Utusan Online - Selatan |
- Combi tumpu 10 lokasi panas
- 50 pemandu teksi bantah bas Panorama
- 100,000 dijangka kunjungi Pesta Air Port Dickson
Posted: Combi tumpu 10 lokasi panasOleh NORIZAN ABDUL MUHID ALOR GAJAH 17 April - Sebanyak 10 kawasan di negeri ini dikenal pasti sebagai tumpuan pelaksanaan program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) bagi membanteras pembiakan nyamuk aedes sekali gus menangani penularan wabak penyakit tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pemulihan Projek, Pembangunan Pekan Kecil dan NGO negeri, Datuk Seet Har Cheow (gambar) berkata, pelaksanaan program itu mampu membanteras penularan wabak denggi yang boleh membawa maut. Menurutnya, penilaian Jabatan Kesihatan negeri menunjukkan semburan kabus dilihat kurang berkesan dan hanya mampu membunuh nyamuk aedes dewasa. ''Semburan kabus ini tidak dapat mengawal jentik-jentik yang bertukar menjadi nyamuk dewasa kemudiannya menyebarkan virus denggi. ''Keadaan ini berbeza dengan kajian lain yang mendapati usaha memusnahkan tempat pembiakan aedes sangat membantu dalam mencegah penularan wabak aedes," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Perdana 'Jom Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes' melalui Combi, di sini hari ini. Menurut beliau, 10 kawasan yang dikenal pasti bagi pelaksanaan program 'Jom Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes' melalui Combi ialah seperti di Pantai Peringgit dan Taman Seri Aman. Katanya, program itu akan diperluaskan di Taman Seri Kelemak pada 23 April ini, diikuti Taman Maju, Jasin (24 April), Taman Kesang Indah (1 Mei), Taman Tanjung Minyak (1 Mei), Taman Muhibah (7 Mei), Taman Kenanga (8 Mei) dan terakhir di Taman Melaka Baru pada 14 Mei. Kata Har Cheow, penduduk yang terlibat dengan penganjuran program tersebut amat dialu-alukan menyertai usaha itu bagi memastikan perlaksanaan program mencapai objektif. ''Kita tidak mahu usaha ini hanya digerakan oleh kakitangan jabatan terbabit kerana matlamat program secara jelas memerlukan penglibatan aktif golongan masyarakat. ''Pihak jabatan dan anggota penguatkuasa kerajaan negeri hanya mampu membantu melaksanakan usaha dan program bagi mengurangkan penularan wabak denggi, hanya ahli masyarakat sahaja yang mampu memastikan kejayaan sesuatu program seperti ini," katanya. Kata beliau, usaha tersebut selain mendidik masyarakat menggerakkan aktiviti pembasmian sarang pembiakan nyamuk aedes, ia juga bertujuan memupuk sikap positif orang awam bagi meluangkan masa 10 minit seminggu memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. ''Perlu diingatkan, tumpuan program ini ialah untuk menghapuskan sarang pembiakan nyamuk aedes dan tidak semata-mata kepada semburan kabus sahaja dan lebih baik, ia disertai setiap ahli anggota masyarakat," kata beliau. Menurutnya, sempena program 'Jom Cari dan Musnahkan Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes melalui Combi, antara aktiviti yang dijalankan ialah seperti pendaftaran Combi, pameran denggi, semburan kabus, penggunaan racun jentik-jentik dan pengagihan kumpulan penggerak Combi. Selain itu, ujar beliau, aktiviti lain yang turut digerakan ialah kontraktor pembersihan, kegiatan gotong-royong bersama guru dan murid, pertandingan jumpa jentik-jentik terbanyak, pertandingan mewarna dan pemeriksaan kesihatan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
50 pemandu teksi bantah bas Panorama Posted: 50 pemandu teksi bantah bas Panorama
MELAKA 17 April - Lazimnya orang ramai akan merungut setiap kali ada syarikat bas gagal memenuhi keperluan mereka terutamanya apabila beroperasi di laluan yang terhad. Bagaimanapun, lain pula kisahnya bagi kira-kira 50 ahli Pertubuhan Pemilik Teksi dan Kereta Sewa Zon Sungai Udang di sini yang membantah perkhidmatan bas Panorama dari bandar ini ke Pantai Puteri, Tangga Batu dan Sungai Udang sejak awal tahun ini. Yang Dipertuanya, Mohamad Ahmad Ali, 57, mendakwa, ini kerana operasi bas Panorama ke kawasan berkenaan telah menyebabkan pendapatan mereka terjejas ekoran orang ramai tidak mahu lagi menaiki teksi. Menurutnya, pihak berkuasa tidak sepatutnya meluluskan permohonan perkhidmatan bas Panorama ke destinasi berkenaan kerana perkhidmatan bas sedia ada sudah mencukupi selain bas itu adalah bas pelancong yang sepatutnya hanya beroperasi di kawasan tumpuan pelancong. "Sebelum bas panorama masuk ke Pantai Puteri awal tahun ini, sudah ada perkhidmatan bas dari syarikat Roda Juara dan Patt Hup. "Dua syarikat bas ini sudah mencukupi, tidak perlu tambah sebuah syarikat bas lagi. Lebih baik bas Panorama ini pergi beroperasi di laluan baru yang tidak menyediakan perkhidmatan bas," katanya ketika ditemui di sini. Seorang pemandu, Tuah Ahmad, 55, berkata, pendapatannya merosot sejak perkhidmatan bas Panorama beroperasi dari bandar Melaka ke Pantai Puteri. "Dulu, dalam sehari saya boleh dapat RM100 hingga RM150, namun sejak bas Panorama beroperasi di sini kira-kira awal tahun ini, nak dapat RM20 sehari pun susah," katanya. Seorang lagi pemandu teksi, Nahar Hamid, 68, kewujudan perkhidmatan bas Panorama menambahkan lagi kekerapan bas yang melalui kawasan berkenaan sehingga menyebabkan mereka sukar mendapatkan penumpang. "Dalam tempoh 30 minit, dua atau tiga bas akan lalu mengambil penumpang di sini. Ini menyebabkan penumpang lebih gemar naik bas sekali gus menjejaskan pendapatan kami," katanya. Bas Panorama yang dimiliki kerajaan negeri melalui syarikat PM Cultural & Tourism Sdn. Bhd. (PMCT) beroperasi membawa pelancong di sekitar bandar raya Melaka sejak ia mula diperkenalkan pada 2007. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
100,000 dijangka kunjungi Pesta Air Port Dickson Posted: 100,000 dijangka kunjungi Pesta Air Port DicksonSEREMBAN 17 April - Pesta Air Malaysia Port Dickson 2011 yang bakal berlangsung selama empat hari bermula 29 April ini dijangka menarik kehadiran 100,000 pengunjung. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohamad Razi Kail (gambar) berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan khusus buat pengunjung di tiga lokasi penganjuran pesta itu iaitu di Pantai Cahaya Negeri, Pantai Saujana dan Pantai Bagan Pinang, Port Dickson. ''Saya yakin kita dapat mencapai sasaran itu memandangkan 1 Mei yang juga merupakan cuti umum (Hari Pekerja) akan memberikan kesempatan kepada orang ramai untuk bercuti bersama keluarga di pantai peranginan ini. ''Apa yang lebih penting, diharapkan program ini dapat memberikan kesedaran kepada umum mengenai kepentingan memelihara khazanah alam semula jadi terutamanya dari aspek kebersihan dan mengekalkan keasliannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. Tambahnya, pengunjung yang hadir ke pesta tersebut berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan seperti konsert, pesta pancing, sukan pantai dan acara keluarga. ''Selain itu, banyak lagi aktiviti menarik menanti pengunjung seperti persembahan kebudayaan, karaoke, pertunjukan layang-layang dan permainan jet ski," jelasnya. Program tersebut merupakan anjuran Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri sembilan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan