katanya, walaupun ibu bapa tidak pernah menyuarakan kekesalan atas perbuatan sikap sedemikian, ia sebenarnya menjejaskan hubungan dan suasana kerana waktu bersama mereka akan semakin terbatas. "Apabila anak-anak sudah berjawatan dan sekali-sekala pulang ke kampung, mereka lebih gemar tinggal di hotel dan bukan lagi di rumah di mana mereka dibesarkan," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) daerah Besut di Dewan Sivik Jabi di sini semalam. Ramlan berkata, apa yang berlaku menunjukkan pentingnya sikap tanggungjawab, disiplin dan kesedaran tentang sikap menghormati orang-orang tua ditekankan kepada anak-anak sejak kecil. "Walaupun mereka berjaya menjadi seorang pelajar cemerlang tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibu bapa dan janganlah melukakan hati mereka ini," katanya. Justeru, Ramlan berkata, anak-anak perlu diberi didikan dan kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang anak kepada kedua ibu bapanya dan juga peranan yang perlu dimainkan dalam masyarakat sejak kecil lagi. | ||
Bengkel tulis fiksyen UTM-Utusan asah bakat Posted: Bengkel tulis fiksyen UTM-Utusan asah bakat
KUALA TERENGGANU 3 April - Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan dilihat mampu mengasah bakat penulis muda dalam genre itu. Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Tuan Sharif Tuan Putera berkata, bengkel yang dianjurkan sempena Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi itu sekali gus membantu mengatasi kekurangan penulis tempatan dalam genre tersebut. "Harapan saya melalui penganjuran bengkel ini, Terengganu dapat melahirkan penulis-penulis yang hebat seterusnya menghasilkan novel untuk menyertai pertandingan sayembara ini," katanya. Beliau ditemui pada Bengkel Penulisan Fiksyen Sains dan Teknologi di Hotel Tanjung Vista di sini semalam. Hadir sama, Pengurus Kanan Penerbitan Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., Faridah Shamsudin. Sejumlah 20 peserta termasuk penulis, mahasiswa dan orang perseorangan menyertai bengkel berkenaan yang melibatkan pembentangan oleh beberapa penulis terkenal seperti Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Prof. Madya Dr. Hashim Ismail. Sayembara itu menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 untuk pemenang tempat pertama, RM7,000 tempat kedua dan RM5,000 tempat ketiga manakala tiga pemenang saguhati pula bakal menerima RM1,000 setiap seorang. Untuk maklumat lanjut mengenai sayembara ini boleh menghubungi Yosman Mohd. Bain di talian 07-5218166/ 019-7557760 atau Rozlan Mohamed Noor (03-92856577/ 012-3828353). | ||
KADA sedia RM1 juta tingkat pendapatan IKS Posted: KADA sedia RM1 juta tingkat pendapatan IKSPASIR PUTEH 3 April - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan hampir RM1 juta bagi membantu 148 peserta industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini meningkatkan pendapatan sekitar RM800 ke RM1,200 sebulan sepanjang tahun ini. Pegawai Pertanian KADA, Tanty Mazny Mohd. Yaacob berkata, peserta terlibat kebanyakannya berasal dari kawasan operasi KADA di Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Tumpat. Menurutnya, kebanyakan mereka mengusahakan industri kecil berasaskan makanan ringan tradisional yang dikenal pasti laris dijual bagi pasaran domestik. "Ini termasuk mengusahakan kerepek ubi kayu, bahulu, roti canai dan kuih segera," katanya kepada pemberita pada upacara perasmian penyampaian bantuan mesin dan peralatan kepada 27 usahawan tani KADA di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Jawa di sini hari ini. Bantuan mesin dan peralatan itu disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman. Tanty Mazny berkata, peserta dari Jajahan Pasir Mas antara tertinggi mendapat bantuan iaitu seramai 27 orang dengan nilai lebih RM196,971 diikuti kawasan Pasir Puteh seramai 27 peserta (RM187,260) dan Bachok seramai 27 peserta dengan nilai RM163,142. "Peserta juga memperoleh bantuan bernilai di antara RM8,000 hingga RM10,000 seorang berasaskan keperluan projek yang dilaksanakan," katanya. Beliau berkata, bantuan yang disalurkan membolehkan mereka mengubah cara bekerja daripada pemprosesan cara lama yang banyak menggunakan tenaga kepada teknologi baru yang lebih cekap. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan