Utusan Online - Rencana |
Posted: Bukan rasis tetapi strategiOleh ZULKIFLEE BAKAR SESUATU yang menarik berlaku di lobi Parlimen semalam, apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditanya apakah tindakan yang akan diambil ke atas Mingguan Malaysia berikutan tulisan Awang Selamat dalam ruangan pojoknya di akhbar tersebut menyentuh mengenai sikap pengundi Cina. Soalan yang dikemukakan kepada Hishammuddin jelas menjurus ke arah desakan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan, atas alasan Awang Selamat dan Mingguan Malaysia bersikap perkauman. Tetapi Hishammuddin bijak memberi jawapan. Beliau menganggap seperti juga akhbar-akhbar lain, akhbar Mingguan Malaysia berhak untuk memberikan idea serta membuat ulasan mengenai sentimen dalam landskap politik negara. "Itu hanya idea, kita lihat akhbar The Star, mereka juga bercakap mengenai pelbagai sentimen dalam politik negara, kita lihat juga akhbar berbahasa Cina, saya pantau laporan mereka mengenai sentimen politik negara adalah begitu teruk sekali. "Bagaimanapun, kita perlu memberikan semua akhbar-akhbar ini ruang kerana mereka tahu landskap politik negara yang kini bukan sahaja telah berubah, malah jauh lebih berbeza daripada sebelum ini.'' Itulah jawapan tegas yang diberikan Hishammuddin sekali gus menutup mulut pihak-pihak tertentu terutamanya daripada media pro pembangkang yang mahu sesuatu dilakukan ke atas Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang dianggap akhbar rasis. Sepatutnya sebelum pihak-pihak berkenaan membuat tafsiran atau andaian apatah lagi memutar belit fakta, mereka perlu mengkaji terlebih dahulu apa yang dimaksudkan oleh Awang Selamat dalam ruangan berkenaan. Awang Selamat tidak menyatakan BN perlu menolak undi Cina, sebaliknya mencadangkan berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 BN perlu merangka strategi baru tanpa mengharapkan pengundi Cina akan kembali menyokong parti itu. Malahan Awang Selamat juga menegaskan, BN mampu memerintah tanpa sokongan kaum Cina, walaupun senario itu mahu dielakkan. Tetapi malangnya tulisan berkenaan tidak dibaca dalam konteks sebenar, maka wujud pelbagai tafsiran membuta-tuli yang boleh mengusutkan keadaan. Persoalannya, apakah masyarakat Cina begitu istimewa sehinggakah tiada siapa pun boleh mengupas atau memberikan pandangan terhadap sebarang tindakan mereka? Kita bukanlah ingin mencetuskan isu perkauman tetapi sekadar bertanya memandangkan selama ini apabila media-media pro pembangkang membangkitkan sesuatu perkara berkaitan orang Melayu, tiada pula ia dianggap perkauman. Tetapi kenapakah apabila Awang Selamat hanya sekadar memberikan pandangan, ia dianggap tindakan perkauman dan perlu dikenakan tindakan. Bagaimana pula dengan tulisan-tulisan di dalam akhbar-akhbar Cina. Sesiapa juga yang mengikut ruangan 'Dari akhbar Cina' dalam Utusan Malaysia akan mendapati betapa rasisnya sesetengah tulisan sehingga ada antara tulisan itu memperlekehkan usaha kerajaan, menyindir orang Melayu dan memburukkan bekas-bekas pemimpin negara. Jangan lupa ada sesetengah tulisan memberi pandangan bagaimana kaum Cina bangkit menguasai politik, tetapi orang Melayu tidak marah atau melenting kerana menganggap itu hak penulis berkenaan memberikan pandangan. Oleh itu, Hishammuddin telah memberikan jawapan yang bijak dengan menyatakan laporan akhbar berbahasa Cina mengenai sentimen politik negara lebih teruk sekali. Berdasarkan jawapan itu, mana-mana pihak tidak perlu sensitif tidak tentu fasal sehinggakan kalau ada sesiapa hendak menyentuh soal pendirian masyarakat Cina, ia dianggap perkauman. Tidak salahnya kita memberikan pandangan berdasarkan realiti semasa dan dalam konteks ini, Awang Selamat memberikan pandangan berlandaskan keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10. Sesiapa juga yang mengikuti keputusan berkenaan akan membuat andaian dan cadangan yang sama kerana jelas majoriti masyarakat Cina di Sarawak tidak memihak kepada BN biarpun kerajaan BN sudah melakukan pelbagai usaha bagi meningkatkan taraf hidup mereka, selain memenuhi segala permintaan mereka. Kejayaan DAP meraih 12 kerusi berbanding enam kerusi pada 2006 menjadi bukti bahawa masyarakat Cina memang tidak menyebelahi BN. Jika senario ini berterusan, sudah pastilah ia membahayakan BN dalam pilihan raya umum akan datang. BN selama-lamanya tidak boleh menggunakan strategi lama atau bergantung kepada sesuatu kelompok sahaja untuk terus berkuasa. Oleh itu, tidak salah jika BN seperti mana cadangan Awang Selamat mencari strategi baru dan bukannya 'terus merayu dan dipenuhi segala permintaan jika akhirnya sokongan tetap kepada DAP.' Senario ini juga sudah berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini seperti di Hulu Selangor, Galas, Tenang, Kerdau dan Merlimau. Walaupun BN menang tetapi tahap sokongan masyarakat Cina kepada parti itu masih rendah, biarpun segala permintaan mereka dipenuhi. Apabila Awang Selamat mengemukakan cadangan supaya BN mencari kaedah baru bagi menghadapi kemungkinan kehilangan sokongan pengundi Cina, ia bukanlah rasis tetapi strategi berlandaskan realiti landskap politik negara yang semakin berubah. Ini samalah juga ketika di Galas dahulu apabila BN terpaksa mengubah strategi dengan memastikan sokongan Orang Asli meningkat memandangkan pengundi Melayu berpecah kepada dua kumpulan berikutan pertembungan dengan Pas. Ketika itu tidak ada pula orang Melayu menuduh BN mengetepikan mereka kerana memahami itu sebahagian daripada percaturan strategi dalam pilihan raya, tetapi kenapa pula apabila sesuatu pandangan itu berkait dengan kaum Cina ia dianggap rasis? Justeru janganlah melatah tidak tentu hala sedangkan kalau dikaji sesetengah laporan yang dibuat oleh akhbar-akhbar berbahasa Cina bukan sahaja 'rasis', malahan cukup menyakitkan hati orang-orang Melayu. Begitu juga sikap sesetengah portal pro pembangkang yang sering menyiarkan artikel atau kenyataan yang boleh ditafsirkan berbaur perkauman. Namun, tidak ada pula mana-mana pihak yang kononnya anti perkauman menyuarakan pandangan atau membuat desakan kepada Kementerian Dalam Negeri. Tetapi apabila Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia membangkitkan sesuatu isu berkaitan dengan kepentingan orang Melayu atau menyentuh sikap kaum Cina terus sahaja dituduh perkauman. Sudah pastilah isu ini tidak akan diam begitu sahaja kerana akan ada pemimpin-pemimpin pembangkang Melayu akan mengambil kesempatan. Mereka akan membuat pelbagai tuduhan bukan sahaja kepada Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tetapi juga Hishammuddin yang pastinya akan dituduh 'berat sebelah'. Apa pun, rakyat sudah bijak menilai segala yang berlaku termasuklah bagaimana istimewanya layanan kerajaan BN kepada pengundi Cina setiap kali pilihan raya tetapi akhirnya undi mereka entah ke mana. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Dibelenggu lonjakan inflasiOleh NURUL ANUAR KARI INFLASI! Bagi rakyat biasa di mana-mana negara seluruh dunia, perkataan ini hanya mempunyai makna yang negatif iaitu kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Situasi global jelas menunjukkan inflasi berlaku di semua sektor yang akhirnya memberi kesan paling mendalam kepada rakyat terutamanya penduduk berpendapatan rendah dan miskin di negara-negara dunia ketiga. Zon Eropah yang merangkumi 17 buah negara pada bulan lalu mencatatkan peningkatan kadar inflasi paling tinggi dalam tempoh 29 bulan. Amerika Syarikat (AS) juga mencatatkan 0.5 peratus peningkatan inflasi kepada 2.1 peratus untuk Februari 2011. Sri Lanka, India dan Indonesia merupakan antara negara yang mencatatkan kadar inflasi yang tinggi tetapi jauh ketinggalan berbanding Vietnam yang mencatatkan rekod peningkatan inflasi paling pantas di Asia dan tertinggi dalam tempoh dua tahun. Filipina mengekalkan kadar inflasi 4.3 peratus untuk Januari dan Februari, China 4.9 peratus dan Singapura lima peratus (Februari). Thailand dan Malaysia pula mencatatkan antara kadar inflasi paling rendah di rantau ini dengan masing-masing 2.8 peratus dan 2.9 peratus untuk bulan Februari. Namun, kadar inflasi Malaysia merupakan tertinggi dalam tempoh 22 bulan sementara Thailand turut mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak 29 bulan lalu selepas rekod untuk bulan Mac 2011 melonjak kepada 3.14 peratus. Jelas daripada rumusan tersebut, hampir semua negara di Asia dan seluruh dunia kini dibelenggu lonjakan inflasi yang dikaitkan dengan harga komoditi global. Bank Pembangunan Asia (ADB) pula mengeluarkan amaran rantau Asia perlu mengawal kadar inflasi berikutan kenaikan mendadak kos makanan yang berlaku sepanjang Februari lalu boleh menggoncang kestabilan pembangunan rantau ini serta membawa kepada ketidakseimbangan pendapatan dan meningkatkan tekanan sosial masyarakat setempat. ADB juga menjangkakan kadar inflasi rantau Asia akan melonjak kepada 5.3 peratus berbanding 4.4 peratus tahun lalu berikutan krisis nuklear di Jepun dan pergolakan di Timur Tengah. Berdasarkan rekod terdahulu, purata inflasi jangka panjang di Malaysia adalah 2.9 peratus iaitu antara paling rendah di rantau ini. Namun, beberapa kejadian inflasi tinggi dicatatkan dalam tempoh 50 tahun lalu iaitu pada pertengahan 1970-an, awal 1980-an, 1990-an dan lewat tahun 2000. Kejadian sekitar 1970-an dan 1980-an berkaitan harga makanan dan minyak dunia, 1990-an disebabkan permintaan domestik yang kukuh dan aliran masuk modal yang besar sementara inflasi sejak tahun 2000 dikaitkan dengan peningkatan berterusan harga komoditi global. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini menyatakan tiga penyumbang utama peningkatan harga komoditi dunia iaitu faktor cuaca, kapasiti pengeluaran dan dasar larangan eksport. Cuaca di seluruh dunia yang semakin sukar diramal telah menjejaskan pengeluaran termasuk di Rusia dan Kazakhstan yang dilanda kemarau sementara India dan Australia dilanda banjir. Kapasiti pengeluaran makanan global yang cuma meningkat antara satu dan dua peratus setahun juga tidak dapat menampung keperluan penduduk dunia yang meningkat empat peratus setahun. Berikutan kebimbangan terhadap bekalan, beberapa negara turut menghentikan eksport produk tertentu seperti Rusia yang melarang eksport gandum dan India melarang eksport bawang merah. Kerajaan kini memantau 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946, di samping kawalan harga pada musim perayaan membabitkan 28 jenis produk. Kempen bagi menjelaskan kenaikan harga barangan turut dibuat melalui radio dan televisyen, edaran risalah, roadshow di peringkat negeri, khidmat pesanan ringkas (SMS), sembang pengguna (kelab, persatuan, pertubuhan dan koperasi) dan perjumpaan bersama industri. Namun, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berpendapat, masalah inflasi jangka pendek khususnya untuk Malaysia tidak akan memberi kesan besar. "Tetapi, kerajaan perlu tumpu kepada risiko jangka panjang terutamanya dari segi sewaan tapak niaga (kecil atau besar) yang kini sudah terlampau tinggi. "Kos sewaan ini seterusnya akan diserap ke dalam barang jualan dan akhirnya pengguna sendiri yang terpaksa menanggung 'kerasukan' pemilik premis mengaut keuntungan daripada peniaga," tegasnya. Beliau turut mencadangkan kerajaan membuat ketetapan tahap maksimum kenaikan harga jualan dalam satu tahun bagi mengelakkan pihak yang tegar dan rakus mengambil kesempatan terhadap rakyat. "Inflasi kita masih yang terendah tetapi jika semua (tuan premis, peniaga) tidak mengikut usaha kerajaan mengekang peningkatan inflasi, harga barang akan terus melonjak secara tidak formal (senyap)," ujarnya. Amir juga menasihatkan semua pihak memberikan kerjasama dalam mengawal inflasi dan mengelakkan kenaikan harga sesuka hati kerana akhirnya mereka sendiri selaku rakyat negara ini akan menerima kesannya. "Apa kerajaan Malaysia buat sekarang sudah mencukupi untuk mengawal inflasi tetapi masalahnya ada yang mengambil kesempatan berita masalah dunia seperti di Jepun dan Libya bagi menghalalkan tindakan mereka menaikkan harga jualan atau sewaan. "Bencana global sedemikian bukannya berlaku setiap hari dan tidak sepatutnya digunakan sebagai alasan. Lebih teruk lagi, harga jualan yang sudah dinaikkan di negara ini tidak lagi diturunkan kemudiannya, walau apa pun yang berlaku," katanya. Ini dakwanya dapat dilihat apabila harga rumah jatuh merudum ketika gawat 1997 dan 1998 tetapi ketika gawat 2008 harga rumah terus meningkat dengan sesetengah pihak sengaja membuat spekulasi kenaikan harga. "Harga jatuh ketika gawat 1990-an kerana mereka ingin menjual lot rumah yang sudah siap tetapi pada 2008, harga rumah menjadi semakin mahal atas dasar 'ada pembeli yang mampu dan sanggup membeli'. "Seperti berita kenaikan rumah di Pulau Pinang yang kononnya akan berterusan setiap tahun selagi ada orang yang membeli. Bila sudah tiada yang mampu membelinya nanti, maka lingkuplah sektor tersebut," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan