Ahad, 3 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Cabaran realistik calon

Posted:

Cabaran realistik calon

Cabaran realistik calon

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com

DI sebuah kawasan di Sarawak, ada 15 janji yang dilontarkan oleh calon pilihan raya negeri lepas yang masih belum tertunai. Meskipun dia sudah menang tetapi ekoran namanya tercatat sebagai calon pilihan raya negeri Sarawak ke-10, ini bermakna dia bakal 'bertemu buku dengan ruas' dengan pengundinya.

Enggan menyebut calon itu dari parti mana, penganalisis politik Sarawak, Dr. Jeniri Amir memberitahu Utusan Malaysia semalam bahawa perkara pertama yang harus tersemat dalam fikiran calon-calon pilihan raya negeri itu ialah jangan suka menjaja janji.

Beliau yang baru menghabiskan road show ke seluruh Sarawak selama sebulan setengah untuk menyiapkan satu kajian sosio politik berkata, maklumat dan data yang diperolehnya mendapati kebanyakan wakil rakyat masih gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya negeri 2006. Ini menimbulkan kemarahan pengundi.

Dr. Jeniri yang berpengalaman luas tentang sepak terajang politik Bumi Kenyalang menarik perhatian bahawa apa yang perlu dilakukan oleh semua calon DUN Barisan Nasional (BN) yang baru diumumkan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jalan Bako, Kuching petang semalam ialah mengeluarkan janji yang realistik kepada pengundi di kawasan mereka. Sebanyak 70 daripada 71 calon BN diumumkan semalam, manakala seorang calon BN di DUN Ba'Kelalan akan diumumkan sebelum Rabu ini ekoran wujud spekulasi Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian kecewa dengan kepimpinan partinya.

"Dalam keghairahan kita menawan hati pengundi, jangan kita kata okey... okey... okey pada setiap apa yang dituntut oleh pengundi kita. "Jangan sampai calon menjual janji yang tidak realistik sebab kelak akan memakan diri selama lima tahun kemudian. Beranilah berkata tidak jika ia memang tidak dapat dipenuhi. Saya fikir rakyat akan faham sekiranya memang sesuatu itu tidak dibolehkan," katanya.

Justeru, sebaik sahaja nama-nama mereka diumumkan mewakili BN semalam, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh jentera parti ialah menjelaskan kepada rakyat Sarawak mengapa calon itu dipilih. Mereka perlu bergerak ke setiap penjuru dan bertemu sebanyak mungkin pengundi. Ia memandangkan sebahagian daripada mereka merupakan calon baru.

Demikian juga dikhabarkan bahawa DAP akan menampilkan calon-calon muda, berkelayakan dan profesional seperti mana BN yang mempertaruhkan calon dari kalangan doktor dan jurutera. Namun tidak seperti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang dikatakan akan meletakkan calon-calon yang agak tua dan 'dikitar semula'.

Dr. Jeniri menarik perhatian kepentingan pendekatan berhemah dengan bahasa badan dan tutur kata calon untuk menarik hati pengundi. Penampilan seperti ini akan mencetuskan persepsi.

"Dalam politik, persepsi itu lebih penting daripada realiti. Individu berkenaan harus ditampilkan positif, menyebatikan diri dan akhirnya perhitungan pengundi yang akan memilih wakil rakyat yang dilihat rapat dengan masyarakat. Ini semua bergantung kepada kreativiti komunikasi politik yang sesuai dan efektif," katanya.

Namun dalam aspek ini, beliau percaya rakyat Sarawak akan memilih calon dan parti yang mampu menggerakkan pembaharuan pembangunan serta memenuhi kehendak pengundi. "Bukan calon yang hanya pandai berjanji dan mengkritik," katanya.

Mengambil contoh cabaran calon di bandar, katanya, kejayaan mereka kelak bersandarkan kepada parti mana yang mampu memenuhi aspirasi dan idealisme pengundi. "Saya fikir BN akan tanganinya dalam manifesto soal tadbir urus kepimpinan yang baik selari dengan soal kewibawaan, kesinambungan kepimpinan dan kestabilan politik untuk terus memacu negeri.

"Ini melibatkan keperluan asas dan tadbir urus, soal janji yang tidak ditunaikan serta isu pembangunan yang lewat," katanya.

Mengenai isu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Jeniri percaya pendiriannya turut dikongsi majoriti penduduk Sarawak. Beliau menegaskan: "Ia tidak relevan. Isu tempatan lebih dominan daripada isu nasional tetapi isu harga minyak akan beri kesan langsung."

Begitupun, kata beliau, dalam sehari dua ini beliau berpendapat BN perlu menggunakan media tradisional dan media baru dalam kempen pilihan raya negeri. Ini kerana perang pilihan raya negeri nanti bukan sahaja di alam nyata.

"Perang di alam siber lebih dahsyat terutama di kalangan generasi muda. Contohnya, penggunaan Internet di bandar-bandar di Sarawak lebih tinggi walaupun Internet dari segi sumber maklumat jatuh nombor empat selepas televisyen, suratkhabar dan radio," katanya merujuk kepada penggunaan Youtube oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud baru-baru ini dalam usaha menangkis serangan dakwaan dan tuduhan terhadap salah guna kuasa dan amalan nepotisme.

Kata Dr. Jeniri: "Keberkesanan komunikasi politik maklumat media baru untuk mempengaruhi pengundi penting khususnya dalam kalangan pengundi celik teknologi yang tidak mudah dipengaruhi serta golongan kelas menengah dan pendidik yang begitu sofistikated.

"Mereka perlu diyakinkan dengan fakta ke fakta, hujah-hujah pejal dan wacana ke wacana yang lebih meyakinkan pengundi sofistikated yang tidak mudah menelan bulat-bulat. Ini bermakna, penggunaan angka dan fakta yang logik akan memberi kesan."

Dalam soal ini juga, Dr. Jeniri percaya pilihan raya kali ini akan mencetuskan fenomena 'kawasan-kawasan panas' yang berbeza dengan kategori kawasan panas dalam konteks Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pertama dalam konteks politik, kawasan panas itu muncul jika ia melibatkan pertembungan nama-nama besar atau personaliti yang berjawatan dalam parti. Antaranya di Balingian, Piasau dan Layar. Di situ nanti, pembangkang tidak akan memberi tiket kemenangan percuma. Mereka akan menyerang habis-habisan meskipun faham akhirnya mereka tidak akan menang. Malah, pembangkang akan menganggap keupayaan menurunkan majoriti lawan popular mereka sebagai kemenangan moral.

Kedua, kawasan panas akan membabitkan kawasan di mana majoriti undi yang diraih penyandang pada pilihan raya lepas tipis atau kurang 1,000 undi. Parti-parti bertanding akan cuba mempertahankan kerusi dengan apa cara sekalipun.

Kategori ketiga kawasan panas pula bergantung kepada isu tertentu yang dianggap paling diperkatakan di situ. Misalnya di Telang Usan di pedalaman Baram yang masih diselimuti isu-isu 'menggelegak' antaranya Penan, pembalakan, alam sekitar dan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Berjaya pulih keyakinan rakyat

Posted:

Berjaya pulih keyakinan rakyat

Berjaya pulih keyakinan rakyat

Oleh YONG SOO HEONG
PENULIS ialah Ketua Pengarang Bernama.


Najib Tun Razak berucap di Karnival Kebudayaan India 1Malaysia di PISA, Pulau Pinang, kelmarin.


SEMALAM adalah hari ulang tahun kedua Malaysia diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dengan gaya kepimpinan beliau yang cukup dinamik. Pelbagai perkembangan menarik telah berlaku sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 iaitu ketika negara ini diwarnai dengan pelbagai rencah tidak menentu akibat dilanda tsunami politik selepas pilihan raya umum pada 8 Mac 2008.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Najib telah melaksanakan pelbagai langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat, terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai kuasa untuk memilih kerajaan iaitu pengundi.

Perkara itu diakui baru-baru ini oleh bekas penasihat ekonomi dan Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin apabila beliau memuji usaha Najib membina kembali keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan kerajaan persekutuan.

Barangkali, antara inisiatif paling menyerlah yang diambil oleh Najib untuk membina keyakinan rakyat ialah pelaksanaan konsep 1Malaysia yang begitu inklusif sifatnya dan membawa harapan baru dalam segenap bidang, terutama bagi mereka yang selama ini berasa tersisih akibat pelaksanaan dasar yang dianggap bersifat menindas.

Benarlah, harapan serta tindakan afirmatif merupakan penawar yang amat mujarab bagi mereka yang terluka hati kerana menganggap diri mereka menjadi mangsa kepada perbuatan yang tidak rasional dan saksama.

Sebagai pemimpin, Najib sentiasa melihat kepelbagaian yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik — Melayu, Cina, India, Dayak, Iban, Kelabit, Orang Ulu, Bidayuh, Kadazan atau Murut sebagai satu sumber kekuatan bagi negara ini.

Beliau sering berkata: "Apa yang menjadikan Malaysia ini unik ialah kepelbagaian rakyatnya. Matlamat 1Malaysia adalah untuk memulihara dan memperkukuhkan perpaduan dalam kepelbagaian ini, yang sejak sekian lama menjadi kekuatan kita dan terus menjadi harapan kita untuk masa akan datang."

Beliau juga sering mengulangi kata-kata berikut: "Setiap orang daripada kita walaupun mempunyai perbezaan, berkongsi cita- cita yang sama iaitu untuk menikmati hari esok yang lebih sejahtera.

Setiap orang daripada kita mahukan peluang, dihormati, persahabatan dan persefahaman."

Kata-kata beliau itu sepatutnya sentiasa tersemat di sanubari seluruh rakyat Malaysia tentang betapa pentingnya mereka membantu orang lain, bukan sekadar bersikap manis di mulut sahaja atau hanya berinteraksi dengan kaum atau masyarakat sendiri sahaja.

Apa yang membanggakan ialah contoh terbaik bagi konsep 1Malaysia ini diperlihatkan oleh Najib sendiri melalui sekian banyak tinjauan mesra yang beliau lakukan untuk mendampingi rakyat pelbagai kaum dan masyarakat di negara ini. Walaupun menduduki kerusi Perdana Menteri, Najib tidak berasa kekok apabila melawat pasar, rumah panjang dan kampung yang jauh di pedalaman, gerai di tepi jalan, hospital atau di mana jua untuk bertemu dengan orang ramai dan memberitahu mereka bahawa keadaan akan bertambah baik sekiranya setiap orang sanggup berbakti dan memberi sumbangan kepada negara.

Untuk memastikan jentera kerajaan dapat memberi perkhidmatan secara lebih berkesan kepada orang ramai, beliau memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan menubuhkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi memantau Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan untuk pelbagai kementerian.

Walaupun ia dipandang dengan penuh kesangsian oleh sesetengah pihak pada peringkat awalnya, namun selepas setahun dilaksanakan, GTP telah membawa begitu banyak kejayaan apabila berjuta-juta rakyat negara ini memperoleh nikmat daripadanya, sama ada secara langsung atau sebaliknya.

Untuk julung kalinya dalam tempoh empat tahun, indeks jenayah negara ini telah menurun sebanyak 35 peratus dan jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 15 peratus, penurunan terbesar secara perbandingan antara tahun dalam sejarah Malaysia. Tahun lalu juga menyaksikan Malaysia mencatat pencapaian tertinggi dalam pendidikan apabila 700,000 kanak-kanak mendapat pendidikan awal dan jumlah mereka yang mampu membaca dan mengira menunjukkan peningkatan yang amat ketara.

Jumlah biasiswa yang diberi juga meningkat serta lebih saksama di bawah pentadbiran Najib dan perkara ini menghapuskan perasaan tidak puas hati pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan serta ibu bapa mereka. Najib sering berkata kerajaan menganggap biasiswa sebagai suatu pelaburan, bukan perbelanjaan dan menegaskan bahawa pemberian itu akan mengemudi negara ke arah kejayaan lebih besar.

"Apabila kita terus membuat pelaburan untuk rakyat, negara kita akan menjadi lebih berdaya saing," katanya sambil menambah oleh kerana Malaysia sedang melangkah ke arah menjadi negara maju, kunci utama kejayaannya terletak pada rakyat sendiri.

Duta Besar Jordan ke Malaysia Maher A. Lukasha memberitahu Bernama bahawa sokongan yang diberi kerajaan Malaysia terhadap bidang pendidikan merupakan suatu usaha positif untuk rakyat negara ini dan Raja Abdullah 11 ibn Al Hussein dari negara beliau mengibaratkan pendidikan sebagai 'perisai yang melindungi sesebuah negara'. Dalam bidang pembanterasan rasuah pula, langkah kerajaan menggubal Akta Pemberi Maklumat pada tahun lalu merupakan suatu usaha yang sungguh bermakna.

Langkah yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah di negara ini dan meningkatkan lagi keyakinan suruhanjaya itu dalam menangani jenayah rasuah seperti yang terbukti baru-baru ini apabila ia berjaya menahan beberapa pegawai kastam bersama hasil yang mereka peroleh secara haram.

Mengenai pengangkutan awam bandar pula, dalam tempoh setahun lepas, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) ialah 2.34 juta, manakala jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas transit pula meningkat 192 peratus.

Lebih dua juta penduduk luar bandar pula mendapat manfaat daripada pembinaan 750km jalan raya baru, di samping bekalan elektrik dan air bersih yang disalurkan kepada 36,723 isi rumah dan pembinaan serta pembaikan yang dilakukan terhadap 16,962 rumah di kawasan terpencil. Jumlah isi rumah yang tergolong sebagai miskin tegar juga menurun 99 peratus.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen menyifatkan Najib sebagai penyelesai masalah. Diplomat kelahiran Pahang itu, yang dianugerahi Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang pada tahun lepas, berkata GTP dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) mencerminkan kesungguhan Najib menangani isu serius secara berdepan untuk memastikan hasilnya tercapai.

"Beliau adalah pemimpin yang berorientasikan hasil," kata Jasudasen.

Di bawah kepimpinan Najib, kerajaan telah melakukan pembaharuan dalam banyak bidang dan beliau sendiri yakin lebih banyak kejayaan akan dicapai pada masa akan datang.

Sesungguhnya, dengan kehadiran Najib sebagai pemimpin, penyatu, penunjuk teladan dan pembawa perubahan, Malaysia memang mampu mencapai semua itu dan barangkali, bukan sesuatu yang keterlaluan jika dikatakan bahawa ungkapan keramat 'Malaysia Boleh' adalah seiring dan senada bunyinya dengan ungkapan 'Najib Boleh'.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan